أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًۭا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍۢ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍۢ (٢٧)
Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
(Surah Al-Hajj 22:27)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran 3:102)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbualbual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga kita mendapat manfaat daripada khutbah yang disampaikan ini.
Sempena bulan Haji mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “LAMBAIAN KAABAH“.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Ibadat Haji merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukallaf. Tuntutan dan kewajipannya hanya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan dan berkuasa menampung perbelanjaan urusan Haji serta perbelanjaan nafkah tanggungan keluarga yang ditinggalkan. Ibadah Haji bukan sekadar melancong dan bersantai semata-mata malah ia merupakan kembara multi-dimensi merangkumi pelaksanaan ibadah secara fizikal, rohani dan harta bagi menjadi tetamu Allah SWT dan meraih reda-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 27 bermaksud:
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh”
(Surah Al-Hajj 22:27)
Apabila seseorang dijemput menjadi Duyuf al-Rahman, sudah tentu dia meninggalkan segala kesenangan dunia dengan meninggalkan harta, anak-anak, ahli keluarga, ibu-bapa, pekerjaaan, perniagaan dan sebagainya. Disana, kedudukan manusia adalah sama tanpa terkecuali melainkan amalan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Allah SWT memuliakan Duyuf al-Rahman tanpa mengira bangsa, warna kulit, status dan kedudukan. Sebagai tetamu yang terpilih, anggaplah ia adalah peluang keemasan dan nikmat kurnian Allah SWT kepada hamba-Nya agar dapat beribadat dengan tekun dan mengharapkan pengampunan daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 197:
ٱلْحَجُّ أَشْهُرٌۭ مَّعْلُومَـٰتٌۭ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلْحَجِّ ۗ
Maksudnya: “Musim Haji itu adalah beberapa bulan yang dimaklumi. Sesiapa yang mewajibkan Haji ke atas dirinya dalam tempoh itu, dia tidak boleh mencampuri isteri, tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar pada masa mengerjakan ibadah Haji.”
(Surah Al-Baqarah 2:197)
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Sebagai hamba Allah SWT, kita tidak terkecuali dari mendapat cabaran dan ujian hidup di dunia. Begitu juga, ujian dan dugaan di Tanah Suci. Maka, jangan berkeluh-kesah, merasa kesal dan marah dengan dugaan serta mempertikaikan ketentuan Allah SWT. Sudah pastinya ujian datang dari Allah SWT dan kepada-Nya jualah kita memohon pertolongan. Beribadahlah dengan tenang dan sabar, memperbanyakkan istighfar serta bermuhasabah dengan dosa-dosa yang lalu. Mudah-mudahan Haji yang dikerjakan dibalas dengan ribuan kebaikan.
Hadis daripada Jabir Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada hari yang paling baik di sisi Allah melainkan hari Arafah. Allah turun ke langit dunia (memberi sepenuh penumpuan) dan bermegahmegah dengan penduduk langit untuk penduduk dunia, Lantas berkata, “Lihatlah kepada hamba-Ku, mereka berkumpul di hadapan dengan penuh debu, mereka datang dari semua penjuru yang jauh, mereka mengharapkan rahmat-Ku, dan tidak mengharapkan azab, maka tidak dilihat hari yang lebih banyak pelepasan daripada api neraka-Ku daripada hari Arafah.”
(Riwayat Ibnu Hibban)
Apabila terpilih menjadi tetamu Allah SWT, bermujahadahlah untuk melaksanakan ibadat dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Tidak dinafikan terdapat cabaran dan dugaan dalam melaksanakan ibadat Haji. Kadang-kala, sering merasa rindu kepada anak-anak dan kampung halaman, ujian cuaca yang panas, sakit yang melemahkan jasad dan rohani seperti demam, batuk dan selsema berpanjangan, kaki sakit kesan berjalan di Tanah Suci. Begitu juga, dihalau oleh penguat kuasa, bersesaksesak di tempat tawaf dan saei, ruang khemah di Mina yang sempit dan kurang selesa, jauh berjalan ke tempat melontar di Jamarat dan tersekat di Muzdalifah menjadikan kita berfikir dan merenung dalam diri. apakah hikmah terbesar pelaksanaan ibadah Haji yang memerlukan persediaan kekuatan fizikal, rohani dan harta bagi mendapatkan ibadah Haji yang mabrur.
Oleh itu, bertawakkal kepada Allah SWT dengan menyerahkan segala urusan kepada-Nya. Ini kerana, Allah SWT suka dan kasih kepada mereka yang berserah diri kepada-Nya. Anggaplah ia cabaran dan dugaan dalam melaksanakan ketaatan dan ketundukan kepada Allah SWT, tuhan Yang Maha Agung.
Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 4:
رَّبَّنَا عَلَيْكَ تَوَكَّلْنَا وَإِلَيْكَ أَنَبْنَا وَإِلَيْكَ ٱلْمَصِيرُ(٤)
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali”
(Surah Al-Mumtahanah 60:4)
Hadirin yang dirahmati Allah SWT,
Matlamat utama ibadah Haji adalah untuk meraih Haji mabrur. Ia merupakan impian dan cita-cita setiap bakal jemaah Haji yang ingin mengembara menyahut lambaian Kaabah. Kalimah al-Mabrur sebagai alMaqbul iaitu “diterima”. Dengan kata lain Haji mabrur adalah Haji untuk mendapatkan kebaikan atau Haji yang (pelakunya) menjadi baik. Menurut sebahagian ulama, ciri-ciri Haji mabrur adalah perubahan perilakunya menjadi lebih taat dan tunduk kepada Allah SWT setelah melaksanakan ibadah Haji.
Beberapa ciri Haji mabrur yang boleh dinyatakan adalah menjaga dan memelihara lisan daripada kata-kata yang keji dan buruk, berusaha mempertautkan silaturahim dan ukhuwah Islamiyyah, Istiqamah dalam solat berjemaah dan amalan bersedekah. Seseorang yang mendapatkan Haji Mabrur akan mendapatkan ganjaran syurga daripada Allah SWT. Mereka akan sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya serta menjaga hubungan baik sesama manusia bahkan kepada makhluk lain dengan menjaga kata-kata dan perbuatannya.
Abu Hurairah Radhiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
Maksudnya: “Haji Mabrur itu tiada balasannya melainkan syurga.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Abu Hurairah Radhiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ حَجَّ فَلَمْ يَرْفُثْ, وَلَمْ يَفْسُقْ, رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan haji maka tidak bersetubuh (dengan isterinya), tidak berbuat maksiat, maka dia kembali dari menunaikan haji dalam keadaan suci dan bersih dari dosa sebagaimana pada hari dia dilahirkan oleh ibunya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadirin yang dirahmati Allah SWT,
Bersegera dan berusahalah menyediakan kemampuan diri kita untuk menunaikan ibadah Haji bagi yang belum diberikan kesempatan untuk menunaikannya. Jika masih belum menabung, rancanglah pelaburan dan persiapan untuk menjadi tetamu Allah SWT pada suatu hari nanti. Ibnu Abbas Radhiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَعَجَّلُوا إِلَى الْحَجِّ يَعْنِي الْفَرِيضَةَ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَا يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ
Maksudnya: “Segeralah kamu menunaikan haji (yang wajib) kerana kamu tidak mengetahui apa-apa yang mungkin menimpa”
(Riwayat Imam Ahmad)
Mudah-mudahan mereka yang belum berkesempatan untuk mengerjakan ibadat Haji dapat menyusul menjadi tetamu Allah SWT dan menyahut panggilan Kaabah di Tanah Suci Mekah. Bagi bakal jemaah Haji mimbar mendoakan menjadi Duyuf al-Rahman (tetamu Allah SWT di Mekah) dan mendapat Haji yang mabrur dengan lafaz:
زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ
“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.”
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dan penghayatan agar dijadikan pedoman dalam hidup kita antaranya ialah:
- Umat Islam hendaklah yakin bahawa Allah SWT mencintai dan mengasihi orang yang berkorban harta, masa dan tenaga untuk mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci Mekah.
- Umat Islam hendaklah menjadikan matlamat utama ibadah Haji adalah untuk meraih Haji mabrur. Ia merupakan impian dan cita-cita setiap bakal jemaah Haji yang ingin mengembara menyahut lambaian Kaabah.
- Mukmin yang mampu dan cukup syarat untuk menunaikan ibadah Haji adalah wajib menunaikan ibadah tersebut.
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍۢ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِى بِبَكَّةَ مُبَارَكًۭا وَهُدًۭى لِّلْعَـٰلَمِينَ (٩٦)
Maksudnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”
(Surah Ali Imran 3:96)
Tarikh Dibaca: 17 Mei 2024M l 8 Zulqa’dah 1445H
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment