6 Peringkat Godaan Iblis Dan Syaitan

Secara umumnya, Imam Ibn Qayyim menyatakan enam tingkat godaan dan tipu daya Iblis secara ringkas dalam bukunya Bada’i Al-Fawaid, iaitu:

Pertama: Berusaha mengkafirkan manusia dan menjadikannya syirik.

Kedua: Peringkat bid’ah (ciptaan baru ibadah), Iblis berusaha pada tahap ini untuk menjadikan manusia lebih suka mencipta bid’ah dan beramal dengannya. Jikalau gagal, Iblis akan beralih ke tahap ketiga.

Ketiga: Tahap perlakuan maksiat dan dosa besar, mendorong manusia melakukan maksiat dan dosa besar mengingkari Allah S.W.T.. Jikalau gagal dia pergi ke peringkat keempat.

Keempat: Peringkat dosa-dosa kecil, Iblis akan mendorong manusia melakukannya, memandang kecil akan dosa ini. Jikalau manusia berjaya mengelaknya, dia akan pergi ke tahap kelima.

Kelima: Iblis berusaha menyibukkan manusia dengan hal ehwal yang harus sehingga lalai dan habis waktunya dengan hal tersebut.

Keenam: Berusaha menyibukkan manusia dengan amalan ibadat yang kurang utama lalu tertinggal dan melupakan yang afdhal.

Ibn Qayyim menyatakan lagi, 

Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat; kanan, kiri, depan, ataupun belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa menunggunya.

Jikalau dia melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jikalau dia melalui jalan itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Jikalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan melakukannya.

Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis: Syarah Terpilih Kitab Tablis Iblis Ibni Al-Jauzi, Dr Zaharuddin Abdul Rahman

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑