أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ
تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍۢ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًۭا (٢٩)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
(Surah An-Nisa 4:29)
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran 3:102)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga kita mendapat manfaat daripada khutbah yang disampaikan ini.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “TUNTUTAN MELUNASKAN HUTANG”.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Islam adalah agama yang sangat indah dan memudahkan, tidak pernah sama sekali bersifat menyusahkan. Islam mengharuskan umatnya bermuamalah dalam mengurus kehidupan seharian. Jual beli, sewaan, pajakan, malahan hutang piutang adalah harus selagi mana ia tidak memberi mudarat dan bercanggah dengan hukum Syarak.
Fitrah manusia inginkan kesenangan dalam kehidupan dan berlumba-lumba untuk mencari dan mengumpul harta demi mengecapi nikmat kesenangan dan kebahagiaan hidup di dunia. Islam tidak menghalang kita mencari dan mengumpul harta bahkan Islam sangat menggalakkan setiap umatnya berusaha mendapatkan harta dari sumber yang halal lagi baik dan tidak sekali-kali menggunakan cara yang batil dan zalim.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa’, ayat 29 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihi kamu.”
Dalam menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, sedangkan kebanyakan kita mempunyai sumber pendapatan yang rendah, menyebabkan kita tidak dapat memenuhi keinginan dan impian untuk memiliki kehidupan yang sempurna seperti yang diimpikan. Bertitik tolak daripada perkara inilah hutang dijadikan sebagai jalan keluar bagi memenuhi tuntutan untuk hidup senang dan selesa.
Persoalannya, adakah perlu berhutang untuk menyempurnakan kehidupan? Memang tidak dinafikan Islam tidak melarang umatnya berhutang tetapi mestilah berlandaskan kepada peraturan syariat yang betul.
Hadirin Jumaat yang berbahagia,
Realiti hari ini, kehidupan kita tidak dapat lari daripada memilih jalan berhutang. Sebagai contoh, pembelian aset hartanah, kediaman, kenderaan, modal perniagaan, pembiayaan pendidikan tinggi dan sebagainya kebanyakannya melibatkan hutang.
Oleh itu, sebagai pengguna yang bijak, beberapa cara yang boleh dijadikan panduan dalam menguruskan bebanan hutang kita, antaranya:
Pertama: Ketahuilah batas atau had jumlah hutang atau pembiayaan yang mampu dibuat berdasarkan kemampuan kewangan kita. Dapatkanlah nasihat pihak yang berautoriti agar kita tidak terjerumus dengan komitmen hutang yang membebankan. Jika tidak mampu, maka janganlah berhutang.
Kedua: Rancanglah perbelanjaan dengan sebaiknya agar dapat diseimbangkan antara keperluan dengan pembayaran hutang yang dilakukan. Janganlah menangguh-nangguhkan pembayaran hutang bagi yang berkemampuan untuk membayarnya, kerana menangguh-nangguhkan pembayaran hutang adalah perbuatan yang zalim dan ditegah oleh syarak.
Ketiga: Sentiasalah berhubung dengan individu atau pihak yang memberi hutang terutama apabila berlakunya permasalahan dalam pembayaran hutang akibat faktor kewangan semasa, terdapat komitmen lain yang perlu diutamakan atau seumpamanya. Jika kita mengelak daripada berbincang dengan pihak yang memberi hutang pastinya mengundang masalah yang lebih besar kepada kehidupan kita.
Keempat: Di antara keperluan dan keinginan, janganlah mengambil sebarang hutang hanya kerana ingin memenuhi kehendak diri semata-mata kerana kesannya kita dibebani hutang yang tidak perlu sedangkan kita boleh memilih untuk menangguhkan kehendak tersebut di saat kewangan kita semakin kukuh.
Kelima: Elakkanlah daripada berhutang dengan ceti haram atau ah long serta pembiayaan tidak patuh syariah yang mengenakan kadar faedah yang tinggi beserta riba yang jelas diharamkan Islam kerana penuh dengan penganiayaan dan penindasan sehingga memudaratkan diri dan keluarga.
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT sekalian,
Hutang adalah amanah yang wajib dibayar. Membuat hutang bererti meletakkan beban tanggungjawab membayar amanah tersebut dalam hidup seseorang. Sesiapa yang berhutang perlu menetapkan niat dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh untuk segera membayar hutangnya mengikut perjanjian yang telah dipersetujui. Renungkanlah peringatan Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.” (Riwayat al-Bukhari)
Mimbar ingin mengingatkan hadirin Jumaat sekalian, marilah kita semaikan tanggungjawab melunaskan segala hutang piutang seperti pembiayaan peribadi, sewa beli kenderaan, pembiayaan perumahan, pinjaman Pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain termasuklah hutang dengan orang lain walaupun nilainya kecil. Letakkanlah keutamaan terhadap pembayaran hutang terlebih dahulu berbanding perbelanjaan sampingan yang lain.
Jika berlaku kematian, hutang tersebut hendaklah dilangsaikan oleh waris-warisnya atau pentadbir yang dilantik, malah boleh dibayar menggunakan harta pusaka yang ditinggalkan. Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Roh orang yang beriman itu tergantung (ditangguhkan hisab amalannya) disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya hutang tersebut.”
(Riwayat at-Tirmidzi)
Hadirin Jumaat yang dikasihi sekalian,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran khutbah sebagai panduan kita bersama iaitu:
- Umat Islam hendaklah bermuamalah mengikut hukum Syarak dalam kehidupan seharian termasuklah jual beli, sewaan, pajakan, malahan hutang piutang.
- Umat Islam hendaklah berikhtiar dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk segera membayar hutang mengikut perjanjian yang telah dipersetujui dan tidak memudaratkan.
- Umat Islam hendaklah menguruskan bebanan hutang dengan cara yang baik supaya ianya tidak memberi kesan kewangan yang teruk kepada keluarga. Utamakanlah keperluan dari keiinginan supaya tidak terjebak dalam perangkap hutang.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍۢ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍۢ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا۟ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ (٢٨٠)
Maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya. Dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak)”
(Surah al-Baqarah 2:280)
Tarikh Dibaca: 22 Zulkaedah 1445H/31 Mei 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment