Renungi Berkat Allah SWT Dalam Cara Bagaimana Makanan Sampai Kepada Kita 

Terlalu banyak keberkatan yang dikurniakan Allah SWT kepada kita, hamba-hamba-Nya dan salah satunya ialah kesihatan tubuh badan yang baik. Seandainya kita menyenaraikan setiap berkat yang Allah SWT hadirkan untuk diri kita, tentu sekali kita tidak mampu melakukannya, tetapi makanan adalah salah satu punca kepada kesihatan yang baik. 

Kurniaan Pancaindera

Ada beberapa cara untuk manusia memperoleh makanan. Di antara berkat yang Allah SWT kurniakan kepada kita ialah penciptaan pancaindera dan pergerakan yang membantu manusia dalam mencari makanan. Marilah kita renungi hikmah Allah SWT dalam penciptaan lima deria yang serba berguna kepada manusia. 

Pancaindera pertama ialah deria sentuh, dan inilah deria yang dicipta oleh Allah SWT untuk semua binatang. Deria yang paling asas ialah untuk kita ‘rasa’ ketika disentuh dan menyentuh. Semua binatang juga dilengkapkan deria untuk ‘merasai’ kehadiran sesuatu yang hampir dengan kita. 

Allah SWT juga telah menciptakan deria bau yang membuatkan kita mengenali sesuatu bau walaupun dari jarak jauh, walaupun kita tidak tahu daripada mana sumber bau tersebut, dan bau ini membuatkan kita berlegar-legar untuk mencari puncanya, dan ada kemungkinan juga kita tidak menjumpainya. 

Oleh kerana itu, Allah menciptakan deria penglihatan agar kita dapat melihat dari sesuatu jarak, mengetahui dari mana arahnya untuk mencari sumber tersebut. 

Jika Allah tidak menciptakan semua  ini untuk kita, maka cacatlah hidup kita dan tidak mungkin kita akan mampu memahami perkara di sebalik tirai, tembok dan sempadan. Tanpa kebolehan ini, kita mungkin tidak menyedari walaupun musuh sedang menyelinap di belakang dinding dan mendekati kita untuk kita sempat menyelamatkan diri. Oleh itu, Allah SWT menciptakan deria pendengaran agar kita dapat mendengar bunyi di sebalik tembok dan sebagainya.

Sekiranya manusia tidak mempunyai deria rasa, kita tidak akan mampu mengagak apa yang baik untuk diri kita dan sebaliknya. Ini berlawanan dengan sifat sebatang pokok yang menyerap air yang diterimanya tidak kira samada air itu air biasa atau air masin. Pokok tidak mempunyai deria rasa untuk tidak menyerap air tersebut. Kerana itu, pokok tiada pilihan dan ia akan terus menyerap air masin yang akan menyebabkannya mati kekeringan. 

Kurniaan Akal

Kemudian, Allah SWT memberkati diri kita lagi dengan satu ciri yang begitu mulia berbanding semua, iaitu kebijaksaan (akal). Dengan akal, kita mampu membezakan makanan yang berbahaya berbanding yang memberi khasiat; dan dengan ilmu ini kita dibantu dalam penyediaan makanan, pemilihan bahan-bahan dan bagaimana cara untuk memasak makanan kita. Oleh itu, melalui kebijaksaan, kita dapat memanfaatkan makanan yang menjadi punca kesihatan diri dan memperoleh sedikit hikmah daripadanya. Kerana sesungguhnya hikmah yang terhebat yang diperoleh daripada makanan terdapat pada Allah SWT, deria luaran hanyalah sebahagian daripada berkat yang diterima daripada-Nya.

Jangan kita merasakan yang kita telah membincangkan pancaindera secara menyeluruh. Ini kerana apabila kita bicara tentang deria penglihatan, ianya hanyalah salah satu daripada pancaindera, dan mata adalah satu alat penglihatan. Mata diperbuat daripada 10 lapisan yang berlainan (retina terdiri daripada 10 lapisan). Ada lapisan yang lembap dan ada lapisan yang mempunyai tekstur yang berlainan. Setiap lapisan mempunyai kualiti, ciri, kelas, rupa, lebar, bulatan dan susunan masing-masing. Jika salah satu daripada 10 lapisan ini rosak atau salah satu daripada ciri lapisan ini terjejas, tidak ada doktor yang mampu memperbaikinya. Ini baru satu deria, bagaimana pula dengan deria pendengaran dan pancaindera yang lain? Justeru, adalah mustahil untuk kita menyenaraikan secara terperinci tentang bagaimana tubuh badan kita berfungsi secara keseluruhannya.

Penciptaan Anggota Badan

Kemudian pertimbangkan pula penciptaan kuasa dan keupayaan dan pelbagai jenis anggota pergerakan. Sekiranya penglihatan hanya diciptakan agar makhluk dapat mengenali makanan, dan jika ianya ialah kecenderungan semula jadi, keinginan dan selera tidak dicipta untuk membuatkan anda untuk bergerak ke arah makanan tersebut, dan ini menjadikan penglihatan itu sia-sia. Tidakkah kita perhatikan bagaimana ramainya manusia sakit yang  dapat melihat makanan dan mereka sedar bahawa makanan itu baik untuk mereka tetapi mereka tidak dapat menikmatinya kerana tidak dikurniakan selera untuk makan?

Justeru, Allah SWT telah menciptakan dalam diri manusia itu selera makan. Walau bagaimanapun, jika selera makan ini tidak dikawal selia baik dengan pengambilan jumlah makanan yang diperlukan sahaja, ianya berupaya memusnahkan manusia. Oleh itu, Allah telah menjadikan dalam diri kita semua perasaan kenyang supaya kita boleh berhenti daripada makan. Perkara yang sama boleh dikaitkan dalam hubungan seksual, di mana hikmahnya ialah untuk meneruskan keturunan.

Kemudian, Allah SWT menciptakan anggota badan sebagai alat pergerakan yang membolehkan kita mencari dan mencapai makanan tersebut. Antara  anggota badan ini ialah dua tangan yang terdiri daripada sendi-sendi supaya ianya dapat bergerak, memanjang dan menutup, bukan seperti bongkah kayu yang kejang dan tidak bergerak.

Allah SWT telah menjadikan tapak tangan itu luas dengan lima jari yang berlainan saiz sebaris, ibu jari berada di satu hujung dengan baki jari di sebelahnya. Jika jari-jemari itu bercantum, kita tidak akan dapat mencapai dan memegang apa-apa.. Kemudian Allah menciptakan kuku untuk melindungi hujung jari daripada kecederaan. Benda-benda rapuh yang tidak dapat digenggam oleh jari, boleh diambil menggunakan hujung kuku.

Sistem Pencernaan

Kemudian bayangkan pula jika kita boleh menggenggam makanan dengan tangan, namun sekiranya makanan tersebut tidak sampai ke perut, bagaimana pula jadinya? Maka Allah telah menciptakan untuk kita semua mulut dan rahang daripada dua tulang yang di atasnya Dia letakkan gigi. Allah SWT telah membahagikan gigi berdasarkan apa yang diperlukan oleh makhluk-Nya untuk makan. Oleh itu sebahagian gigi diperlukan untuk mematahkan makanan seperti gigi taring, dan sebahagian digunakan untuk mengisar makanan iaitu gigi geraham. Allah juga menjadikan rahang bawah digerakkan manakala rahang di atas tetap.

Perhatikan setiap keajaiban ciptaan Allah SWT kerana semua kilang yang dicipta oleh manusia mempunyai bahagian bawah yang tetap dan bahagian atas yang boleh digerakkan, tetapi anggota yang dicipta oleh Allah tidak seperti ini kerana jika rahang atas itu boleh digerakkan manakala bahagian bawahnya tetap, organ penting lain di dalam badan akan berada dalam bahaya.

Perhatikan juga bagaimana Allah telah memberkati kita dengan penciptaan lidah! Lidah bergerak di dalam mulut untuk mengangkut makanan ke gigi apabila perlu seperti sudu penyodok di dalam kilang.  Ini dengan sendirinya menakjubkan apatah lagi keupayaan dan kuasa pertuturan yang diperoleh dengan lidah. Kemudian, perhatikan bagaimana kita dapat menelan makanan dalam mulut yang pada mulanya kering dan kemudian menjadikan makanan lembap sehingga dapat mengalir ke kerongkong. Perhatikan bagaimana Allah telah mencipta kelenjar air liur di bawah lidah kita yang tugasnya ialah untuk melembutkan makanan di dalam mulut.

Makanan yang dikunyah ini kemudiannya sampai ke perut dari mulut dan tentunya ia tidak dapat sampai ke perut hanya melalui tangan kita sahaja! Maka perhatikan yang Allah SWT telah menciptakan tekak dan anak tekak untuk kita. Ia terdiri daripada bahagian berbeza yang terbuka untuk menerima makanan sehingga makanan dipindahkan ketika berada di koridor tekak sehingga ke perut.

Jika makanan sampai ke perut seperti kepingan roti atau buah atau apa-apa sahaja, ia tidak boleh menjadi daging, tulang atau darah sehingga ia telah dicerna dengan sempurna. Allah SWT menjadikan perut kita berbentuk seperti periuk di mana makanan masuk dan dicernakan lagi oleh empat organ tubuh: hati di sebelah kanan, limpa di sebelah kiri; toraks di bahagian hadapan dan daging tulang belakang di bahagian belakang. Makanan diproses menjadi cecair supaya mudah diserap oleh urat, kemudian dari urat ke hati di mana ia tinggal seketika untuk disucikan dan kemudiannya diedarkan ke seluruh tubuh dan sebahagian daripadanya dibuang daripada tubuh.

Tambahan pula, tubuh manusia terdapat otot, urat yang tidak dapat dihitung dengan saiz yang berbeza-beza, ada yang besar ada yang kecil, ada yang halus yang tebal. Tidak ada sesuatu pun kecuali di dalamnya terdapat hikmah dan semuanya datangnya dari Allah SWT, Yang Maha Suci.

Perhatikanlah Nikmat Allah Kepada Kita

Maka perhatikanlah nikmat Allah kepadamu, supaya kamu bersyukur! Sesungguhnya kita tidak akan benar-benar mengetahui semua nikmat yang  Allah SWT kurniakan ke atas kita selain daripada makanan yang paling sedikit nikmatnya ini. Kita hanya tahu yang kita lapar dan perlu makan, sama seperti haiwan; kita hanya tahu yang badan kita letih lalu perlu tidur, bahawa kita sedang terangsang dan perlu bersetubuh.

Jadi, jika kamu hanya mengetahui apa yang diketahui oleh seekor keldai, bagaimana kamu dapat menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT selayak bagi-Nya?! Apa yang kita dapat simpulkan di sini dari rahmat Allah SWT hanyalah ringkasan dari setitik daripada salah satu lautan rahmat-Nya. Ini hanyalah sebahagian daripada apa yang kita dan semua makhluk tahu tentang nikmat Allah di samping apa yang mereka tidak tahu iaitu kurang daripada setitik air di lautan, Allah berfirman:

وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ ۗ

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu;”

(Surah al-Nahl 16:17)

Terjemahan daripada Purification of the Soul by Imam Ibn Qudaimah al-Maqdisi

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑