Harta Yang Diberikan Kepada Anak Angkat: Bolehkah Waris Sah Tuntut Semula?

Soalan

Nenek saya mempunyai anak angkat dan apabila nenek meninggal, nenek mewasiatkan semua hartanya anggaran 20 ekar tanah sawit dan getah kepada anak angkat itu walaupun bapa saya ialah anak nenek yang sah. Bapa dan keluarga saya tidak mendapat sedikit pun daripada harta tersebut. Bapa saya telah meninggal dunia dan baru-baru ini anak angkat itu telah meninggal dunia, bolehkah saya menuntut harta tersebut?

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Definisi Anak Angkat Dan Statusnya

Menurut (Kamus Dewan Edisi Keempat), anak angkat bermaksud anak yang diambil dan dijadikan sebagai anak sendiri. Ini bermakna, anak angkat tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan bapa angkatnya.

Dari sudut undang-undang setempat, Malaysia secara umumnya membenarkan pengambilan anak angkat. Ini seperti yang termaktub dalam Undang-undang Malaysia di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253).

Dalam ilmu perwarisan, ulama’ telah meletakkan sebab-sebab yang membolehkan bagi seseorang itu mewarisi harta si mati. Syeikh Muhammad bin ‘Ali Al-Rahabi menyebut:

أسباب ميراث الورى ثلاثه … كل يفيد ربه الوراثه

وهي نكاح وولاء ونسب … مابعدهن للمواريث سبب

Maksudnya: Sebab-sebab yang membolehkan pewarisan harta adalah tiga perkara iaitu:

  • Pernikahan
  • Wala’ (Pembebasan hamba)
  • Hubungan keturunan                                       

[Rujuk al-Rahabiyyah Hlm 3]

Berdasarkan kepada pengertian anak angkat dan sebab-sebab perwarisan, dapat kita fahami bahawa anak angkat tidak tersenarai sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka ibu atau bapa angkatnya mengikut hukum faraid. Ini kerana anak angkat tidak mempunyai sebarang hubungan pertalian darah secara syarak dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkat sekalipun anak angkat tersebut telah dibinkan kepada bapa angkatnya di dalam sijil kelahiran dan ia dikira sebagai individu asing dari ibu bapa angkatnya.

Allah SWT berfirman:

لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

[Surah al-Nisa’ 4:7]

Imam al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa terdapat tiga faedah yang boleh diperoleh daripadanya, antaranya ialah menerangkan bahawa salah satu ‘illah atau sebab kepada perwarisan adalah القرابة (al-qarabah) iaitu hubungan kerabat. Keduanya, umum ayat ini pada semua kerabat sama ada dekat mahupun jauh. Dan ketiga, keumuman semua jenis bahagian yang telah ditetapkan Allah S.W.T. [Rujuk Tafsir al-Qurtubi Jld 5 Hlm 46]

Sekalipun tiada hak untuk mewarisi, anak angkat boleh memperoleh harta dengan cara yang lain seperti hibah dan wasiat. Hibah ialah pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah, sedangkan wasiat ialah pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat. Di dalam kitab Fiqh Manhaji disebut:

عقد يفيد تمليك العين بلا عوُض، حال الحياة، تطوعاً

Maksudnya: “Hibah adalah sebuah kontrak penyerahan milik sesuatu barang tanpa sebarang gantian ketika hidup pemberi hibah secara sukarela”. [Fiqh Manhaji Jld 6 Hlm 115]

Kadar Harta Yang Boleh Dihibahkan

Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah diberikan secara adil, lebih-lebih lagi jika diberikan kepada anak-anak.

Nu’man bin Basyir RA meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya: Ayahku membawaku kepada Rasulullah SAW lalu ayahku berkata: ya Rasulullah, aku telah berikan kepada anakku ini hadiah berupa seorang hamba sahaya lantas Rasulullah SAW bertanya: apakah engkau berikan kepada setiap anakmu pemberian seumpamanya ? ayahku menjawab: tidak, lalu Baginda SAW bersabda: bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah dalam pemberian terhadap anak-anak.       

[Sahih Muslim Jld. 3 Hlm. 1242 No.1623]

Berdasarkan hadis di atas, Imam Nawawi berkata: dianjurkan pemberian terhadap anak-anak diberikan secara sama rata dan tidak dibezakan antara lelaki dan wanita dan makruh sekiranya pemberian diberikan secara tidak sama rata namun pemberian itu tetap sah dan ini merupakan pilihan Mazhab Syafie, Malik dan Abu Hanifah. [Syarah Nawawi ‘Ala Muslim Jld 11 Hlm 65 No 1624]

Hibah Pada Saat Sakit Yang Membawa Kepada Kematian (Marad al-maut)

Hibah pada masa marad al-maut ialah pemberian yang dibuat oleh seseorang yang sakit tenat yang boleh membawa kepada kematian. Dalam undang-undang Islam pemberian yang dibuat saat seseorang sakit tenat dan pemberi hibah menemui ajal berikutan dengan lafaz pemberian tersebut maka terdapat dua syarat yang perlu diperhatikan,

  1. Pemberian yang diberikan mestilah tidak melebihi 1/3 daripada keseluruhan harta pemberi.
  2. Pemberian itu tidak sah diberikan kepada waris yang layak menerima pusaka kecuali dengan izin para pewaris yang lain.

[Rujuk: al-Hawi al-Kabir Jld. 8, Hlm. 319]

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, hukum pemberian nenek kepada paklong sejumlah 20 ekar tanah sawit dan getah perlu diteliti semula:

  • Sekiranya penyerahan itu hanya melibatkan penyerahan hak menjaga iaitu nenek hanya menyerahkan tanah tersebut atas nama penjagaan harta, maka cucu masih ada peluang untuk menuntut harta tersebut. Menurut undang-undang, bagi memastikan hibah hartanah itu sah, maka urus niaga pindah milik mengikut prosedur undang-undang tanah perlu dilakukan. Pihak-pihak perlu menggunakan borang 14A yang telah ditetapkan dan mendaftarkan urus niaga pindah milik itu di pejabat tanah. Apabila urus niaga pindah milik ini didaftarkan, maka ianya akan memberi kesan hak milik tidak boleh disangkal sebagai mana yang diperuntukkan di dalam seksyen 340 Kanun Tanah Negara 1965.
  • Sekiranya penyerahan itu berlaku ketika nenek sudah berada dalam keadaan sakit tenat maka hanya 1/3 sahaja daripada keseluruhan harta itu berpindah milik kepada anak angkat.
  • Sekiranya memang jelas pemberian itu tidak ada sebarang kemungkinan di atas maka pemberian itu dikira sah.

Oleh itu, kami menyarankan agar pihak tuan memastikan semula segala kemungkinan di atas. Sekiranya jelas urus niaga pindah milik itu telah didaftarkan di pejabat tanah dan pemberian itu berlaku bukan pada saat sakit tenat maka proses pindah milik tersebut dikira sah.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahua’lam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑