Hukum Khitbah 

Soalan

Bolehkah seorang lelaki melamar seorang perempuan secara terus tanpa orang tengah atau ibu bapa pasangan? Apakah hukum melamar melalui internet/media sosial/mesej/panggilan telefon?  

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Khitbah Dalam Islam

Khitbah bermaksud menzahirkan keinginan untuk mengahwini seorang wanita yang tertentu, dan wanita tersebut menyampaikan hasrat tersebut kepada walinya. Pemberitahuan ini sama ada disampaikan secara terus daripada lelaki tersebut atau melalui perantaraan keluarganya. Apabila lamaran ini dipersetujui oleh wanita atau keluarganya, maka telah sempurnalah lamaran antara kedua-dua pihak. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 9, hlm. 3]

Imam al-Khatib al-Syarbini menyatakan di dalam kitabnya mengenai definisi khitbah:

الخطبة التماس الخاطب النكاح من جهة المخطوبة

Maksudnya: Khitbah itu ialah pertanyaan untuk melangsungkan pernikahan yang dilakukan oleh pihak pelamar (lelaki) kepada pihak yang dilamar (perempuan). [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 3, hlm. 183]

Perkataan khitbah ini juga disebut di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

وَلَا جُنَاحَ عَلَيۡكُمۡ فِيمَا عَرَّضۡتُم بِهِۦ مِنۡ خِطۡبَةِ ٱلنِّسَآءِ

Maksudnya: “Dan tidak ada dosa bagi kalian meminang wanita-wanita itu dengan kiasan/ sindiran.” (Surah al-Baqarah 2:235)

Di dalam mazhab Syafi’e, hukum khitbah ini adalah disunatkan berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW yang melamar Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah binti Umar.

Hukum Khitbah Berdasarkan Keadaan Seorang Wanita

Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa diharuskan untuk melamar seorang wanita yang tidak terikat dengan sebarang ikatan perkahwinan, iddah, dan larangan menikah yang lain, sama ada dengan cara lafaz yang jelas dan terang-terangan ataupun boleh juga dengan lafaz kiasan. [Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 19, hlm. 190-191]

Namun begitu, terdapat beberapa golongan wanita yang tidak boleh dikhitbah iaitu:

  1. Wanita yang sudah terikat dengan ikatan perkahwinan. Sama ada lamaran itu dilakukan secara jelas atau kiasan. Bahkan, hukumnya adalah haram untuk melamar wanita yang sudah bernikah.
  2. Wanita yang masih di dalam iddah raj’iyyah. Mereka ini juga diharam untuk dipinang oleh lelaki lain sama ada secara jelas atau kiasan.
  3. Wanita yang telah dipinang oleh lelaki lain. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW oleh Ibn Umar:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَبِيعَ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَلَا يَخْطُبَ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَتْرُكَ الْخَاطِبُ قَبْلَهُ أَوْ يَأْذَنَ لَهُ الْخَاطِبُ

Maksudnya: Nabi Muhammad SAW melarang berjual beli di atas jualan sebahagian dari kamu dan (Nabi juga melarang) seorang lelaki meminang tunangan saudaranya sehinggalah dia meninggalkan tunangannya ataupun diizinkan oleh saudaranya (untuk meminang perempuan tersebut).

(Riwayat al-Bukhari 5142)

Al-Khatib al-Syarbini menyatakan larangan tersebut dikeluarkan adalah kerana ianya merupakan suatu perkara yang boleh menyakiti orang lain. [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 3, hlm. 184]

Khitbah Melalui Media Sosial atau Laman Pencarian Jodoh

Perkembangan teknologi pada era ini membawa masyarakat ke arah globalisasi alat telekomunikasi dan maklumat. Seiring berkembangnya teknologi , timbul situasi-situasi di mana suatu akad dilakukan melalui jaringan media sosial atau dalam talian (online), misalnya jual beli dalam talian, nikah dalam talian, pencarian jodoh atau khitbah melalui media sosial.   

Kaedah fiqhiyyah menyatakan:

الكتاب كالخطاب

Maksudnya: “Penulisan sama kedudukannya seperti percakapan”

Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam mensyarahkan kaedah ini menyatakan bahawa penulisan antara orang yang tidak hadir sama seperti pertuturan sesama orang yang hadir. Hal ini kerana alat tulis merupakan salah satu alat bicara (menyampaikan). Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah diperintahkan untuk menyampaikan risalah (agama Islam) kepada manusia seluruhnya. Ada kalanya Baginda SAW telah menyampaikan kepada mereka melalui penulisan (perutusan surat) dan ada kalanya melalui pertuturan. [Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqiha fi al-Mazahib al-Arba’ah, jld. 1, hlm. 339]

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitab yang sama juga menyatakan bahawa:

من أراد أن يخطب امرأة ويتزوجها فكتب إليها بالخطبة والزواج، فإذا بلغ المرأة الكتاب، وأحضرت الشهود، وقرأته عليهم، وقالت: زوجت نفسي منه، انقعد النكاح وصح.

Maksudnya: Sesiapa yang ingin meminang seorang wanita kemudian menikahinya, maka ditulis kepada wanita tersebut pinangan dan nikah. Apabila sampai kepada wanita itu penulisan tersebut dan hadir bersamanya saksi-saksi, dan dibacakan penulisan tersebut kepada mereka, kemudian dia berkata: Aku menikahkan diriku dengannya. Maka terkaitlah dan sah pernikahan tersebut. [Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqiha fi al-Mazahib al-Arba’ah, jld. 1, hlm. 340-341]

Tambahan, sebagaimana yang kita maklum terdapat pelbagai laman pencarian jodoh yang ditubuhkan oleh pihak tertentu bagi membantu umat Islam mencari pasangan untuk mendirikan rumahtangga.

Kaedah fiqh menyatakan:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: Asal kepada sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil ke atas pengharamannya.

Berdasarkan kaedah fiqh tersebut, dapat dikaitkan dengan laman pencarian jodoh yang sekiranya ditubuhkan atas tujuan yang membawa kepada kebaikan, maka ianya diharuskan. Namun, sekiranya jelas penubuhan laman tersebut boleh membawa kepada kemaksiatan, maka ia diharamkan.

Kaedah fiqh juga menyatakan lagi:

الوسائل لها أحكام المقاصد

Maksudnya: Kesemua wasilah (cara) baginya adalah berdasarkan hukum yang hendak dicapai.

Kaedah ini bermaksud bahawa setiap perkara yang membawa kepada hukum harus maka matlamat yang hendak dicapai itu juga harus hukumnya. Manakala, setiap perkara yang membawa kepada hukum haram maka matlamat yang hendak dicapai itu juga haram hukumnya.

Oleh yang demikian berbalik kepada persoalan yang diajukan, berdasarkan penerangan di atas, dapat difahami bahawa harus dan sah sekiranya seorang lelaki meminang seorang wanita melalui mesej atau media sosial atau internet atau lain-lain medium selagi mana jelas niat dan penulisannya untuk meminang wanita tersebut serta wanita yang dikhitbah itu seorang wanita yang harus dilamar dan dinikahi, bukan wanita yang dilarang seperti yang disebutkan di atas. 

Hal ini kerana kedudukan tulisan sama seperti kedudukan pertuturan. Selain itu, khitbah yang dilakukan juga adalah di atas unsur kerelaan oleh kedua belah pihak dan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak lain.

Begitu juga khitbah melalui laman pencarian jodoh yang sedia ada pada masa kini. Justeru, selagi mana jelas bahawa tujuan pertubuhan laman tersebut adalah untuk mendorong ke arah kebaikan serta terdapat garis panduan yang dapat mencegah dari perkara yang diharamkan syariat misalnya, penjagaan batas pergaulan di antara berlainan jantina, peraturan menjaga aurat melalui gambar atau video, menjaga privasi pengguna laman dan lain-lain, maka hukum penggunaannya adalah diharuskan.

Namun begitu perlu juga diberi perhatian ialah tentang adab-adab sosial yang diterapkan dalam Islam iaitu dengan tidak membelakangkan wali dan ahli keluarga dalam urusan nikah kahwin ini. Peminangan sebaiknya dilakukan melalui kaedah utusan rasmi daripada pihak lelaki kepada wali pihak wanita yang ingin dipinang. Hal ini bertujuan untuk menjaga keharmonian rumahtangga dan hubungan silaturrahim yang bakal dipupuk antara kedua-dua belah pihak. Pengabaian restu daripada ibu ayah akan mengundang murka Allah SWT maka ia akan menjadi penyebab hilangnya barakah dalam hidup berumahtangga.

Semoga Allah sentiasa mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑