Soalan
Saya ada melihat satu video dalam media sosial berkenaan terdapat jemaah yang melontar jamrah menggunakan seliparnya. Adakah sah lontaran tersebut?
Penjelasan
Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan bagi setiap umat Islam yang berkemampuan sebagaimana firman Allah SWT:
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
(Surah Ali-Imran 3:97)
Salah satu perkara yang wajib dilakukan ketika menunaikan ibadah haji adalah melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Jamratul Ula, Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah menggunakan tujuh biji batu kecil mengikut turutan jamrah dan jika meninggalkannya akan dikenakan dam.
Syarat melontar jamrah mestilah menggunakan batu ukurannya sekadar kacang pea atau kecil sedikit daripada hujung jari dan seumpamanya.
Nabi SAW melontar jamrah menggunakan batu berukuran saiz batu kerikil sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah katanya:
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَمَى الْجَمْرَةَ بِمِثْلِ حَصَى الْخَذْفِ
Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW melontar batu (di Jamrah al-‘Aqabah) seperti batu kerikil”
(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi menukilkan pandangan ulama mazhab al-Syafi‘i yang menyatakan bahawa makruh melontar jamrah dengan menggunakan batu bersaiz besar. Syarat sah melontar mestilah menggunakan batu yang merangkumi semua jenis batu seperti batu marmar dan batu granit.
Begitu juga menurut Syeikh Ibrahim al-Baijuri, sah melontar menggunakan batu yakut dan akik, demikian juga sah dengan menggunakan emas, perak dan besi yang belum ditempa namun perbuatan tersebut adalah haram kerana boleh menyebabkan pembaziran dan kerugian harta benda.
Manakala melontar menggunakan air, lumpur, tanah liat, seramik dan seumpamanya adalah tidak sah begitu juga dengan emas, perak dan bijih timah yang telah ditempa kerana tidak termasuk dalam kategori batu.
Kesimpulan
Melontar jamrah dengan menggunakan selain daripada batu seperti kayu, selipar, botol dan seumpamanya adalah tidak sah dan perlu diulang semula lontaran tersebut.
Hal ini kerana syarat melontar jamrah wajib menggunakan batu.
Wallahu’alam
Sumber: PMWP
Leave a comment