Cerai Mubarat Bercanggah dan Menyeleweng Daripada Ahli Sunah Wal Jama’ah

Soalan

Apakah yang dimaksudkan dengan Cerai Mubarat?

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Cerai Mubarat

Cerai Mubarat ialah proses perceraian yang diamalkan oleh Mazhab Syiah. Ia merupakan sebuah perceraian yang dilakukan oleh kedua belah pihak secara sukarela. Ini terjadi ketika suami dan isteri merasa tidak sehaluan lagi dan memutuskan untuk mengakhiri hubungan mereka. Si Isteri akan menebus penceraian itu senilai dengan mahar perkahwinan mereka sebelum itu atau lebih kecil daripadanya dan sama sekali tidak dibenarkan bayaran yang lebih dari nilai mahar tersebut. 

Kemudian si suami akan menjatuhkan satu talak yang dilakukan di hadapan dua orang Islam yang adil. Perceraian itu dikira sebagai Talak Bain dan sekiranya si suami mahu merujuk perkahwinan itu semula sama ada di dalam Iddah atau selepasnya maka hendaklah mereka melakukan semula akad perkahwinan dengan mahar yang lain.

Lafaz Cerai Mubarat

Lafaz cerai Mubarat ialah seperti berkata isteri “Saya kembalikan kepada kamu mahar perkahwinan saya untuk kamu menceraikan saya” kemudian suaminya menjawab “isteriku yang bernama sifulan telah tertalak dengan pembayaran yang telah dilakukannya”.

Fatwa Berkenaan Ajaran Syiah

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 4/2013 yang bersidang pada 12 dan 13 September 2013 telah memutuskan bahawa;

1. Fahaman dan Ajaran Syiah bercanggah dan menyeleweng daripada Fahaman dan Ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan menjadi ancaman kepada perpaduan ummah, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan Negara.

2. Fahaman dan Ajaran ini perlu disekat keseluruhannya daripada berkembang di Negeri Pulau Pinang berdasarkan kepada beberapa percanggahan yang terdapat dalam Fahaman dan Ajaran tersebut sama ada dari sudut akidah, syariah dan lain-lain.

3. Mana-mana orang Islam atau kumpulan dilarang berpegang kepada Ajaran dan Fahaman tersebut kerana ia bertentangan dengan Ajaran dan Fahaman Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Larangan ini meliputi :

  • Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan, yang menjadi pengikut Ajaran dan Fahaman ini adalah disifatkan mengamalkan ajaran dan fahaman yang bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah;
  • Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan, melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang menjadi ahli Jama’ah atau pengikut Syiah dengan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan Ajaran dan Fahaman Syiah adalah disifatkan mengamalkan ajaran dan fahaman yang bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah;
  • Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana Ajaran atau Fahaman Syiah atau apa-apa ajaran atau fahaman baharu yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur Ajaran dan Fahaman Syiah adalah bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah;
  • Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan Ajaran atau Fahaman Syiah atau apa-apa ajaran atau fahaman baharu yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran dan fahaman Syiah dalam apa-apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah diharamkan;
  • Orang-orang Islam juga adalah dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual, termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan lain, dan apa-apa dokumen, menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda yang boleh mengaitkan Ajaran dan Fahaman Syiah kepada mana-mana harta alih atau tak alih, dan semua pihak dilarang daripada memberi apa jua kemudahan dan bantuan;
  • Apa-apa jua bentuk tindakan seperti yang dinyatakan di atas hendaklah dihalang dan diambil tindakan menurut undang-undang.

Kesimpulan

Berpandukan penjelasan di atas, maka kami memutuskan seperti berikut;

  1. Cerai Mubarat ialah proses amalan perceraian yang diamalkan oleh pengikut Mazhab Syiah yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunah Wal Jama’ah.
  2. Oleh itu dinasihatkan supaya menjauhinya dan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap individu dan kumpulan yang mengamalkannya.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑