Refleksi Konsep Qawwam 2:  Kunci Kepimpinan Lelaki Qawwam

Oleh: Shaykh Ismail Kamdar

Dalam artikel sebelum ini (Refleksi Konsep Qawwam 1: Apakah Qawwam?) kita telah jelas bahawa dalam Islam, lelaki adalah ketua rumah tangga. Untuk cemerlang memainkan peranan ini, lelaki perlu mempelajari ciri kepimpinan utama. 

Kelelakian adalah satu perjalanan. Kita semua bermula dengan sifat kebudak-budakkan  yang perlu ditinggalkan apabila kita meningkat dewasa, dan sifat-sifat tersebut perlu digantikan dengan sifat-sifat lelaki yang baik. Walaupun kita membentuk sifat-sifat kelelakian dalam diri, belum tentu lagi kita boleh menguasai sifat-sifat tersebut serta-merta. Kadangkala kita memerlukan kerja keras yang berdekad untuk menguasai sifat-sifat lelaki secara menyeluruh. Namun, kita semua perlu bermula dari sesuatu.  

Ciri-ciri berikut adalah kunci kepada kepimpinan rumah tangga.

1. Etika Kerja Yang Kuat

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:“Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi ataupun ditolak. Demikian itu, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang dibawah. Mulai dengan orang-orang yang ada dalam tanggunganmu.”

(Riwayat al-Bukhari 1401, Riwayat Muslim 1042) 

Sebagai Qawwam, lelaki perlu menyediakan nafkah kepada keluarganya. Untuk memenuhi peranan ini, lelaki perlu memantapkan etika kerja yang kuat. Lelaki mesti belajar dari usia muda untuk menghargai kerja keras, bekerja dengan tekun, serta tekal dengan ketekunan itu. Apabila seorang lelaki rajin dan bekerja keras, lebih mudah bagi keluarganya untuk mempercayainya dan taat dengan kepimpinannya. Bekerja keras adalah sifat penting seorang pemimpin sejati.

Etika kerja yang kuat mempunyai pelbagai maksud. Antaranya ialah menetapkan matlamat yang tinggi, mempunyai visi yang kuat, bangun awal, bekerja lebih kuat dan lebih lama daripada orang lain, dan menyumbang lebih daripada apa yang diharapkan dalam kerja kita. Ini bermakna kita sentiada hadir, memberi 100% komitmen setiap masa, boleh dipercayai dan boleh diharapkan dalam pekerjaan. Setiap lelaki mesti belajar untuk menerima kenyataan bahawa dia diperlukan untuk bekerja keras di dunia ini.

2. Visi dan Matlamat

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةًۭ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ(٢٠١) 

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah 2:201)

Lelaki perlu memimpin dengan visi. Seorang lelaki harus mempunyai idea ke mana dia ingin pergi dalam hidupnya, apa ingin dicapai, dan bagaimana dia merancang untuk sampai ke matlamat tersebut. Matlamat ini tidak seharusnya bersifat materialistik semata-mata. 

Adalah lebih penting untuk merancang jalan menuju ketaqwaan untuk diri sendiri dan keluarga, dan merancang bagaimana seseorang itu mampu berkhidmat kepada masyarakat dan memberi manfaat kepada ummah. Seorang lelaki yang mempunyai visi begitu jelas ke mana dia ingin membawa keluarganya, dan mereka juga mempercayai kepimpinan beliau. Tanpa visi dan matlamat, ke mana sebenarnya hala tuju keluarga?

3. Kasih Sayang, Belas Kasihan, dan Empati

Rasulullah SAW bersabda, “Kaum mu’min yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaqnya antara mereka, dan yang paling baik antara kalian adalah yang paling baik kepada isteri-isterinya.”

(Riwayat al-Tirmizi 1162)

Salah faham tentang peranan Qawwam ialah kepimpinan zalim yang menggunakan kekasaran dan kekerasan. Islam mengajar lelaki untuk menjadi baik, penyayang, belas kasihan, dan empati terhadap ahli keluarga mereka.

Pemimpin sejati adalah seorang yang penyayang dan disayangi. Beliau ialah seorang yang benar-benar mengambil berat tentang semua orang di bawah jagaannya, dan mereka merasakan ‘kasih sayang’ itu dan berasa selesa dengannya. Memimpin dengan kasih sayang adalah cara Nabi, cara Islam, cara fitrah. Kezaliman pula adalah cara Fir’aun.

4. Ketegasan, Keazaman, dan Ketabahan

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (٢٠٠) 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

(Surah Ali-Imran 3:200)

Hidup ini keras. Lelaki harus faham hakikat ini, menghayatinya, dan hidup dengan sewajarnya. Dalam hidup, kita semua akan diuji berkali-kali. Jika kita bersungguh menginginkan sesuatu, berusahalah untuknya, bersedialah menempuh segala halangan untuk mencapai matlamat tersebut. Hakikatnya, dunia ini tidak mudah memuntahkan hartanya kepada mereka yang mencarinya.

Lelaki yang mudah berputus asa tidak akan menjadi pemimpin yang baik. Lelaki yang mudah berputus asa jarang mencapai apa-apa dalam kehidupan mereka. Rangkullah hakikat kehidupan yang sukar. Jadilah lebih kuat berbanding ujian yang perlu direntangi. Tanamkan sikap tegas dan berazamlah untuk menghadapi segala halangan dan rintangan, serta tabah mengharungi setiap ujian. Ini adalah kualiti yang akan menjadikan anda versi terbaik diri anda.

5. Murah Hati dan Merendah Diri

Imam Asy-Syafi’i berkata, “Keperibadian itu berdasarkan empat perkara: akhlak yang baik, dermawan, tawaduk, dan amal soleh.” (al-Sunan al-Kubra 19165)

Pemimpin sejati tidak memandang tinggi dirinya. Dia lebih mementingkan orang lain berbanding dirinya sendiri. Ini mencerminkan gaya hidup dan wataknya. Pemimpin sejati adalah pemurah dalam segala hal kepada semua orang.

Pemimpin sejati memberikan harta, ilmu, masa, dan tenaganya kepada keluarga, kejiranan, masyarakat, dan ummah secara keseluruhan. Hartanya adalah untuk kemaslahatan umat, dan dia melihat dirinya tidak lebih dari seorang hamba yang berdosa. Melalui gaya hidup pemurahnya yang rendah hati, dia mendapat penghormatan keluarga, masyarakat dan orang lain. Kerendahan hati dan kemurahan hati adalah sifat penting seorang pemimpin sejati.

6. Semangat Keadilan yang Teguh

 يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ بِٱلْقِسْطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمْ أَوِ ٱلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. …

(Surah al-Nisa 4:135)

Islam amat menitikberatkan keadilan dalam setiap jawatan kepimpinan, ini termasuklah memimpin keluarga. Seorang lelaki mestilah adil antara isteri dan anak-anaknya. Dia tidak boleh mempamerkan pilih kasih di antara mereka, dan tidak boleh menganiaya seorang pun daripada mereka. Apabila seorang pemimpin berlaku adil, pengikutnya rela dipimpin dan menghargainya. Ini terpakai kepada pemimpin isi rumah, sama seperti ia terpakai kepada pemimpin syarikat atau negara. Lelaki mesti memimpin dengan adil untuk menjadi Qawwam yang sebenar.

Kesimpulan

Ini adalah beberapa sifat yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh lelaki Muslim. Tidak ada khusus satu cara untuk mempelajari dan menguasai kualiti ini. Ini juga bukan satu-satunya sifat kelelakian. Kelelakian adalah satu perjalanan. Kita belajar dan menguasai kelelakian melalui perjalanan kehidupan, mengatasi halangan, mengambil peluang, dan meningkatkan kemahiran. Sepanjang perjalanan, kita membuat kesilapan, kita memperoleh pengalaman, dan kita belajar pengajaran hidup yang sukar.

Lelaki sejati tidak gentar dan lari dari tanggungjawab kelakian. Lelaki sejati menerima peranan dan segala tugas serta tanggungjawabnya. Mereka membawa diri dengan bermaruah dan memimpin dengan penuh tanggungjawab. Apabila seorang lelaki mempunyai sifat-sifat ini, dia tidak perlu menyuruh sesiapa pun untuk mengikut telunjuknya, orang akan rela mengikutinya kerana dia telah membuktikan dirinya berkali-kali sebagai pemimpin yang layak.

Tentang Penulis: Shaykh Ismail Kamdar ialah pakar dalam bidang Feqah, Tafsir, Sejarah, Perkembangan Peribadi, and Pendidikan

Artikel Asal: Izzah Academy

Terjemahan: Mymuslimin.com

One thought on “Refleksi Konsep Qawwam 2:  Kunci Kepimpinan Lelaki Qawwam

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑