Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Didik Anak Ikut Rasulullah SAW

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا…(٦٦)

“Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka!”

(Surah At-Tahrim 66:6)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ(١٠٢)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

(Surah Ali Imran 3:102)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, 

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbualbual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga kita mendapat manfaat daripada khutbah yang disampaikan ini.

Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Didik Anak Ikut Rasulullah SAW”. 

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, 

Allah SWT telah memerintahkan agar setiap umat Islam menjaga diri dan keluarga daripada melakukan maksiat dan dosa sepertimana yang terkandung dalam firman Allah SWT dalam Surah Al-Tahrim ayat 6 yang dibaca dipermulaan khutbah ini bermaksud: 

“Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.” 

Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang beriman kepada Allah SWT agar menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan kebaikan serta menjauhi diri daripada perkara maksiat. Mereka dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati, menunjukkan jalan yang benar dan menyuruh melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada perkara mungkar bermula dari peringkat kanak-kanak lagi. 

Hadirin Jumaat yang dimuliakan

Mendidik anak antara cabaran besar buat ibu bapa kerana tidaklah semudah yang disangka. Pelbagai dugaan dan cabaran harus ditempuhi dalam memastikan anak-anak menjadi insan berguna di dunia dan akhirat. Sebagai umat Islam, contoh teladan yang terbaik ialah daripada junjungan yang mulia Rasulullah SAW. 

Kebaikan Rasulullah SAW terhadap kanak-kanak membuatkan mereka sangat suka dan sayang kepada Baginda SAW. Terdapat beberapa tahap mendidik anak mengikut cara Rasulullah SAW dan boleh dijadikan rutin kehidupan. 

Oleh yang demikian, 4 peringkat yang boleh dijadikan panduan dalam mendidik anak-anak mengikut sunnah Rasulullah SAW adalah: 

1. Tahap pertama, selepas kelahiran anak sehingga umurnya 6 tahun. Pada masa ini, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang dan adil terhadap semua anak. Anak menjadikan ibu bapa sebagai rujukan sekiranya menghadapi sesuatu masalah. Anak-anak akan lebih dekat dengan kita (ibu bapa) dan merasakan kasih sayang ibu bapa sebahagian masa membesar mereka yang boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik, Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu yang ibubapa selalu ada disisi mereka setiap masa. Anakanak juga merasa aman dan selamat kerana ibubapa memberikan sepenuh perhatian untuk mendidik dan mengawal tingkah laku dan pergerakan anak-anak. 

2. Tahap kedua, ketika umur anak-anak 7-14 tahun. Pada tahap ini ibu bapa perlu menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-anak. Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru Radhiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur antara mereka (lelaki dan perempuan) daripada tempat tidur kamu”

(Riwayat Abu Daud) 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT sekalian

Pada peringkat ini anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita sebagai ibu bapa dalam mencorakkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam. Maka, ibu bapalah yang menjadikan mereka seorang Muslim, Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Ibubapa menjadi tonggak utama dalam menentukan hala tuju dan kehidupan anak sama ada menjadi mukmin sejati atau sebaliknya. Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasullullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang menjadikannya beragama yahudi atau menjadikannya beragama nasrani atau menjadikannya beragama majusi.”

(Riwayat Muslim) 

3. Tahap ketiga, ketika umur anak-anak 15 – 21 tahun. Tahap ketiga merupakan fasa yang mencabar di mana sifat remaja itu seringkali bersikap memberontak. Pada tahap ini ibu bapa seelok-eloknya mendekati anak-anak dengan berkawan dengan mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka mengenai perkara yang mereka hadapi. Bagi anak remaja perempuan contohnya, berkongsilah dengan mereka mengenai kisah kedatangan ‘haid’ mereka dan perasaan mereka ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama di hadapan adik-beradik yang lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah orang tua mereka. Kesannya, tiada orang ketiga atau orang asing akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan pendengar masalah mereka. Mereka tidak akan terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari keseronokan memandangkan semua kebahagiaan dan keseronokan telah ada di rumah bersama keluarga. 

4. Tahap keempat, ketika umur anak 21 tahun dan ke atas. Fasa ini adalah di mana ibu bapa memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak dengan memberi kebebasan dalam membuat keputusan mereka sendiri. Ibu bapa hanya perlu memantau, menasihati dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil mereka adalah betul. Bermula pada tahap ini pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar adalah di luar rumah. 

Hadirin Jumaat yang berbahagia, 

Segala disiplin yang diasah sejak tahap ke-2 sebelum ini cukup menjadi benteng diri buat mereka. Ibu bapa janganlah serik untuk menasihati mereka untuk membentuk tingkahlaku anak-anak yang lebih baik seperti yang ibubapa inginkan. 

Dalam mendidik anak-anak ibu bapa perlu menunjukkan tauladan yang baik. Mematuhi segala ajaran agama dan ini sudah tentu akan mempengaruhi anak-anak dalam proses pendidikan tersebut. Imam Ibnu Hajar al-Haitami ada menyebutkan jika ibu bapa bertakwa kepada Allah, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudahkan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriat mereka.

Namun sebaliknya, jika ibu bapa mereka tidak melaksanakan perintah Allah SWT dan melanggar larangan-Nya, nescaya anak-anak mereka akan berkelakuan sebagaimana kelakuan ibu bapa mereka. Jika sekiranya ibu bapa telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam pendidikan agama anak-anak tetapi anak-anak masih tidak berakhlak dengan akhlak yang baik maka itu adalah satu ujian bagi ibu bapa. Mereka perlu bersabar atas ujian itu serta jangan putus asa berdoa supaya ia menjadi sebab kepada ganjaran pahala di sisi Allah SWT kepada ibu bapa. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi sekalian

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran khutbah sebagai panduan kita bersama iaitu: 

1. Ibu bapa hendaklah berperanan dan bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak agar menjadi manusia yang beriman kepada Allah SWT.

2. Ibu bapa hendaklah menjadikan Rasullullah SAW sebagai contoh teladan yang terbaik dalam mendidik anak-anak. 

3. Ibu bapa hendaklah sentiasa mendoakan kebahagiaan anak-anak dan kaum keluarga agar dikurniakan kebaikan hidup di dunia dan di akhirat.

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ(١٧)

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”

(Surah Luqman 31:17)

Tarikh Dibaca: 15 Zulkaedah 1445h/24 Mei 2024m
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑