أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَمَا لَهُم بِهِۦ مِنْ عِلْمٍ ۖ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ ۖ وَإِنَّ ٱلظَّنَّ لَا يُغْنِى مِنَ ٱلْحَقِّ شَيْـًۭٔا (٢٨)
Maksudnya: “Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran (iktikad).”
(Surah An-Najm 53:28)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya Allah SWT menilai ketakwaan di dalam diri setiap hamba-Nya. Maka peliharalah ketakwaan seutuhnya dengan mentaati setiap perintah Allah SWT sama ada suruhan mahupun larangan-Nya. Mudah-mudahan, ia akan menyelamatkan kita baik di dunia mahupun di akhirat.
Mimbar pada hari ini akan menyentuh isu penyelewengan akidah yang sedang berlegar dalam masyarakat terutamanya di media sosial. Justeru hayatilah bicara khatib pada hari ini yang bertajuk: “Akidah Sahih Penyelamat Ummah”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Islam merupakan satu-satunya agama yang dapat menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat. Melalui Islam, manusia tahu tujuan utama mereka diciptakan adalah untuk mengabdikan diri dan menyembah hanya kepada Allah SWT. Oleh itu, mereka perlu berpegang kepada akidah sahih dalam menjalani kehidupan yang sejahtera dipandu dengan syariat serta akhlak yang diteladani daripada kehidupan Rasulullah SAW.
Golongan sesat sentiasa wujud pada setiap zaman sama ada disebabkan oleh kejahilan dan kedegilan. Hal ini telah dinyatakan melalui firman Allah di dalam surah Al-Najm ayat 28 yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi bermaksud: “Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran (iktikad).”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kewujudan ajaran sesat bukan sesuatu yang baharu. Ia telah wujud sejak dahulu lagi dan berlarutan sehingga ke hari ini. Bahkan sejak zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa al-Rasyidin pun telah menyaksikan timbulnya penyelewengan akidah. Al-Aswad al-Unsi, Musaylamah al-Kazzab dan Tulayhah Ibn Khuwaylid merupakan antara individu yang telah mencetuskan ajaran sesat biarpun di saat Rasulullah SAW masih hidup.
Antara doktrin-doktrin biasa yang digunakan oleh ajaran sesat ini adalah seperti mengaku dirinya sebagai tuhan atau wakil tuhan, nabi atau pengganti kepada nabi, bahkan ada juga yang mendakwa diri sebagai Imam al-Mahdi. Sesungguhnya dakwaan mereka hanyalah berdasarkan kepada teori orientalis yang sememangnya ingin mengelirukan umat Islam tanpa didasari ilmu dan kajian komprehensif daripada al-Quran, as-Sunnah serta ijmak para ulama. Lebih menggerunkan apabila ayat al-Quran dan hadis diterjemah, ditafsir dan diolah mengikut selera mereka.
Mutakhir ini, kekeliruan dan penyelewengan ajaran Islam tersebar secara maya khususnya melalui penstriman langsung (live streaming) di platform media sosial. Penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa komunikasi menyebabkan ia menarik perhatian masyarakat di negara ini biarpun mereka berada dan beroperasi di luar negara. Hasilnya, puluhan ribu pengikut mengikuti platform mereka. Justeru, sebagai ibu bapa, pantau dan awasilah penggunaan media sosial anak-anak kita supaya tidak terjebak dengan sebarang platform yang menyalahi ajaran agama.
Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Tidak dapat disangkal bahawa mudahnya masyarakat terpengaruh dengan ajaran sesat ini disebabkan rapuhnya ilmu tauhid yang ada di dalam diri.
Justeru, perkara utama yang perlu dipraktikkan oleh setiap muslim adalah:
Pertama: Menanamkan ilmu tauhid yang kukuh lagi sahih kepada generasi hari ini. Ilmu tauhid bukan hanya diajar dan dipelajari kerana sukatan matapelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi semata-mata, bahkan mesti diperkukuh, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan. Selain di masjid dan surau, pembelajaran ilmu tauhid ini juga boleh diperluas dan diperkasakan melalui kaedah pengajian berkala di premis-premis kerajaan mahupun swasta.
Kedua: Merujuk isu agama kepada pihak berkuasa agama yang berautoriti seperti Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri selain para ulama yang muktabar, guru takmir dan guru agama yang bertauliah agar kita tidak terjerumus ke dalam ajaran sesat dan menyeleweng. Laporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang aktiviti pengajaran atau penyebaran yang salah dan meragukan.
Ketiga: Pengamal media sama ada media massa mahupun media sosial mesti turut sama membendung penyelewengan akidah ini dengan menerbitkan kandungan berasaskan ilmu tauhid yang sahih serta memberi penjelasan tentang bahana penyelewengan agama kepada masyarakat serta bahayanya ajaran sesat ini jika ia terus menular.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah memutuskan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan ini adalah diharamkan.
Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sentiasa memberikan komitmen dalam melaksanakan aktiviti pemantauan dan tindakan terhadap aduan berkaitan ajaran sesat berdasarkan Akta 559 (Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997) Bahagian II Kesalahan Yang Berhubung Dengan Akidah.
Masyarakat adalah dialu-alukan untuk membuat aduan sekiranya terdapat aktiviti berkaitan agama Islam yang diragui atau menyeleweng. Kerajaan juga sentiasa mengambil langkah proaktif bagi menyekat penyebaran ajaran sesat ataupun fahaman yang bertentangan dengan akidah umat Islam di negara ini. Semua pihak berkaitan termasuk agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama menangani perkara tersebut.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mengakhiri bicara khatib pada hari ini, marilah kita hayati beberapa kesimpulan ini:
Pertama: Akidah merupakan tunjang utama dalam kehidupan muslim. Akidah yang sahih akan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat, manakala akidah yang menyeleweng bakal mendapat azab siksaan Allah SWT yang amat pedih.
Kedua: Golongan sesat sentiasa wujud pada setiap zaman sama ada disebabkan oleh kejahilan, kedegilan, mempercayai ilmu daripada sumber yang tidak benar dan seumpamanya. Justeru, marilah kita perkukuh ilmu akidah sebagai perisai diri daripada terjerumus ke lembah kesesatan.
Ketiga: Setiap muslim perlu memainkan peranan untuk membendung penyelewengan akidah yang berleluasa pada hari ini. Didiklah generasi hari ini dengan ilmu akidah yang mantap agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang anasir yang dapat menjerumuskan diri mereka ke lembah kebinasaan akidah.
Firman Allah SWT di dalam Surah Al-An’am, ayat 153:
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٰطِى مُسْتَقِيمًۭا فَٱتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٥٣)
Bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”
(Surah Al-An’am 6:153)
Tarikh Dibaca: 22 Zulkaedah 1445H/31 Mei 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment