Hadis 40 Imam Nawawi – Hadis 39: Kesulitan Yang Dipermudah

Daripada Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah memaafkan (keranaku) daripada umatku amal-amal yang dilakukan kerana tersilap, lupa dan yang dipaksakan atas mereka.”

(Riwayat Ibn Majah no. 2043)

Huraian

Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Hadis ini mempunyai manfaat yang menyeluruh kerana terdapat tiga perkara yang dibicarakan dalam hadis ini sering dijumpai dalam semua masalah fiqah.

Bahkan hadis ini boleh dikatakan setengah daripada syariat. Semua perbuatan tidak terlepas daripada dua keadaan:

  • Sengaja.
  • Tidak disengajakan merangkumi kekeliruan, lupa dan dipaksa. 

Hadis ini menjelaskan perbuatan manusia yang dilakukan dengan tidak sengaja tidak mendapat dosa. Perbuatan manusia yang dilakukan dengan sengaja akan diberikan hukuman.”

Hadis ini juga disebutkan dalam tafsir ayat:

وَإِن تُبْدُوا۟ مَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ ٱللَّهُ

Maksudnya: Jika kamu melahirkan apa yang ada di hati kamu atau kamu sembunyikan, maka Allah akan mengadili kamu dengan apa yang kamu lakukan itu.

(Surah al-Baqarah 2: 284)

Ayat ini menyebabkan para sahabat berasa tertekan. Oleh sebab itu, beberapa sahabat telah mendatangi Rasulullah SAW. 

Mereka berkata: “Kami dibebankan amal yang tidak sanggup kami memikulnya. Sesungguhnya seseorang antara kami dalam hatinya ada bisikan yang tidak disenanginya, sekalipun bisikan itu menjanjikan dunia.”

Nabi SAW lalu menjawab: “Adakah kamu mengucapkan kalimah seperti yang mahu diucapkan Bani Israil, iaitu kami mahu mendengar tetapi kami akan menentangnya. Oleh itu, katakanlah: ‘Kami mahu mendengar dan mahu mentaati.”

(Riwayat Muslim 125)

Perkara itu membuat mereka berasa tertekan dan mendiamkan diri. Lalu Allah memberikan kelonggaran dan rahmat-Nya dengan berfirman:

يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا .

Maksudnya: Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan ke- mampuannya. Dia akan mendapatkan pahala atas usahanya dan mendapat- kan seksa atas kesalahannya, (lalu dia berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah.”

(Surah al-Baqarah 2:286)

Allah memberikan keringanan dan mansukh (terhapus)lah ayat yang pertama di atas.

Imam Baihaqi berkata bahawa Imam Syafi’i menyatakan:

“Allah berfirman: ‘Kecuali orang yang dipaksa, sedang hatinya berasa tenteram dengan imannya (maka orang semacam ini tidak berdosa).”

Pengajaran

  1. Orang yang melakukan sesuatu yang dilarang Allah atau meninggalkan perintah Allah tanpa sengaja, baik kerana kekeliruan, lupa atau dipaksa, tidak akan dihukum di akhirat kerana situasi itu adalah kurniaan dan rahmat daripada Allah SWT.
  2. Allah tidak membebankan kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu melaksanakannya atau menjadikan kita dalam kesulitan.
  3. Diampuni dosa bukan bererti terbebas daripada tanggungjawab lain. Misalnya:
  • Seorang yang tertembak kawan ketika berburu atau tertembak orang Islam ketika berperang dengan orang kafir maka ia tidak dibebani dosa, akan tetapi diwajibkan membayar kafarah.
  • Seorang yang tidak melaksanakan solat kerana tertidur atau lupa, maka ia tidak berdosa, namun ia dituntut mengqada solatnya ketika ia ingat atau terjaga daripada tidur.
  • Orang yang dipaksa untuk mengucapkan perkataan yang menjadikannya murtad tetapi hatinya penuh keimanan. Tetapi jika dia tetap teguh serta tidak mengucapkan perkataan tersebut hingga menyebabkan ia diseksa atau dibunuh, itu lebih mulia baginya dan jika terbunuh ia mati syahid.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑