Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda.
Nama mempunyai nilai yang tinggi di sisi agama dan kehidupan seorang insan. Dengan nama itulah seseorang dikenali dan dengan nama itu jugalah dia akan dipanggil pada hari akhirat kelak. Kerana itu nama bukanlah perkara kecil yang boleh dipandang ringan. Malahan ia boleh melibatkan hukum larangan jika nama yang diberikan itu tidak menepati ajaran Rasulullah SAW.
Nama juga merupakan simbol khusus yang dapat membezakan diri seseorang itu daripada orang lain. Bahkan dengan nama juga seseorang itu boleh dikenali agamanya, sama ada Islam ataupun bukan. Nama juga boleh mempengaruhi atau mencerminkan sifat dan keperibadian yang empunya nama. Oleh sebab itu, nama merupakan antara perkara yang terawal sekali diberi perhatian untuk anak yang baru lahir. Sejak anak masih dalam kandungan lagi para ibubapa sudah mencari dan merancang dengan teliti nama yang akan diberikan kepada anak mereka yang akan lahir.
Trend menamakan anak dengan nama-nama yang panjang lagi susah disebut eloklah difikirkan semula. Sebutan yang salah akan menukar makna nama tersebut kepada makna yang lain pula. Oleh itu, Islam telah menyediakan panduan yang khusus dan hukum-hukum yang berkaitan dengan pemberian nama ini.
Waktu Yang Paling Afdhal Menamakan Anak
Menurut Imam an-Nawawi RH dalam kitab al-Adzkar, sunat diberikan nama kepada anak pada hari ketujuh ataupun pada hari kelahirannya berdasarkan hadis-hadis yang sahih dan harus menamakan anak sebelum atau selepas hari ketujuh. Imam al-Bukhari RH pula mengkhususkan waktu memberi nama ke atas anak pada hari kelahiran adalah bagi ibubapa yang tidak merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka.
Perkara ini berlaku kepada Ibrahim RA putera Nabi SAW, ‘Abdullah bin az-Zubair RA dan beberapa anak para sahabat yang lainnya. Sementara bagi ibubapa yang merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka, sunat memberinya nama hingga ke hari yang ke tujuh. Pendapat ini disokong oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalaani RA dalam kitabnya Fath al-Bari. Begitu juga sunat diberikan nama kepada bayi yang meninggal sebelum sempat diberikan nama.
Sunat juga diberikan nama kepada as-siqth iaitu kandungan yang gugur yang telah ditiupkan roh kepadanya menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami RH. Jika belum dapat dikenal pasti jantina as-siqth itu sama ada lelaki atau perempuan, maka dinamakan dia dengan nama yang sesuai untuk keduanya seperti Hindun (هند) dan Thalhah (طلحة)
Memilih Nama Yang Baik
Sunat menamakan anak dengan nama yang baik. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad RH daripada Abu ad-Darda‘ RA, Rasulullah SAW telah bersabda:
إنَّكم تُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَحَسِّنُوا أَسْمَاءَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu,maka perelokkanlah nama-nama kamu.”
(HR Abu Daud dan Ahmad)
Nama Yang Paling Disukai Oleh Allah SWT
Sebaik-baik nama dan yang paling disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala ialah ‘Abdullah (عبد الله) dan ‘Abdurrahman (عبد الرحمن) sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Ibnu Umar RA, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:
وأَحَبُّ الْأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى عَبْدُ اللَّهِ، وعبدُ الرَّحمنِ
Maksudnya: “Nama-nama yang paling disukai di sisi Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman.”
(Riwayat Abu Daud)
Sebaik-baik nama selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman ini pula ialah nama-nama ‘Abd (عبد) [hamba] yang disandarkan kepada nama-nama Allah yang sembilan puluh sembilan (al-Asma ‘al Husna) seperti ‘Abdurrahim (عبدالرحيم) , ‘Abdulmalik (عبدالملك) Abdussalam (عبدالسلام) dan yang seumpamanya.
Menurut Imam al-Qurthubi RH, nama-nama sebegini memiliki kelebihan, kerana ianya menggabungkan sifat-sifat yang wajib bagi Allah SWT dengan sifat yang wajib bagi manusia iaitu ‘ubudiyyah (penghambaan). Manakala nama Muhammad (محمد) dan kemudian nama Ahmad (أحمد) pula adalah nama yang paling afdhal selepas nama-nama tersebut.
Menggunakan Nama-Nama Para Nabi Dan Para Malaikat
Imam an-Nawawi RH berkata bahawa menurut mazhab as-Syafi‘e dan jumhur ulama, harus menamakan anak dengan nama-nama para nabi dan begitu juga nama-nama para malaikat.
Rasulullah SAW telah menyarankan untuk menamakan anak dengan nama para nabi. Ini jelas sebagaimana sabda Baginda:
تَسَمُّوا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاء
Maksudnya: “Bernamalah kamu dengan nama-nama para Nabi.”
(HR Abu Daud)
Bahkan Rasulullah SAW sendiri telah menamakan putera Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Ibrahim AS. Diceritakan juga dalam kitab al-Adab al-Mufrad bahawa Baginda menamakan seorang sahabat Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Yusuf AS.
Abu Hurairah dan Jabir RA pula telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
سَمُّوا بِاِسْمِي وَلَا تَكَنَّوْا بِكُنْيَتِي
Maksudnya: “Namakan (anak) kamu dengan namaku dan janganlah kamu menggelarnya dengan gelaranku.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)
Menamakan anak dengan nama Muhammad mempunyai banyak kelebihan. Kata ulama: Bahkan nama Muhammad mengandungi beberapa kelebihan yang sangat tinggi, sayugia tiada kosong dari nama Muhammad itu di dalam sesuatu keluarga.
Imam asy-Syafi‘e RH ketika menamakan anak beliau dengan nama Muhammad berkata: “Aku menamakannya dengan nama yang paling aku sukai.” Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, maksud kata Imam as-Syafi‘e RA “nama yang paling aku sukai” itu ialah nama yang paling disukainya selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman.
Perlu diingat, nama Muhammad itu nama yang baik lagi mulia. Oleh itu jangan dipotong-potong atau diringkaskan ejaannya sehingga menjadi seperti Md. atau Mohd., kerana perbuatan itu tiada berkat dan kurang adab terhadap Nabi Muhammad SAW.
Nama-Nama Yang Makruh Digunakan
Makruh menamakan anak atau menggunakan nama yang tidak elok maknanya dan nama yang dianggap buruk pada adat kebiasaan seperti Harb ( حرب) – [perang], Murrah ( مرة) – [pahit], Ashyiah (عاصية) – [yang membuat maksiat], Kalb (كلب) – [anjing] dan sebagainya.
Menamakan anak dengan nama-nama seperti ini tidak syak lagi akan memberikan impak yang negatif terhadap diri mereka yang mempunyai nama tersebut kerana ianya akan membuatkan mereka merasa malu, terhina, rendah diri dan sebagainya. Tidak mustahil juga ianya boleh menjejaskan kedudukan orang itu di mata masyarakat.
Nama-Nama Yang Haram Digunakan
Menggunakan nama-nama yang menunjukkan penghambaan kepada selain Allah SWT seperti Abdussyams (عبدالشمس) – [Hamba matahari], Abdulhusain [عبدالحسين] – [Hamba Husain], Abdulka’bah (عبدالكعبة) – [Hamba ka’bah] dan yang seumpamanya hukumnya adalah haram.
Begitu juga haram menggunakan nama-nama yang khusus bagi Allah SWT seperti Allah (الله), Ar-Rahman (الرحمن), Al-Ilaah ( اإلله ) dan Ar-Rabb (الرب) , kecuali jika ditambah dengan perkataan Abd (عبد) sebelum nama-nama tersebut seperti Abdullah (عبد الله ) Abdurrahman (عبدالرحمن) Abdul’ilaah (عبداإلله) dan Abdurrabb (عبدالرب).
Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang hanya layak dimiliki oleh Allah SWT sahaja seperti Malikulamlak (األمالك ملك) – [Raja segala raja], Khaliqulkhalq (الخلق خاالق) – [Pencipta seluruh makhluk] dan nama-nama lain yang menyerupai makna nama-nama tersebut.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Lelaki yang paling dimurkai di sisi Allah pada hari Kiamat dan yang paling buruk dan paling Allah murka ke atasnya ialah lelaki yang diberi nama Malikulamlak. Tiada Raja Yang Maha Memiliki Kekuasaan melainkan Allah.”
(HR Muslim)
Larangan daripada menggunakan nama-nama seumpama ini tidak hanya terbatas dalam bahasa Arab sahaja, ini termasuk juga bagi nama-nama dalam bahasa lain yang sama maknanya dengan nama-nama yang diharamkan itu.
Menukarkan Nama Dengan Nama Yang Lebih Baik
Menurut ulama, sunat menukarkan nama dengan nama yang lebih baik kerana terdapat banyak hadis yang menyebutkan bahawa Nabi SAW banyak menukarkan nama-nama para sahabat Baginda dengan nama-nama yang lebih baik. Baginda menukarkan nama Ashyiah (عاصية) – [yang membuat maksiat] kepada Jamilah (جميلة) – [yang cantik]. Harb (حرب) – [peperangan] kepada Silm (سلم) – [aman sejahtera]. Hazn [حزن] – [sedih] kepada Sahl [سهل] – [senang] dan banyak lagi. Bagaimanapun, wajib diubah nama-nama yang haram digunakan kerana mengubah nama yang haram itu adalah sebahagian daripada perkara menghilangkan mungkar.
Memanggil Seseorang Dengan Nama Singkatan
Disebutkan dalam kitab al-Majmu’ dan alAdzkar bahawa diharuskan memanggil seseorang dengan nama singkatan, iaitu dengan hanya menyebutkan sebahagian daripada nama penuhnya jika perbuatan tersebut tidak melukakan hati tuannya. Perkara ini disepakati oleh para ulama, kerana telah sabit bahwasanya Nabi SAW pernah memanggil beberapa orang sahabat dengan nama singkatan, misalnya Baginda pernah memanggil Abu Hurairah RA dengan sabda Baginda (يا أباهر ) – [Wahai Abu Hirr] dan Baginda pernah memanggil Sayyidatuna Aisyah RA dengan sabda Baginda (ياعائش) – [Wahai ‘A’isy].
Memberikan Gelaran Kepada Seseorang
Para ulama sepakat mengatakan bahawa tidak ditegah bahkan dianjurkan menggelar seseorang dengan gelaran yang baik dan yang disukainya. Ini kerana para sahabat telah digelar dengan beberapa gelaran, misalnya Sayyidina Abu Bakar RA digelarkan dengan ‘Atiq (عتيق) – [yang dimerdekakan daripada api neraka], Sayyidina Umar bin Al-Khattab RA digelarkan dengan al-Faaruuq (الفاروق) – [yang membezakan kebenaran daripada kebatilan], Sayyidina Hamzah RA digelarkan sebagai Asadullah (أسدالله) – [singa Allah] dan banyak lagi.
Manakala menggelarkan seseorang dengan gelaran yang tidak baik dan tidak disukainya pula, para ulama telah bersepakat mengatakannya haram.
Gelaran-gelaran ini tidak kira sama ada ianya adalah disebabkan kekurangan orang itu sendiri seperti buta, rabun, bisu, tuli, bongkok dan sebagainya ataupun disebabkan ianya merupakan sifat orang-orang yang berkaitan dengan dirinya seperti kedua ibubapanya. Termasuklah juga apa-apa sahaja gelaran lain yang mana gelaran tersebut tidak baik ataupun tidak disukainya.
Firman Allah SWT: Maksudnya:
“…dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan.”
(Surah Al-Hujuraat 49:11)
Manakala jika digunakan gelaran tersebut bagi mengenalkan dirinya kepada orang lain yang tidak mengenalinya kecuali dengan gelaran tersebut maka para ulama bersepakat mengharuskannya.
Memanggil Orang Yang Tidak Dikenali Atau Tidak Diketahui Namanya
Jika ingin memanggil seseorang yang tidak dikenali ataupun tidak diketahui namanya pula, menurut Imam an-Nawawi RH hendaklah dipanggil dia dengan gelaran yang tidak menyakiti atau melukai hatinya seperti “wahai saudaraku”, “wahai tuan”, “wahai kawan”, “wahai yang memakai baju putih”, “wahai hamba Allah” dan lain-lain gelaran seumpamanya yang bersesuaian dengan keadaan orang yang dipanggil itu.
Penutup
Memberi dan menggunakan nama yang baik dan berunsur keislaman itu sememangnya sangat penting untuk diambil perhatian oleh setiap kaum muslimin. Ini kerana nama yang baik dan berunsur keislaman itu akan mendatangkan pengaruh yang baik. Manakala sebaliknya pula nama-nama yang buruk itu boleh mendatangkan pengaruh yang kurang baik sama ada pada diri sendiri atau keluarganya mahupun masyarakat seperti dipersendaguraukan nama berkenaan.
Dari itu, sewajarnyalah para ibu bapa meneliti dengan lebih mendalam nama-nama yang ingin diberikan kepada anak-anak mereka menurut panduan yang telah disediakan oleh para ulama. Manakala orang yang memiliki nama yang tidak baik pula sepatutnya menukarkan nama mereka dengan nama yang lebih baik kerana menukarkan nama yang tidak baik dengan nama yang lebih baik itu merupakan suatu sunnah dan saranan Rasulullah SAW. Bahkan ada kala menukar nama itu wajib.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak
Leave a comment