Nazar Untuk Menghantar Kedua Ibu Bapa Menunaikan Haji

Soalan

Ketika arwah ibu saya sedang sakit tenat, saya bernazar jika beliau dikembalikan sihat oleh Allah ta’ala, saya akan menghantar kedua ibu bapa saya pergi menunaikan haji. Alhamdulillah, beliau beransur pulih dan sihat seperti sedia kala. Setelah saya mendapat pekerjaan, saya pun mula membuat simpanan tabung haji dengan kedua-dua akaun ibu dan bapa saya. 

Urusan pendaftaran haji telah pun dilakukan dan mereka sedang mengikuti kursus haji. Namun, ibu saya telah dijemput kembali ke rahmatullah terlebih dahulu, kemudian diikuti bapa saya tiga tahun kemudian sebelum sempat mendapat jemputan sebagai tetamu agung ke tanah suci. 

Soalan saya, adakah kos badal haji untuk kedua arwah ibu bapa saya wajib ditanggung oleh saya seorang memandangkan saya telah bernazar seperti yang tersebut di atas? Adakah saya wajib melaksanakan kaffarah nazar memandangkan nazar saya tidak dapat ditunaikan ketika arwah masih hidup? Andai kata saya wajib melaksanakan kaffarah nazar, bolehkah saya melakukan qurban untuk melunaskan kaffarah nazar tersebut?

Penjelasan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

a. Nazar

Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala pada istilah, nazar ditakrifkan sebagai:

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: “Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.” (Rujuk Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jld. 2, hlmn. 501)

Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلۡيُوفُواْ نُذُورَهُمۡ

Maksudnya: Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.

(Surah Al-Hajj 22:29)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‘’مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ’’

Maksudnya: ‘’Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepada-Nya’

(Riwayat Al-Bukhari 6696)

b. Kaffarah

Manakala Kaffarah pula pada istilah fiqh ialah perbuatan yang boleh menghapuskan dosa sama ada memerdekakan hamba, bersedekah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu.

Nazar yang dikenakan kaffarah ialah nazar perbalahan ( نذر اللجاج ) iaitu bernazar semasa pergaduhan. Contohnya seorang berkata Ketika bergaduh: “Jika aku bercakap dengannya, wajiblah aku mengerjakan haji kerana Allah SWT.” Tujuannya berkata demikian adalah untuk mengelakkan dirinya daripada bercakap dengan seseorang ketika perbalahan tersebut.

Jika dia bercakap dengannya, wajib ke atasnya satu daripada dua perkara sama ada melaksanakan nazar dan iltizamnya dengan menunaikan haji atau membayar kaffarah melanggar sumpah ( الحنث ).

Kaffarah melanggar sumpah adalah dengan memerdekakan seorang hamba atau memberi makan kepada sepuluh orang miskin, atau memberikan mereka pakaian, Jika tidak dapat melaksanakan kesemua tersebut, hendaklah berpuasa tiga hari yang tidak disyaratkan berturut-turut. 

Hal ini berdasarkan hadis daripada Uqbah Bin Amir RA, daripada Rasulullah SAW, sabdanya:

“كَفَّارَةُ النَّذْرِ كَفَّارَةُ اليَمِينِ”

Maksudnya: “Kaffarah nazar sama seperti kaffarah sumpah

(Riwayat Muslim, 1645)

Oleh itu, jika seseorang itu bernazar dan tidak memenuhi nazarnya maka wajib baginya melaksanakan kaffarah nazar seperti yang telah disebut di atas dan bukan selainnya.

Hukum Badal Haji Bagi Ibu Ayah Yang Telah Meninggal Dunia

Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَيۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَيۡهِ سَبِيلٗاۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ ٱلۡعَٰلَمِينَ 

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

(Surah Ali ‘Imran 3:97)

Pada dasarnya, syarat wajib haji terbahagi kepada lima perkara iaitu:

  • 1.Islam
  • 2.Baligh
  • 3.Berakal
  • 4.Merdeka
  • 5.Berkemampuan

Oleh itu, mereka yang memenuhi kelima-lima syarat wajib haji ini, maka diwajibkan ke atasnya untuk mengerjakan ibadah haji. Manakala bagi yang tidak dapat memenuhi salah satu atau kesemuanya, maka kewajipan haji ini terangkat daripada dirinya sehinggalah dia dapat memenuhi kesemua syarat di atas. Sehubungan dengan itu, dalam membicarakan hal pada syarat wajib haji yang kelima iaitu berkemampuan, perkara ini terbahagi kepada dua jenis iaitu secara langsung dan juga tidak langsung.

Berkemampuan secara langsung ialah mereka yang mampu dan berupaya untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah dengan tubuh badannya sendiri tanpa mengalami sebarang kesusahan atau kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya. Manakala berkemampuan secara tidak langsung pula ialah seseorang mukalaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, jld. 2, hlm. 124)

Adakah wajib bagi para waris mengerjakan badal haji bagi ibu atau bapanya yang telah meninggal dunia tanpa sempat menunaikan haji?

Dalam hal ini, ada dinukilkan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, di bawah tajuk sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan tidak mengerjakan kewajipan haji. Pengarang menyebut:

“إذا وجب على الإنسان الحج أو العمرة، ولكنه تراخى عن أدائها فلم يؤدهما حتى مات، مات عاصياً، ووجب تكليف من يحج عنه أو يعتمر، وتدفع النفقة من رأس مال المتوفى، وتعد هذه من الديون، فلا تقسم التركة إلا بعد أداء الديون.”

Maksudnya: “Sekiranya telah diwajibkan haji atau umrah ke atas seseorang, tetapi dia menangguhkannya atau melengah-lengahkannya, dan tidak mengerjakan kedua-duanya sehinggalah dia meninggal dunia, maka dia meninggal dalam keadaan berdosa, maka diwajibkan agar ditentukan seseorang bagi mengerjakan haji atau umrah bagi pihaknya, dengan tanggungan harta si mati, dan kewajipan ini dikira sebagai hutang. Oleh yang demikian, harta peninggalan si mati tidak boleh dibahagikan dan difaraidkan melainkan selepas selesai melunaskan hutang-hutang tersebut.”  (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, jld. 2, hlm. 176)

Ini berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Abbas R.A, seorang perempuan daripada Bani Juhainah datang bertemu Rasulullah SAW, lalu berkata:

” إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ أَفَأَحُجَّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَتَهُ؟‏ قَالَتْ: نَعَمْ‏.‏ قَالَ: اَقْضُوا دَينَ اللهِ، الَّذِي لَهُ، فَإِنَّ اللَّهَ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ “.

Maksudnya: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk mengerjakan haji. Adakah aku perlu mengerjakan haji bagi pihaknya?” Baginda menjawab: “Ya, tunaikanlah haji bagi pihaknya. Bukankah sekiranya ibumu berhutang, kamu akan menyelesaikannya?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda lagi: “Tunaikanlah hutang Allah kerana hutang Allah lebih berhak ditunaikan.

(Riwayat al-Bukhari, 7315)

Ibn Hajar al-Haitami menyebut, oleh sebab disamakan haji dengan hutang dan juga adanya tuntutan untuk melunaskannya, maka ia menunjukkan kewajipan mengerjakan haji bagi pihak si mati, dan perbelanjaannya diambil daripada harta si mati. Beliau menambah lagi, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta pusaka, maka gugur kewajipan haji ke atasnya begitu juga tidak wajib seseorang waris mengerjakan haji bagi pihaknya. 

Akan tetapi disunatkan bagi para waris mahupun orang asing untuk mengerjakan haji bagi pihak si mati sekalipun ahli waris tidak mengizinkannya. (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, jld.4, hlm. 28-29).

Kesimpulannya, seseorang yang telah berkemampuan untuk mengerjakan haji namun dia meninggal dunia sebelum sempat mengerjakannya, maka ahli warisnya wajib mengerjakan badal haji bagi pihaknya dengan menggunakan harta peninggalan si mati kerana ia merupakan beban hutang buat si mati. Namun, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta atau harta si mati tidak mencukupi, maka tidak wajib untuknya mengerjakan haji bagi pihak si mati. Sebaliknya ia menjadi perkara yang sunat untuk dikerjakan oleh ahli warisnya ataupun orang asing yang lainnya. 

Maka berdasarkan soalan yang diajukan, tuan wajib melaksanakan kafarah nazar seperti yang telah disebutkan di atas kerana nazar tidak dapat ditunaikan. Manakala kos badal haji untuk arwah ibu dan ayah bolehlah diambil dari harta yang telah ditinggalkan oleh mereka sekiranya mencukupi. Jika tidak, maka sunat bagi ahli waris untuk menanggung perbelanjaan kos badal haji tersebut.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑