Mana Lebih Utama Korban Seekor Kambing Atau Satu Bahagian Lembu?

Bulan Zulhijjah semakin hampir dan pelbagai pihak sedang giat mempromosikan program ibadah korban untuk memudahkan umat Islam turut serta. Sekiranya berkemampuan, pilihan yang mana lebih baik untuk melakukan korban untuk seorang? Adakah menyembelih seekor kambing atau memilih satu bahagian lembu? Ikutilah penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang soalan ini. 

Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Melakukan korban dengan seekor kambing lebih afdal dibandingkan dengan satu bahagian lembu. Perkara ini disebutkan oleh Imam Khatib al-Syirbini, menurutnya:

“(Melakukan korban) bagi seekor kambing adalah lebih afdal daripada berkongsi seekor unta kerana seseorang itu bersendirian dalam menumpahkan darah dan lebih enak dagingnya .”

(Rujuk Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 4/285).

Kesimpulan

Melakukan korban dengan seekor kambing lebih afdal dibandingkan dengan satu bahagian lembu kerana mengorbankan satu haiwan untuk seorang lebih afdal daripada berkongsi beberapa orang pada satu haiwan. Selain itu, daging kambing juga lebih baik dan enak untuk dikongsi dan diagihkan kepada orang lain.

Dan, walaupun satu bahagian korban itu mewakili satu nama sahaja tetapi dari sudut dari sudut pahala, InsyaAllah Allah akan bahagikan pahala pada syiar, pelaksanaan sunnah, dan tolong menolong atas kebaikan.

Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini:

“Jika seseorang itu berkorban dengan menyembelihnya (kambing) dari dirinya dan dari keluarganya, atau dari dirinya dan orang lain bersekutu pada pahalanya, maka dibenarkan.” Rujuk Al-Iqna’ (2/567)

Wallahu a’lam.

Artikel Asal:

Berkongsi Satu Bahagian Korban

Mana Lebih Utama Korban Seekor Kambing atau  Satu Bahagian Lembu?

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑