Larangan Memutuskan Harapan Hamba Daripada Rahmat Allah

Diriwayatkan daripada Jundab RA:

Ertinya: “Bahawa Rasulullah menceritakan tentang seorang lelaki yang berkata, ‘Demi Allah, Allah tidak akan mengampunkan si polan.’ Sedangkan Allah Taala berfirman, ‘Sesiapa yang mengada-adakan kenyataan atas nama-Ku bahawa Aku tidak mengampunkan si polan, maka sesungguhnya Aku telah mengampunkan si polan sambil Aku mensia-siakan amalanmu (orang yang mengatakan sedemikian),’ atau perkataan yang seumpama dengannya.”

(Riwayat Muslim dan Ibnu Hibban – lafaz Muslim. Tahkik Shahih Ibni Hibban: Sanadnya sahih)

Diriwayatkan daripada Dhamdham bin Jaus RA, beliau berkata,

Ertinya: “Saya telah masuk ke dalam masjid Rasulullah SAW tiba-tiba saya ternampak seorang lelaki tua yang keperang-perangan rambutnya serta mempunyai gigi hadapan yang sangat putih. Bersamanya seorang lelaki yang sangat hitam bola matanya, mempunyai muka yang cantik serta masih muda. Maka lelaki tua itu berkata, ‘Wahai orang Yamamah, mari sini. Janganlah kamu berkata kepada orang lain selama-lamanya, ‘Allah tidak akan mengampunimu.’ Maka, demi Allah, Allah tidak akan memasukkanmu ke dalam syurga.’ Saya berkata, ‘Siapakah kamu? Semoga Allah merahmatimu.’ Dia menjawab, ‘Saya ialah Abu Hurairah.’ Saya berkata, ‘Sesungguhnya ia adalah kalimah yang diucapkan oleh salah seorang dalam kalangan kami kepada sebahagian ahli keluarganya atau khadamnya apabila dia memarahinya.’ Dia berkata, ‘Oleh itu, janganlah kamu mengucapkannya. Sesungguhnya saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, Ada dua orang lelaki dalam kalangan Bani Israel yang bersaudara. Salah seorangnya sangat bersungguh-sungguh dalam beribadah manakala seorang lagi adalah pelaku dosa. Suatu hari, orang yang kuat beribadah melihat si pelaku dosa melakukan dosa, lantas dia berkata kepadanya, ‘Berhentilah berbuat dosa.’ Saudaranya itu menjawab, “Tinggalkan aku dengan Tuhanku.” Baginda bersabda, ‘Orang tersebut mengulangi kata-katanya kepada saudaranya, namun dia berkata, “Tinggalkan aku dengan Tuhanku. Sehinggalah satu hari dia melihat saudaranya itu sedang melakukan dosa, lalu dia berkeras dengannya seraya berkata, ‘Celaka engkau, tinggalkanlah dosa.’ Dia menjawab, “Tinggalkan aku dengan Tuhanku. Adakah engkau diutuskan kepadaku sebagai penjaga?’ Maka dia (orang yang kuat beribadah) berkata, ‘Demi Allah, Allah tidak akan mengampunimu selama-lamanya,’ atau dia berkata, ‘Allah tidak akan memasukkanmu ke dalam syurga selama-lamanya.’ Setelah itu, satu malaikat diutuskan kepada mereka berdua dan mencabut nyawa kedua-duanya. Kemudian, mereka dihimpunkan di hadapan Allah azza wa jalla, lantas Tuhan kita berkata kepada orang yang kuat beribadah itu, ‘Adakah engkau mengetahui? Atau adakah engkau berkuasa ke atas segala perkara yang berada di tangan-Ku? Atau engkau mengharamkan rahmat-Ku ke atas hamba-Ku? Pergilah ke syurga memaksudkan si pelaku dosa -,’ dan berfirman kepada seorang lagi (orang yang kuat beribadah), ‘Bawalah dia ke neraka.”” (Abu Hurairah berkata,) ‘Demi Tuhan yang diri saya berada di tangan-Nya, dia telah mengatakan suatu perkataan yang memusnahkan dunia dan akhiratnya.”

(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban-lafaz Ibnu Hibban. Tahkik Sunan Abi Daud dan Shahih Ibnu Hibban: Sanadnya hasan)

Pengajaran

  • Larangan bersumpah atas nama Allah SWT agar Dia tidak mengampuni atau memasukkan saudaranya ke dalam syurga sama sekali.
  • Seorang hamba tidak akan masuk ke dalam syurga dengan amalannya, bahkan melalui rahmat dan reda Allah SWT.
  • Mempelajari teknik memberi nasihat dan berdakwah kepada manusia dengan hikmah dan bijaksana.

Sumber: Hadis Qudsi: Menelusuri Hikmah di Sebalik Firman Allah SWT oleh Muhammad Yusuf A Kadir

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑