Rukun, Syarat dan Sunat Khutbah Jumaat

Rukun Khutbah

Rukun Khutbah ada 5 perkara iaitu:

  1. Mengucap lafaz اَلْحَمْدُ (memuji Allah SWT) atau perkataan yang terbit daripadanya.
  2. Membaca selawat ke atas Nabi SAW dengan menggunakan perkataan الصلاة (selawat), boleh menyebut pelbagai bentuk atau jenis selawat.
  3. Memberi wasiat (pesanan) agar bertakwa.
  4. Membaca satu ayat daripada al-Quran pada salah satu khutbah.
  5. Mendoakan kaum Muslimin pada khutbah kedua.

Rukun 1-3 wajib ada pada kedua-dua khutbah. (Rujuk al-Majmu’ jil. 4 hlm. 353-355 dan Raudhah al-Tholibin jil. 529-530)

Syarat Sah Khutbah

Syarat sah khutbah pula ada 12 iaitu:

  1. Khatib merupakan seorang lelaki.
  2. Khutbah dilakukan dalam tempoh zuhur.
  3. Mendahulukan 2 khutbah daripada solat Jumaat.
  4. Berdiri bagi yang berkemampuan.
  5. Duduk antara 2 khutbah dan tamakninah (berhenti seketika).
  6. Suci daripada hadas (kecil dan besar) dan
  7. Suci daripada najis (pada badan, pakaian dan tempat).
  8. Menutup aurat.
  9. Khatib meninggikan suara iaitu memperdengarkan khutbahnya kepada 40 orang ahli jemaah.
  10. Al-Muwalah (berturut-turut) antara 2 khutbah.
  11. Al-Muwalah (berturut-turut) antara khutbah dan solat.
  12. Menyebut rukun menggunakan bahasa Arab. (Rujuk al-Majmu’ 4 hlm. 356-357, Raudhat al-Tholibin jil. 1 hlm. 531-535, Minhaj al-Tholibin hlm. 48, dan al-Taqrirat al-Sadidah hlm. 332-333)

Sunat Dalam Khutbah Jumaat

Manakala perkara sunat dalam khutbah jumaat pula seperti berikut:

  • Menyampaikan khutbah di atas mimbar.
  • Khatib memberi salam kepada jemaah. Terdapat 2 waktu iaitu:
  • Ketika masuk masjid dan ketika sampai di mimbar (beri salam kepada yang berada berdekatan mimbar).
  • Ketika sampai di atas mimbar dan menghadap jemaah.
  • Duduk setelah berada di atas mimbar dan memberi salam, kemudian disunatkan juga bilal melaungkan azan.
  • Berdiri pada anak tangga yang menyusuli tempat rehat.
  • Bersandar dengan pedang, panah atau tongkat atau seumpamanya dengan tangan kiri, dan tangan kanan di atas mimbar.
  • Menghadap jemaah sepanjang khutbah, tidak berpaling ke arah lain.
  • Menguatkan suara lebih daripada kadar wajib.
  • Menyampaikan khutbah dengan fasih dan teratur.
  • Memendekkan khutbah.
  • Khatib tidak hadir ke masjid melainkan setelah masuk waktu, apabila sampai terus naik ke mimbar tanpa solat sunat tahiyatul masjid.
  • Duduk antara 2 khutbah pada kadar surah al-Ikhlas, dan membacanya secara perlahan atau berzikir atau berdoa apa sahaja yang dikehendaki.
  • Mengakhiri khutbah dengan ucapan (استغفر الله لي ولكم), segera turun setelah selesai khutbah, bilal melaungkan iqamat, khatib tiba di mihrab bertepatan dengan tamatnya iqamat. Semua ini bagi mewujudkan muwalat (berturut-turut) dan meringankan Jemaah.
  • Tertib antara rukun.

Perkara Makruh Dalam Khutbah

Manakala perkara makruh dalam khutbah pula antaranya:

  • Mengetuk pedang (atau panah, tongkat dan seumpamanya) pada anak tangga semasa menaiki mimbar.
  • Berdoa di atas mimbar sebelum duduk
  • Menoleh dalam khutbah kedua semasa berselawat ke atas Nabi SAW.
  • Berlebihan dalam menyifatkan sultan (dan pemimpin-pemimpin) dalam mendoakan mereka.
  • Berlebihan dalam mempercepatkan khutbah kedua. (Rujuk al-Majmu’, 4 hlm. 356 dan al-Mu’tamad jil. 1 hlm. 514-519)

Hukum Diam dan Bercakap Ketika Khutbah

Menurut pandangan yang Sahih dalam mazhab Syafie, diam ketika khutbah adalah sunat dan bukannya wajib. Bercakap ketika khutbah pula hukumnya dibolehkan dan tidak haram. Dalil yang digunakan ulama mazhab Syafie ialah hadis-hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW pernah bercakap ketika khutbah beberapa kali. Begitu juga hadis daripada Anas RA beliau berkata:

أَصَابَتِ النَّاسَ سَنَةٌ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَبَيْنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَخْطُبُ فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ قَامَ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكَ الْمَالُ وَجَاعَ الْعِيَالُ، فَادْعُ اللَّهَ لَنَا‏.‏ فَرَفَعَ يَدَيْهِ وَمَا نَرَى فِي السَّمَاءِ قَزَعَةً، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا وَضَعَهَا حَتَّى ثَارَ السَّحَابُ أَمْثَالَ الْجِبَالِ

Maksudnya: “Pada zaman Nabi SAW berlaku kemarau panjang. Ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba seorang Arab Badwi berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah, harta benda telah musnah dan keluarga dalam kelaparan, berdoalah kepada Allah untuk kami (turunkan hujan)” Maka baginda SAW mengangkat tangannya – pada waktu itu kami tidak melihat awan di langit – dan demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, baginda SAW tidak menurunkan tangannya sehinggalah muncul awan yang tebal seperti gunung. Baginda SAW tidak turun dari mimbar sehinggalah saya melihat hujan menitis di janggutnya SAW.”

(Sahih al-Bukhari: 933)

Adapun hujah golongan yang mengharamkan bercakap ketika khutbah antaranya firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ ٱلۡقُرۡءَانُ فَٱسۡتَمِعُواْ لَهُۥ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ 

Maksudnya: Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

(Surah al-A’raf 7:204)

Imam al-Nawawi mengatakan, ulama yang mengatakan tidak haram menjawab bahawa, suruhan dalam ayat ini berbentuk tuntutan sunat, bukannya wajib, kerana terdapat dalil-dalil lain yang menunjukkan boleh bercakap ketika khutbah, maka setelah diharmonikan semua dalil, ayat ini difahami membawa maksud sunat. Jawapan ini digunakan jika kita menerima pandangan bahawa yang dimaksudkan dalam ayat ialah khutbah, dan suruhan diam ini merangkumi diam ketika berkhutbah.

Begitu juga hujah-hujah lain yang dikemukakan, dinyatakan oleh imam al-Nawawi jawapannya. Perkara ini merupakan khilaf yang muktabar, tiada masalah berpegang dengan mana-mana pandangan. (Rujuk al-Majmu’ jil. 4 hlm. 357-359)

Justeru, menurut pandangan ini, dibolehkan untuk seorang jemaah yang memasuki masjid ketika khatib sedang berkhutbah untuk memberi salam dan dibolehkan untuk menjawab salam. Begitu juga dibolehkan bahkan disunatkan untuk mendoakan orang yang bersin, iaitu mengatakan yarhamukallah apabila terdengar orang yang bersin menyebut alhamdulillah. (Rujuk Raudhat al-Tholibin jil. 1 hlm. 534)

Hukum Berselawat Ketika Imam Membaca Khutbah

Daripada Ali RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

الْبخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ، فَلَم يُصَلِّ علَيَّ

Maksudnya: Orang yang bakhil itu ialah orang yang apabila namaku disebut disisinya dia tidak berselawat keatasku.

(Jami’ al-Tirmizi: 35460)

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa terdapat 10 mazhab berkenaan hukum selawat ke atas Nabi SAW. Jika disimpulkan, jumhur fuqaha hakikatnya mewajibkan berselawat pada beberapa tempat/keadaan dan menyatakan ia merupakan sunat pada beberapa keadaan. Para fuqaha berselisih pandangan dalam menetapkan tempat/keadaan yang diwajibkan berselawat. Menurut Mazhab Syafie, terdapat beberapa keadaan yang diwajibkan berselawat, antaranya selepas tasyahud akhir dan ketika khutbah bagi khatib. (Rujuk Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, jil. 12 hlm. 441, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jil. 27 hlm. 235-237 dan al-Mu’tamad jil. 1 hlm.295 dan 512)

Bagi para jemaah solat Jumaat, adalah sunat mengucapkan selawat apabila khatib menyebut nama Rasulullah SAW. Dalam hal ini, menurut ulama adalah sunat dengan mengangkat suara secara tidak berlebihan sebagai contoh apabila mendengar khatib membaca ayat berikut:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah (SWT) dan para malaikatn-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab 33:56)

Imam Ibnu Hajar al-Haithami apabila ditanya mengenai hukum berselawat ke atas Nabi SAW ketika mendengar nama baginda SAW dalam khutbah Jumaat, beliau mengatakan; “Adapun hukum berselawat ke atas baginda SAW itu ketika mendengar sebutan (nama Nabi SAW dalam khutbah Jumaat) dengan mengangkat suara secara tidak berlebihan maka (hukumnya) adalah harus dan tidak (dihukumkan) makruh, bahkan ia adalah sunat.” (Rujuk al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, jil.1 hlm. 355)

Hukum Berselawat Selepas Khutbah (Antara 2 Khutbah)

Hukum berselawat adalah sunat secara umum, dan menjadi wajib dalam beberapa keadaan. Dr Ali Jumaah dalam laman web rasmi Dar al-Ifta’ Mesir ada menulis berkenaan hukum berselawat antara solat tarawih, dan beliau menyebut mengenai selawat bahawa:

Ia merupakan salah satu amalan terbaik yang diterima oleh Allah Taala, dan berfungsi membuka pintu-pintu penerimaan. Ia diterima sama sekali, dan sebagaimana Nabi saw ialah pemberi syafaat kepada makhluk, maka berselawat ke atasnya ialah pemberi syafa’at kepada amalan, dan Allah Taala memerintahkannya secara mutlak (tanpa diikat/diletakkan syarat hanya boleh dilakukan pada keadaan-keadaan tertentu), Allah SWT berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah (SWT) dan para malaikatn-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab 33:56)

“Dan perintah (Allah SWT) yang (datang dalam bentuk) mutlak, mengandungi makna keumuman tempat, masa, orang dan keadaan (tidak terhad bahawa arahan tersebut hanya merujuk kepada tempat, masa, orang dan keadaan tertentu sahaja).Sesiapa yang mendakwa – tanpa dalil – bahawa haram pada bila-bila masa (untuk melakukan sesuatu arahan yang datang dalam bentuk mutlak) telah menyempitkan apa yang diluaskan oleh Allah SWT. Hal ini demikian kerana dia telah menyekat (arahan) yang mutlak dan mengkhususkan perkara yang umum tanpa dalil, dan ini merupakan sejenis bidaah yang tercela.” (Lihat Fatwa Dar al-Ifta’ al-Masriyyah: No 2031, https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa

Apa yang cuba disampaikan ialah, dalil berselawat datang dalam bentuk mutlak tanpa diikat arahan tersebut pada keadaan-keadaan tertentu sahaja, Maka kita boleh berselawat dalam setiap keadaan kecuali terdapat dalil yang mengatakan haram. Dalam isu berselawat selepas khutbah sama ada antara 2 khutbah atau selepas khutbah kedua, tiada dalil yang mengatakan berselawat pada ketika ini haram, maka hukumnya harus .

Hukum Mengangkat Tangan Berdoa Ketika Khutbah

Mengangkat tangan ketika berdoa merupakan sunnah berdasarkan banyak hadis, antaranya hadis daripada Umar al-Khattab RA beliau berkata:

 لَمَّا كَانَ يَوْمُ بَدْرٍ نَظَرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِلَى الْمُشْرِكِينَ وَهُمْ أَلْفٌ وَأَصْحَابُهُ ثَلاَثُمِائَةٍ وَتِسْعَةَ عَشَرَ رَجُلاً فَاسْتَقْبَلَ نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْقِبْلَةَ ثُمَّ مَدَّ يَدَيْهِ فَجَعَلَ يَهْتِفُ بِرَبِّهِ ‏”‏ اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ إِنْ تَهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةُ مِنْ أَهْلِ الإِسْلاَمِ لاَ تُعْبَدْ فِي الأَرْضِ… ‏”‏

Maksudnya: Ketika hari peperangan Badar, Rasulullah SAW melihat ke arah pihak musyrikin dan bilangan mereka sebanyak 1000 orang manakala para sahabat baginda SAW berjumlah 319 orang. Maka nabi SAW mengadap ke arah kiblat lalu baginda SAW memanjangkan (menadah) tangannya dan menyeru tuhannya: ” “Ya Allah Ya Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku. Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku. Ya Allah Ya Tuhanku, Jika binasa kumpulan ini, nescaya tiada siapa lagi yang menyembahMu di dunia ini….”

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Majmuk bahawa terdapat banyak hadis berkenaan mengangkat tangan ketika berdoa di luar solat, sesiapa yang mengehadkan tempat-tempat yang terdapat hadis mengangkat tangan ketika berdoa maka dia telah melakukan kesilapan yang besar.

Mengulas mengenai hadis istisqa, di mana Nabi SAW mengangkat tangan ketika sedang berkhutbah sehingga ternampak putih ketiaknya (angkat tinggi hingga menampakkan bahagian badannya itu), Imam al-Nawawi menyatakan bahawa:

“Hadis ini secara zahirnya boleh menimbulkan sangkaan bahawa baginda SAW tidak mengangkat tangannya kecuali ketika istisqa, sedangkan ia bukanlah begitu. Bahkan telah sabit bahawa Rasulullah SAW pernah berdoa dengan mengangkat tangannya dalam banyak keadaan selain istisqa’, malah tidak terhingga banyaknya. Maka telah aku himpunkan daripadanya sebanyak 30 hadis mengenainya yang diriwayatkan oleh sahihayn (al-Bukhari dan Muslim) atau salah seorang daripada mereka dan telah aku sebutkan pada bahagian akhir bab sifat solat daripada kitab syarh al-Muhazzab.”

Beliau juga menjelaskan makna sebenar hadis istisqa’ dengan berkata: “Hadis ini ditakwilkan dengan maksud baginda SAW tidak mengangkat tangan dengan sebegitu tinggi ketika berdoa melainkan ketika doa istisqa’, ataupun makna hadis itu ialah perawi tersebut tidak nampak (Nabi SAW mengangkat tangan ketika berdoa pada tempat dan situasi lain), tetapi ramai sahabat selainnya telah melihat (Nabi SAW mengangkat tangan), maka kita dahulukan (terima) riwayat yang mensabitkan bahawa Nabi SAW angkat tangan dalam situasi lain dan bilangan perawi tersebut ramai berbanding yang tidak menyatakannya, maka tidak dapat tidak perlu ditakwilkan hadis ini.” (Rujuk al Majmu’, jil. 3 hlm. 426 dan Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, jil. 3 hlm. 458)

Berasaskan pendalilan serta pandangan yang telah dikemukakan dapatlah disimpulkan bahawa tidak terdapat dalil yang melarang daripada mengangkat tangan semasa berdoa ketika khutbah kedua. Oleh itu, ia kembali kepada dalil umum mengenai amalan berdoa seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW, iaitu mengangkat tangan ketika berdoa, yang merangkumi mengangkat tangan berdoa ketika khutbah. Justeru, ia adalah sejajar dengan kaedah fiqhiyyah berikut:

الأصل في العام العموم حتى يرد دليل التخصيص

Maksudnya: “Asalnya pada dalil am ialah umum sehinggalah didatangkan dalil yang mengkhususkannya.” (Rujuk 15 Persoalan Solat Jumaat Kontemporari, hlm. 34)

Kesimpulan

Beberapa persoalan:

1. Adakah melafazkan “وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا، وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالةٌ، وَكُلَّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ” termasuk tatacara khutbah Jumaat yang diajarkan oleh baginda Nabi SAW?

    Melafazkan petikan atau keseluruhan hadis:

     وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّار……

    Maksudnya: …Seburuk-buruk perkara ialah perkara yang baru, dan setiap perkara baru ialah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat, dan setiap yang sesat itu berada di neraka…

    (Sunan al-Nasa’ie: 1578)

    Ia bukanlah tatacara khusus untuk menyampaikan khutbah. Ia bukan rukun, syarat sah atau sunah khusus dalam berkhutbah. Namun ia boleh dilafazkan kerana tidak terdapat dalil yang melarang.

    2. Adakah disyariatkan atau ianya Sunnah baginda Nabi SAW, untuk berselawat selepas khatib menyampaikan khutbah?

    Berselawat selepas khatib menyampaikan khutbah bukanlah sunah khusus dalam berkhutbah. Namun boleh berselawat ketika waktu tersebut kerana berselawat ialah sesuatu yang disyariatkan dan disunatkan melakukannya tanpa terikat dengan keadaan-keadaan dan waktu-waktu tertentu, melainkan terdapat dalil yang mengharamkannya. Justeru melarang membaca selawat selepas khutbah itu sebenarnya merupakan satu bid’ah yang mungkar, kerana melarang satu tuntutan agama yang bebas dilaksanakan tanpa ada sebarang dalil untuk menjustifikasikannya.

    3. Adakah mengangkat tangan bagi para jemaah ketika khatib berdoa termasuk Sunnah Nabi SAW atau menyelisihi Sunnah? 

    Mengangkat tangan bagi para jemaah ketika khatib membaca doa ialah sunah yang tidak patut dipertikaikan keabsahannya.

    4. Sewaktu khatib menyebut (صَلَّى الله عليهِ وَسلَّم) dalam khutbah, adakah para jemaah boleh menyebut juga atau perlu diam?

    Apabila khatib menyebut (صلى الله عليه وسلم), para jemaah disunatkan berselawat.

    Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

    Wallahua’lam.

    Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

    Leave a comment

    Blog at WordPress.com.

    Up ↑