Kebelakangan ini ramai yang tertipu dengan perkhidmatan badal haji yang ditawarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab di Tanah Suci Mekah. Atas alasan murah daripada biasa, ramai yang terpedaya. Mereka ini sebenarnya melakukan badal haji untuk ramai jemaah. Baca tentang hukum badal haji yang disediakan pejabat mufti supaya kita jelas dan jangan terkeliru.
Penerangan
Hukum mengerjakan badal haji bagi beberapa individu di dalam satu masa adalah tidak sah kerana badal haji hanya mencukupi untuk satu orang sahaja. Oleh itu, kami nasihatkan kepada mereka yang ingin mengerjakan badal haji supaya menitikberatkan perkara seperti ini supaya amanah dan ibadat badal haji yang dikerjakan itu sah di sisi hukum dan mendapat keberkatan dari Allah.
Apakah itu Badal Haji?
Badal haji adalah menggantikan seseorang yang sakit dan tiada harapan untuk sembuh atau terlalu tua dan uzur atau bagi orang yang telah meninggal dunia.
Sesungguhnya terdapat beberapa hadis atau riwayat yang menyatakan tentang hukum mengerjakan haji bagi orang lain, salah satunya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas yang maksudnya:
“Bahawa Nabi SAW mendengar seorang lelaki berkata: (Menyahut Panggilan-Mu “Ya Allah” daripada Syurbamah), Lalu baginda bersabda: Siapakah Syurbamah?, Maka lelaki tersebut menjawab : Saudaraku atau kerabatku. Baginda bersabda: (Kamu sudah menunaikan haji untuk dirimu?) Lelaki tu berkata: Tidak, Baginda bersabda: (Tunaikan haji untuk dirimu terlebih dahulu, kemudian tunaikan untuk Syurbumah).”
(Sunan Abu Daud: 1811)
Berdasarkan riwayat tersebut, sah hukum bagi seseorang mengerjakan haji ke atas orang lain berdasarkan pandangan majoriti ulama (Jumhur) begitu juga dengan haji ke atas orang yang telah meninggal dunia atau haji yang diwasiatkan.
Secara umumnya, hukum mengerjakan badal haji ini adalah harus setelah seseorang itu menunaikan haji untuk dirinya dan telah memenuhi syarat-syarat bagi badal haji.
Syarat Badal Haji Yang Sah
Walaupun syarat badal haji diharuskan tetapi hendaklah menepati syarat-syarat seperti berikut:
- Tidak sah badal haji bagi yang mampu untuk melakukannya sendiri.
- Boleh dilakukan upah haji ini kepada mereka yang sakit tak sembuh, lumpuh atau kepada mereka yang meninggal dunia.
- Badal haji tidak sah kepada orang fakir kerana ketiadaan wang, ia hanya untuk orang yang lumpuh/sakit/tidak berdaya dan tak sembuh dari penyakitnya itu.
- Tidak harus seseorang itu melakukan badal haji kepada orang lain kecuali dia telah menunaikan haji untuk dirinya sendiri.
- Boleh bagi wanita ambil badal haji untuk lelaki dan sebaliknya
- Bila mati seseorang itu dan dia memiliki wang, maka selayaknya dia dihajikan dengan diupah kepada orang lain dengan menggunakan wangnya sama ada dia berwasiat ataupun tidak.
- Sebaiknya badal haji itu dilaksanakan oleh anaknya, kerabatnya dan saudara mara yang terdekat dengannya. Jika dilakukan oleh orang lain, maka hukumnya adalah harus.
- Tidak boleh seseorang yang diwakilkan itu, mewakilkan pula kepada orang lain dengan syarat ia diberitahu kepada pemberi amanah tersebut dan ia bersetuju dengan tindakan itu.
- Perlu diwakilkan atau diupah haji itu kepada seorg yang baik, jujur, amanah dan berilmu untuk melaksanakan badal haji tersebut.
Adapun dalam permasalahan bagi seseorang yang mengerjakan badal haji untuk beberapa individu dalam satu haji, hukumnya adalah tidak sah badal tersebut kerana badal haji itu hanya untuk satu orang sahaja. Dengan kata lain, seseorang itu dibolehkan untuk mengerja badal haji bagi seorang individu sahaja dalam satu tahun.
Selain itu, pelaksana badal haji itu adalah wakil (وكيل) kepada orang yang diwakilkan (الموكِل) iaitu individu yang tidak dapat mengerjakan haji. Oleh itu, seorang wakil itu hendaklah memenuhi setiap perkara yang diwakilkannya. Hal ini kerana, terdapat hak dan tuntutan yang perlu disempurnakan oleh wakil ke atas orang yang diwakilkan.
Sheikh Mustafa al-Bugha telah menjelaskan tentang hak-hak akad bagi wakil di dalam karyanya:
المراد بحقوق العقد: التصرفات التي لا بدّ منها للحصول على الغاية والقصد من العقد
Maksudnya: “Definis bagi hak akad itu ialah: segala urusan mestilah untuk mencapai tujuan dan matlamat daripada akad itu.”
(Rujuk al-Fiqh al Manhaji: J7/h183)
Selain itu, keadaan ini juga bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah iaitu:
الْمَشْغُولُ لَا يُشْغَلُ
Maksudnya: “Perkara yang sedang sibuk dilakukan, tidak boleh disibukkan dengan perkara lain.”
(Rujuk al-Asybah wa an-Nazoir: h151)
Berdasarkan kaedah berikut, Imam al-Suyuti menjelasakan: “Tidak harus mengerjakan dua akad ke atas sesuatu benda di dalam satu tempat”.
Oleh yang demikian, mereka yang sedang mengerjakan badal haji bagi satu pihak atau individu tidak boleh sibukkan diri mereka dengan mengerjakan badal haji bagi pihak yang lain.
Kesimpulan
Hukum mengerjakan badal haji bagi beberapa individu di dalam satu masa adalah tidak sah kerana badal haji hanya mencukupi untuk satu orang sahaja. Oleh itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan kepada mereka yang ingin mengerjakan badal haji supaya menitikberatkan perkara seperti ini supaya amanah dan ibadat badal haji yang dikerjakan itu sah di sisi hukum dan mendapat keberkatan dari Allah.
Wallahu A’lam.
Sumber: PMWP
Leave a comment