Kehidupan manusia di muka bumi ini semakin hari semakin mencabar. Pelbagai isu dan masalah membelenggu kehidupan kita sehari-hari seperti masalah keluarga, kewangan, pekerjaan, persekitaran dan sebagainya yang menuntut tahap kesabaran yang tinggi. Keadaan ini jika tidak ditangani dengan sebaiknya boleh membawa kepada beberapa masalah gangguan kepada jiwa seperti kegelisahan, keresahan dan kemurungan.
Malah terdapat juga segelintir individu yang mengalami gangguan kesihatan mental kesan daripada tidak dapat menangani masalah yang dihadapi dengan baik.
Islam memberi panduan kepada umatnya supaya sentiasa memastikan kesejahteraan hidup berjalan dengan baik agar dapat menjalani ibadah dengan sempurna. Inilah tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT iaitu untuk beribadah kepada-Nya sebagaimana fi rman Allah dalam surah Adh-Dzariyat ayat 56:
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ (٥٦)
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
(Surah Adh-Dzariyat 51:56)
Selain kewajipan menunaikan ibadah khusus seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji, umat Islam juga disarankan agar banyak mengingati Allah dengan membaca al-Quran serta berzikir menyebut nama-Nya.
Zikir bermaksud mengingati Allah dan kebesaran serta kemuliaan-Nya. Ia merupakan kunci kepada perhubungan yang berterusan antara seorang hamba dengan Allah SWT. Terdapat banyak suruhan di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW agar kita sentiasa berzikir kepada-Nya.
Antaranya ialah:
i. Firman Allah dalam surah al-A’raf: 205
وَٱذْكُر رَّبَّكَ فِى نَفْسِكَ تَضَرُّعًۭا وَخِيفَةًۭ وَدُونَ ٱلْجَهْرِ مِنَ ٱلْقَوْلِ بِٱلْغُدُوِّ وَٱلْـَٔاصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلْغَـٰفِلِينَ (٢٠٥)
Maksudnya: “Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya) dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.”
(Surah al-A’raf 7:205)
ii. Firman Allah SWT dalam surah Ar Ra’d: 28
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ (٢٨)
Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
(Surah Ar Ra’d 13:28)
iii. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Adakah kamu suka untuk bersungguh-sungguh di dalam berdoa? Katakanlah ; Ya Allah, tolonglah kami untuk bersyukur, berzikir dan memperelokkan ibadah kepada-Mu”.
(Riwayat Ahmad al-Hakim)
iv) Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Dengan aku berkata Subhanallah, walhamdulillah wa lailahaillallah wallahuakbar lebih aku sukai dari matahari yang terbit.”
(Riwayat al-Tarmizi)
Syeikh Muhammad al-Ghazali berkata “Kebanyakan dari ayat-ayat al-Quran disudahi dengan nama-nama Allah yang baik (Asma’ al-Husna) yang sesuai maknanya dengan perbuatan seseorang hamba. Ia sebagai suatu rahsia yang penting supaya kehidupan manusia ini tidak terlepas dari pengawasan Allah Taala walaupun dalam pekerjaan atau urusan yang berlainan”.
Justeru, dapat difahami di sini bahawa setiap kehidupan manusia hendaklah sentiasa bersahabat dengan zikir pada setiap masa dan selalu membasahi lidah dengan menyebut nama Allah, bertasbih serta bertahmid kepada Allah dnegan penh rasa kehambaan kepada-Nya.
Ulama yang menyusun zikir adalah tokoh-tokoh yang memiliki pemahaman mendalam tentang agama dan spiritualiti. Beberapa ulama yang terkenal dalam menyusun zikir termasuklah:
- Imam Abu Bakar al-Turtusi, seorang ulama yang memiliki kontribusi dalam bidang zikir dan spiritualiti.
- Imam Taqiyuddin al-Subki, seorang cendekiawan Islam yang juga dikenali dalam konteks zikir.
- Imam Ibn Hajar al-Haitami, seorang ulama besar yang memiliki pengetahuan mendalam tentang zikir dan praktik spiritual.
- Imam al-Qurtubi, seorang ahli tafsir al-Quran yang juga memahami pentingnya zikir dalam kehidupan sehari-hari.
- Imam Ibn Kathir, seorang sejarawan dan ahli tafsir yang juga memberikan pandangan tentang zikir.
- Syeikh Ibrahim bin Muhammad al-Hanafi , Seorang ulama yang berkontribusi dalam pengembangan ilmu agama dan spiritualiti.
Kajian mutakhir mendapati bahawa zikir merupakan salah satu alternatif terapi untuk meningkatkan ketenangan jiwa dan mengurangkan kegelisahan serta kegundahan hati yang dialami oleh seseorang individu. Kaedah ini juga banyak digunakan oleh perawat-perawat perubatan Islam dan psikoterapis untuk membantu pesakit-pesakit mereka. Ia juga didapati dapat membantu meringankan beban yang ditanggung fi kiran dengan zikir yang menggunakan alunan yang lembut di samping memahami maksud daripada zikir-zikir tersebut.
Umat Islam perlulah sentiasa membersihkan hati dengan mengamalkan zikir-zikir yang disarankan agar dapat membina keampuhan dan ketenangan jiwa supaya apa jua rintangan, dugaan dan masalah yang datang dapat dihadapi dengan bijak tanpa beremosi.
Kesimpulannya, zikir merupakan suatu terapi yang dapat memberi ketenangan hati dan menjadi salah satu manifestasi dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Dr. Hazlin binti Kadir @ Shahar
Sumber: Majalah Sinar Rohani
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan, JAKIM
Leave a comment