أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَـٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍۢ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ (١١)
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita dibangkitkan dalam kalangan orang-orang yang bertakwa di akhirat kelak. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara-perkara yang lalai ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Semoga Allah SWT mengganjari pahala atas amal ibadah yang kita laksanakan.
Pada hari yang berbahagia ini, marilah bersama kita hayati bicara khutbah yang bertajuk: “GURU MENGANGKAT MARTABAT INSAN.”
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Guru adalah murabbi, mudarris, muaddib, mu’allim dan mursyid yang sangat mulia di sisi agama. Islam menyanjung tinggi martabat seorang guru kerana jasa dan peranan mereka yang sangat besar dalam mengangkat martabat insan. Menjadi guru adalah satu kemuliaan kerana sentiasa mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Inilah hakikat dan nilai sebenar seorang guru yang menerangi kehidupan manusia melalui cahaya ilmunya. Sesungguhnya, mereka adalah pusat kepada ilmu yang bertanggungjawab dalam membentuk manusia yang bertamadun. Guru sentiasa memberikan inspirasi dan motivasi sehingga memungkinkan anak-anak didik mereka mencapai kejayaan serta mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang pekerjaan.
Seperti kata hikmah: “Guru ibarat lilin yang membakar diri demi memberi cahaya atau petunjuk kepada anak-anak muridnya dalam kehidupan.”
Hayati firman Allah SWT di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang dibacakan pada permulaan khutbah yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu, berilah kelapangan dalam majlis (untuk membuka ruang tempat duduk orang lain), maka lapangkanlah, nescaya Allah memberi kelapangan untuk kamu. Apabila diminta kepada kamu, berdirilah, maka bangunlah, nescaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (di kalangan kamu) beberapa darjat. (Ingatlah) Allah Maha Luas Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Mujadalah 58:11)
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Sejarah telah membuktikan bahawa kegemilangan sesebuah negara bergantung kepada kecemerlangan rakyatnya. Insan yang berperanan besar mewujudkan kegemilangan tersebut ialah guru. Hakikatnya, dalam mengharungi proses dan sistem pendidikan di negara kita, seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran dalam konteks tugasannya di bilik darjah dan sekolah. Oleh itu, sambutan Hari Guru kali ke-53 ini bertema ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI’.
‘Guru Jauhari Digital’ membawa konotasi bahawa sekumpulan guru yang mahir berkaitan penggunaan digital dan dapat mengintegrasikan aspek digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.
Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan pada akhir 2023, telah memberikan fokus kepada perancangan, pelaksanaan dan inisiatif program berkaitan digital. Justeru, pelajar generasi kini perlu dipastikan memiliki kecekapan digital yang memadai, selain menyesuaikan diri dengan kehidupan yang semakin berkembang melalui teknologi digital.
Sesungguhnya guru, ibu bapa, pemimpin dan masyarakat hendaklah bersama menghayati Falsafah Pendidikan Guru dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai asas membina pendidikan negara. Sudah semestinya menjadi keutamaan ia perlu didasari oleh panduan syariat dalam mencorakkan peribadi murid ke arah keseimbangan duniawi dan ukhrawi.
Mimbar mengambil kesempatan untuk berkongsi beberapa panduan syariat sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam bukunya yang berjudul ‘Bidayatul Hidayah’, antaranya:
Pertama: Guru sentiasa mengingatkan kepada anak didiknya supaya sentiasa memperbaiki niat belajar kerana Allah. Niat yang ikhlas akan menatijahkan keberkatan dalam menuntut ilmu.
Kedua: Bertanggungjawab. Sebagai pendidik, guru bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya.
Ketiga: Memberi bimbingan yang sewajarnya serta sentiasa memberikan sokongan yang berterusan kepada pelajar untuk meningkatkan keyakinan diri, motivasi dan pencapaian cemerlang.
Lantaran itu, saban tahun pada tanggal 16 Mei adalah hari istimewa yang disambut untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik seluruh Malaysia. Mimbar mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan Selamat Hari Guru buat semua pendidik anak bangsa dimanapun mereka berada.
Walau di hujung daerah dan kawasan pedalaman yang ratusan batu jauhnya dari kota, di tengah pulau yang sunyi sepi, di tanah tinggi yang kedinginan mahupun di tengah-tengah kesibukan kota, hari ini ucapan Selamat Hari Guru bergema merentas segala jarak dan sempadan.
Seharusnya ucapan keramat ini menjengah masuk ke lubuk hati bukan sahaja setiap warga pendidik malah seluruh anggota masyarakat. Sesungguhnya jasa mereka tidak terungkap dek perkataan dan tidak terhitung dek perkiraan. Justeru, hargailah guru yang begitu besar jasa mereka dalam hidup kita tanpa mengira sekecil mana ilmu yang telah diajarkannya kepada kita. Tunjukkan adab berterima kasih seorang murid walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang balasan. Berbudi bahasalah apabila berkomunikasi dengan mereka disamping sentiasa mendoakan dan menziarahi mereka.
Buat para guru, teruslah berkhidmat dan bersabar dalam mendidik generasi ini. Semoga segala pengorbanan dan khidmat murni guru diterima Allah SWT dan dikurniakan keberkatan di dunia dan di akhirat.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak kita untuk melihat tiga perkara berikut sebagai panduan dan pedoman bersama:
Pertama: Guru bukanlah semata-mata satu profesion kerjaya, namun mereka ialah insan terpilih menggalas amanah dan tanggungjawab yang besar. Terutamanya dalam menyebarkan ilmu yang bermanfaat seterusnya mengangkat martabat insan.
Kedua: Ibu bapa, pemimpin dan masyarakat hendaklah bersama menghayati Falsafah Pendidikan Guru dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai asas membina pendidikan negara. Tugas dan peranan sebagai pendidik yang menjadi inspirasi kepada orang lain seharusnya digalas bersama oleh banyak pihak kerana tugas mendidik bermula di rumah.
Ketiga: Rasa hormat terhadap guru adalah satu fitrah semula jadi yang tersemai dalam hati insan yang mempunyai akal budi serta budaya berterima kasih. Bersama-sama kita berdoa agar segala pengorbanan dan khidmat murni guru diterima Allah SWT serta dikurniakan keberkatan di dunia dan di akhirat.
Renungkan sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Abdullah bin Umar radiallahuanhuma berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang telah berbuat kebaikan kepadamu, maka balaslah kebaikannya itu. Jika engkau tidak mendapati sesuatu yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdoalah untuknya hingga engkau menganggap bahawa engkau benar-benar telah membalas kebaikannya.”
Tarikh Dibaca: 17 Mei 2024M l 8 Zulkaedah 1445H
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment