Soalan
Jika isteri berzina kemudian dia mengandung, adakah sudah terputus perkahwinan antara suami dan isteri? Bagaimana pula dengan nasab anak hasil zina isteri dengan lelaki lain?
Penjelasan
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Pembubaran perkahwinan mengikut hukum syarak tidak akan terlaksana kecuali dengan cara berikut:
- Perceraian dengan lafaz talak
- Fasakh
- Cerai taklik
- Tebus talak/ Khulu‘
- Anggapan mati
- Perceraian dengan li‘an
Li’an menurut takrif syarak ialah perkataan-perkataan yang dijadikan hujah oleh suami yang terpaksa menuduh isterinya kerana mencemari rumahtangga dan melemparkan aib kepada suami atau bertujuan untuk menafikan nasab. Ia menjadi salah satu pembubaran perkahwinan yang mana suami melakukan sumpah dengan nama Allah SWT sebanyak empat kali apabila dia menuduh isterinya berzina dan sumpah kelima bahawa laknat Allah ke atasnya sekiranya dia berdusta.
Allah SWT berfirman:
وَٱلَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَٰجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَآءُ إِلَّآ أَنفُسُهُمْ فَشَهَـٰدَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَـٰدَٰتٍۭ بِٱللَّهِ ۙ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ (٦) وَٱلْخَـٰمِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ ٱللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ (٧)
Maksudnya: “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.”
(Surah al-Nur 24:6-7)
Keadaan ini bertujuan untuk mengelakkan hukuman qazaf ke atas suami yang tidak dapat membuktikan tuduhan dengan membawa empat orang saksi kerana seseorang yang menuduh zina tanpa mendatangkan saksi akan dikenakan hukuman had qazaf iaitu 80 sebatan dan tergugur penyaksiannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.”
(Surah al-Nur 24:4)
Pensyariatan li’an merupakan tanda rahmat Allah SWT kepada hamba-Nya bagi menjaga kemaslahatan suami yang mengetahui isterinya berzina namun tidak dapat menghadirkan saksi. Begitu juga disyariatkan kepada isteri yang dituduh berzina oleh suami secara li’an membebaskan dirinya daripada hukum had zina bagi penzina yang telah berkahwin iaitu direjam sehingga mati dengan bersumpah bahawa suaminya berdusta dan kemurkaan dan laknat Allah kepadanya jika suaminya benar. Hukum ini jelas disebutkan dalam firman Allah SWT:
وَيَدْرَؤُا۟ عَنْهَا ٱلْعَذَابَ أَن تَشْهَدَ أَرْبَعَ شَهَـٰدَٰتٍۭ بِٱللَّهِ ۙ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ(٨) وَٱلْخَـٰمِسَةَ أَنَّ غَضَبَ ٱللَّهِ عَلَيْهَآ إِن كَانَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ(٩) وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ حَكِيمٌ (١٠)
Maksudnya: “Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar. Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah kamu akan) akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi).”
(Surah al-Nur 24:8-10)
Hukum Qazaf Isteri
Perbuatan li’an tidak boleh tidak mestilah dilaksanakan selepas berlaku qazaf iaitu tuduhan zina ke atas isteri atau penafian nasab anak oleh suami namun, suami tidak dapat mendatangkan saksi dan bukti. Tujuan li’an adalah sebagai hujah penting yang diperlukan bagi membebaskan diri daripada had qazaf dan menafikan nasab.
Syeikh Muhammad al-Zuhaili menjelaskan dalam kitabnya, hukum suami menuduh isteri berzina berbeza mengikut keadaan seperti berikut:
Harus qazaf: Apabila suami yang mengetahui isterinya berzina diharuskan melakukan qazaf ke atas isteri dengan mengikuti syarat-syarat qazaf atau memilih untuk mendiamkan serta menyembunyikan perzinaan isteri sekiranya tiada anak hasil daripada hubungan tersebut.
Dalam keadaan ini suami mengetahui isterinya berzina dengan cara berikut:
- Dia telah melihat dengan matanya perbuatan zina tersebut.
- Bersangka dengan sangkaan yang tetap dan yakin serta wujudnya bukti.
- Isteri mengaku bahawa dia telah berzina dan suami mempercayainya.
- Suami diberitahu oleh seorang yang amanah dan dipercayai tentang perzinaan isteri.
Walau bagaimanapun, suami menutup atau menyembunyikan perzinaan itu adalah lebih baik daripada melakukan qazaf, kemudian menceraikan isteri sekiranya suami tidak mahu lagi hidup bersama isteri. Suami perlu menasihati isteri untuk bertaubat dan memperbaiki kesalahannya. Tindakan ini sememangnya dapat menutup keaiban dosa isteri. Namun begitu, tidak haram sekiranya suami masih ingin kekal bersama isteri, menerimanya dan tidak menceraikannya.
Wajib qazaf: Seorang suami wajib menuduh isterinya berzina atau menafikan nasab dengan li’an apabila isteri melahirkan seorang anak dan suami tersebut mengetahui bahawa anak tersebut bukanlah anaknya. Suami dapat mengesahkan atau yakin bahawa anak tersebut bukan daripadanya apabila suami tidak pernah menyetubuhi isteri atau anak tersebut dilahirkan kurang enam bulan daripada masa suami menyetubuhi isteri.
Nasab Anak Hasil Perbuatan Zina Isteri dalam Tempoh Perkahwinan
Sekiranya suami mengetahui isterinya berzina tetapi wujud kemungkinan (ihtimal) bahawa anak tersebut daripadanya dan juga daripada perbuatan zina, maka haram suami untuk menafikan nasab anak untuk menjaga perkahwinan tersebut. Bahkan haram untuk qazaf dan li’an dalam pendapat yang sahih.
Suami tidak boleh menafikan nasab anak daripadanya jika telah berlaku imkan al-dukhul iaitu persetubuhan antara suami dan isteri, berdasarkan Rasulullah S.A.W. bersabda:
الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ
Maksudnya: “Nasab anak kepada perkahwinan yang sah, sedangkan penzina adalah keaiban.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Namun, jika tidak berlaku persetubuhan dalam keadaan tersebut seperti suami tidak menyetubuhi isterinya selepas berkahwin kemudian menceraikannya atau suami dan isteri tinggal berjauhan yang tidak mungkin berlaku persetubuhan namun isteri hamil, maka nasab anak ternafi daripadanya tanpa perlu suami melakukan li‘an.
Kesimpulan
Menuduh seseorang melakukan zina merupakan perkara yang keji lebih-lebih lagi jika tiada saksi dan bukti kukuh. Namun begitu, pensyariatan li’an merupakan cara suami untuk menafikan nasab anak yang terhasil daripada perzinaan isteri yang telah mencemarkan kesucian hubungan perkahwinan mereka.
Dalam sesetengah keadaan, lebih afdal bagi seorang suami untuk menutup kesalahan isterinya dan menceraikannya dengan cara yang baik tanpa melakukan qazaf mahupun li’an sekiranya tiada anak hasil daripada hubungan zina tersebut.
Suami dinasihatkan untuk merujuk dan mendapat pandangan daripada mahkamah bagi melakukan proses li’an kerana proses mengangkat sumpah ini hendaklah dilaksanakan di hadapan hakim sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 50A Perceraian dengan li’an.
Wallahu a’lam.
Sumber: PMWP
Leave a comment