Daripada Ibn Abbas RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Tuhannya yang berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menetapkan kebaikan-kebaikan dan keburukan-keburukan kemudian menerangkannya: Sesiapa berhasrat mengerjakan namun tidak jadi mengerjakannya, Allah mencatat di sisi-Nya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia berhasrat mengerjakan kebaikan lalu benar-benar mengerjakannya, Allah mencatat nilai kebaikan itu sepuluh kali hingga tujuh ratus kali ganda, bahkan berlipat ganda lagi. Dan sesiapa berhasrat mengerjakan keburukan namun tidak jadi mengerjakannya, Allah mencatat di sisi-Nya satu kebaikan yang sempurna, dan jika dia berhasrat mengerjakan keburukan lalu benar-benar mengerjakannya, Allah hanya mencatat satu keburukan untuknya.”
(Riwayat al-Bukhari no. 6149 dan Muslim no.131)
Huraian
Ini adalah sebuah hadis kudsi yang memuatkan khabar gembira dan harapan yang besar terhadap kurniaan Allah SWT yang Maha Luas.
Hadis ini memberikan harapan dan dorongan untuk bekerja keras dengan terus melakukan muraqabah (pengawasan) kepada Allah SWT.
Perbuatan Yang Baik
Semua perbuatan yang baik mendapat balasan sepuluh kali ganda, atau seratus kali ganda atau 700 kali ganda mengikut kehendak Allah .
Firman Allah SWT:
مَن جَآءَ بِٱلْحَسَنَةِ فَلَهُۥ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ
Maksudnya: Barang siapa melakukan amal yang baik, maka baginya pahala sepuluh kali ganda amalnya. (Surah al-An’am 6: 160)
Firman Allah:
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ (٢٦١)
Maksudnya: Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai. Setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji, Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Baqarah 2:261)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Seorang lelaki datang dengan membawa unta yang diikat hidungnya lalu berkata, ‘Ya Rasulullah, unta ini saya berikan untuk keperluan fi sabilillah’ Rasulullah menjawab, ‘Kamu akan mendapat tujuh ratus ekor unta yang turut diikat hidungnya pada hari kiamat kelak.””
(Riwayat Muslim daripada Ibn Mas’ud RA)
Ibn Khalaf yang dikenali dengan nama Ibn Bathal, pengarang kitab al-Ifshah dalam salah satu kenyataannya mengatakan:
“Sesungguhnya tatkala Allah SWT mengurangi umur umat Muhammad SAW. Allah SWT mengganti singkatnya umur itu dengan melipatgandakan pahala amalnya.”
Perbuatan Buruk
Semua perbuatan buruk hanya dicatat satu keburukan dan tidak dilipatgandakan.
Firman Allah SWT :
وَمَن جَاءَ بِالسَّيْتَةِ فَلا يُجرى إلا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
Maksudnya: Dan sesiapa yang melakukan perbuatan yang jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan).
(Surah al-An’am 6:160)
Tetapi keburukan boleh mendapat balasan yang lebih besar pada tiga keadaan:
- Melakukan keburukan pada bulan-bulan haram.
- Melakukan keburukan di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah.
- Orang yang melakukan keburukan itu tinggi makrifatnya dan hampir dengan Allah.
Berazam Untuk Melakukan Kebaikan
Azam yang dimaksudkan hendaklah bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya, bukan sekadar lintasan pada fikiran sahaja.
Abu Darda’ berkata: “Sesiapa yang ketika hendak tidur berniat untuk melakukan qiamulail, akan tetapi ia tidak terbangun hingga subuh, maka baginya pahala daripada apa yang telah diniatkan.”
Jika seseorang berniat baik lalu melaksanakannya, hal itu bererti dia telah keluar daripada lingkup niat lalu menjelma kepada amal.
Niat baiknya ditulis sebagai suatu kebaikan, kemudian perbuatan baiknya digandakan. Hal ini semua bergantung pada ikhlas atau tidaknya niat pada perbuatan masing-masing.
Berniat Melakukan Dosa
Jika seseorang berniat melakukan dosa, namun tidak melakukannya, maka Allah akan mencatat sebagai satu kebaikan penuh.
Malah membatalkan niat untuk melakukan dosa semata-mata kerana Allah dianggap salah satu amal soleh iaitu keredaan Allah SWT.
Tetapi membatalkan niat untuk melakukan dosa kerana takut kepada manusia, risiko dan sebagainya tidak dicatat sebagai kebaikan, malah berdosa kerana telah mendahulukan rasa takut terhadap manusia daripada rasa takut kepada Allah SWT.
Lain-Lain Pengajaran Daripada Hadis
- Malaikat mengetahui apa yang diniatkan oleh manusia.
- Sentiasa berharap untuk membuat dan mendapat kebaikan ialah amalan ahli syurga.
- Rahmat Allah terhadap hamba-Nya sangatlah luas, pengampunan Nya mencakup semua dosa dan pemberian-Nya tidak ada habisnya.
- Allah tidak mengira bahawa berfikir untuk melakukan maksiat itu sebagai satu dosa.
- Seorang Muslim hendaklah sentiasa berniat untuk melakukan kebaikan.
- Ikhlas dalam ketaatan dan dalam rangka meninggalkan maksiat ialah kunci untuk mendapatkan pahala.
- Ganjaran apabila melakukan kebaikan berlipat-lipat kali ganda, tidak seperti melakukan keburukan dan dosa hanya sekali sahaja.
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria
Leave a comment