Teks Khutbah Jumaat (WP): Masa Anugerah Berharga

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَٱلْعَصْرِ(١) إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ(٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ 

وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ(٣) 

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”.

(Surah al-Asr 103: 1-3)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga anugerah ketakwaan yang sebenar disisi Allah SWT akan menjadi asbab untuk kita tergolong di kalangan hamba-hamba-Nya yang beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Marilah kita mendengar serta menghayati khutbah yang akan

disampaikan dan janganlah melakukan perkara yang lalai seperti menggunakan telefon bimbit atau berbual kosong. Mudah-mudahan pahala jumaat kita tidak menjadi sia-sia.

Marilah kita hayati khutbah pada hari ini yang membicarakan tajuk: “Masa Anugerah Berharga.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Islam adalah agama yang amat menitikberatkan soal menghargai masa, malah memerintahkan manusia supaya menjaga ia dengan sebaiknya. Masa adalah aset paling penting dan berharga dalam kehidupan manusia. Mereka yang mengabaikan masa adalah termasuk golongan yang rugi manakala golongan bijak adalah mereka yang sentiasa menghargai masa dan memperoleh keberuntungan. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Asr ayat 1-3 sebagaimana dibacakan pada permulaan khutbah sebentar tadi bermaksud:

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”.

Rasulullah SAW dan para sahabat radiallahuanhum memanfaatkan masa dalam rutin harian mereka dengan dua perkara iaitu pertama perkara akhirat iaitu memperbanyakkan ibadah, termasuk yang sunnah mahupun yang wajib. Kedua perkara dunia, iaitu tidak membuang waktu bermalas-malasan dalam mencari nafkah dan tidak suka meminta-minta tanpa berusaha.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Seluruh kehidupan manusia berkait dengan masa. Seseorang yang mengabaikan masa pastinya akan mengakibatkan kerugian besar dalam hidupnya. Malah, jika berkaitan ibadah ia akan memberi implikasi besar kepada kualiti ibadah yang ditunaikan. Sesuatu amalan yang tidak dilaksanakan pada tempoh masa yang ditetapkan akan dikira tidak sah dan menyebabkan dosa. Begitu juga dalam amalan kehidupan seharian. Pekerjaan yang dilakukan tanpa perancangan rapi dan tidak mengikut waktu akan menyebabkan masalah berlaku. Seperti kata bijak pandai “mereka yang gagal merancang sebenarnya merancang kegagalan.”

Pengurusan masa yang baik merupakan tuntutan dalam Islam. Ia juga termasuk perkara yang akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat nanti. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Abu Barzah al-Aslami Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak akan melangkah kaki seorang hamba pada hari kiamat sampai ia ditanya tentang empat hal, tentang umurnya bagaimana ia gunakan, tentang masa mudanya bagaimana ia habiskan, tentang hartanya dari mana ia dapat dan di mana ia keluarkan, dan tentang ilmunya apa yang ia amalkan dengannya.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Masa adalah perkara yang selalu disesali oleh manusia. Ada orang yang ingin memutar kembali masa untuk menebus semula kesilapan yang dilakukannya. Ada orang yang ingin memutar masa lalu untuk kembali mendapat nikmat kesihatannya, ada yang ingin kembali memanfaatkan masa bersama-sama insan yang disayanginya, ada yang ingin kembali ke zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan dan ketelusan. Malah dengan sebab masa juga orang yang telah meninggal dunia memohon untuk dihidupkan semula ke dunia untuk beramal soleh.

Justeru, hargailah anugerah masa yang amat bernilai dan berharga ini, kerana ia tidak akan kembali dan terus berlalu pergi. Bagi memastikan masa kita diurus dengan baik dan efisien, mimbar ingin menyarankan kepada semua untuk melakukan perkara-perkara berikut:

Pertama: Bersegeralah dalam beramal, usahlah berlengah sehingga luputnya masa dengan amalan yang sia-sia. Budayakan sifat Fastabiqul Khairat iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah rahimahullah daripada Jabir bin Abdullah radiallahuanhu, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;

“Wahai manusia! Bertaubatlah kamu sebelum kamu mati, bersegeralah beramal soleh sebelum kamu sibuk dan sambunglah hubungan antara dirimu dengan Tuhanmu serta banyakkanlah berzikir kepada-Nya, banyakkan sedekah secara sembunyi-sembunyi mahupun secara terang-terangan. Nescaya kamu akan diberi rezeki, ditolong dan dicukupi.”

Kedua: Susun dan penuhi rutin jadual harian dengan perkara berfaedah. Jangan biarkan masa berlalu tanpa sebarang jadual yang dirancang. Imam al-Syafi’i menasihati kita dengan masa maksudnya: “Jiwa kamu jika kamu tidak sibukkan dengan ketaatan nescaya ia akan disibukkan kamu dengan kebatilan”

Ketiga: Jangan bertangguh dengan sesuatu urusan jika kita mampu menyelesaikannya dengan segera. Peribahasa juga mengingatkan kita bahawa “bertangguh itu pencuri masa”. Abdullah bin Umar radiallahuanhuma berkata: “Jika kamu berada di petang hari jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada di pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan saat) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu.”

Keempat: Jangan hanya menunggu masa lapang baru hendak beribadah, tetapi lapangkanlah masa untuk beribadah. Hidup ini untuk beribadah kepada Allah SWT, kerana itu jangan jadikan ibadah kerja sampingan. Kekayaan hati adalah anugerah Allah kepada para hamba-Nya yang teguh beribadah.

Kayu ukurnya bukan sekadar pada penggunaan masa, tetapi bagaimana kita melaburkan masa selepas kematian kita. Ibnu ‘Atha’illah al-Sakandari dalam al-Hikam menyebutkan, “Berapa banyak umur yang meluas jangkauannya meski sedikit bilangannya. Berapa banyak pula umur yang begitu sempit jangkauannya meski banyak bilangannya. Barangsiapa mendapat berkat dalam umurnya, dalam waktu yang singkat ia akan memperoleh banyak anugerah yang tidak cukup terungkap dengan kata-kata.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, intipati khutbah yang disampaikan pada hari ini dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama: Seluruh kehidupan manusia sebenarnya berkait dengan masa. Jika seseorang itu mengabaikan masa pastinya akan mengakibatkan kerugian besar dalam hidupnya.

Kedua: Pengurusan masa yang baik adalah tuntutan dalam Islam. Ia juga termasuk perkara yang akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat nanti.

Ketiga: Sekiranya sesuatu pekerjaan dilakukan tidak mengikut masa yang ditetapkan natijahnya ialah akan menimbulkan masalah dan seterusnya menyebabkan kegagalan.

Marilah sama-sama kita renungi firman Allah SWT dalam surah al Hasyr ayat 18:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ (١٨)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

(Surah al Hasyr 59:18)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bersempena musim cuti sekolah yang akan tiba, mimbar ingin menyeru kepada jemaah sekalian agar kita merancang dan memanfaatkan sebaiknya masa yang terluang untuk anak-anak kita. Pastinya bercuti merupakan terapi yang paling mujarab untuk menghilangkan segala stress atau tekanan yang dihadapi oleh setiap pelajar selepas penat bertungkus lumus menghadapi sesi pengajian, peperiksaan dan ko-kurikulum yang diwajibkan.

Namun sebagai ibu bapa, seharusnya kita mendidik anak-anak supaya menggunakan masa dengan bijak dengan mengatur program-program yang berkualiti buat mereka. Pastikan anak-anak menunaikan kewajipan solat fardu 5 kali sehari, mengingatkan mereka untuk mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari serta menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran.

Perlu di ingat, musim cuti sekolah kerap kali berlaku beberapa peristiwa atau tragedi. Sering kali kita mendengar kes-kes kejadian seperti mati lemas, kemalangan jalanraya, tersesat di dalam hutan dan sebagainya. Berhati-hati dan berwaspadalah. Jadilah ibu bapa yang prihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak serta sentiasa mengukuhkan ikatan kasih sayang sesama mereka demi kelangsungan keluarga yang bahagia.

Tarikh Dibaca: 15 Zulkaedah 1445h/24 Mei 2024m
Disediakan Oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑