Soalan
Jika seorang yang dilahirkan dalam keluarga Islam dan menjalankan syariah Islam adakah dituntut untuk mengulangi syahadah? Adakah perlu dilafazkan di hadapan ulamak? Adakah ini sunat muakkad?
Penjelasan
Persoalan ini dengan sendirinya akan terjawab kalau kita perhatikan makna harfiyah pada perkataan “syahadah.” Apa maksud syahadah itu? Syahadah membawa maksud penyaksian. Seorang yang bersyahadah pada asasnya dia sedang bersaksi. Pertanyaan: mengapa perlu bersaksi? Katakanlah sebagai contoh, mengapa seseorang itu harus bersaksi di mahkamah? Untuk apa bersaksi atau berikrar di hadapan hakim?
Jawapannya ialah untuk menegaskan kepada khalayak tentang persepsi, pemahaman, keyakinan serta pendirian dirinya. Tetapi kenapa perlu ada penyaksian? Ia disebabkan pada ketika itu belum jelas pendiriannya, sehingga orang itu perlu bersaksi di hadapan hakim dalam sesuatu pengadilan mahkamah.
Di masa lalu, ketika belum ada seorang pun yang memeluk agama Islam, setiap kali ada yang masuk Islam, Nabi SAW meminta mereka melakukan penyaksian ini, iaitu melafazkan dua kalimah syahadah. Ia sebagai tanda bahawa mulai pada saat itu dia sudah berpindah agama dan menjadi pengikut agama Islam. Pengucapan ini dilakukan untuk menegaskan bahawa seseorang itu sudah berpindah agama, dari agama selain Islam menjadi beragama Islam.
Justeru bagaimana pula dengan mereka yang telah pun menjadi Islam atau muslim sejak dilahirkan? Adakah diperlukan lagi untuk melafazkan penyaksian syahadahnya? Jawapannya adalah tidak perlu lagi bersyahadah. Mengapa?
Sebab dalam kehidupannya seharian, semua ciri, perilaku dan penampilannya sudah menunjukkan bahawa dirinya adalah seorang muslim. Iaitu dengan melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh agama. Oleh yang demikian, penyaksian itu tidak lagi diperlukan. Bahkan tidak ada kepentingannya lagi.
Tambahan pula secara akidahnya, keyakinan dan fikrah, sudah dapat dipastikan bahawa dirinya mentauhidkan Allah dan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul-Nya, serta kesetiaan untuk menjalankan semua perintah Allah SWT.
Mengapa seseorang yang sejak dilahirkan sudah demikian keadaannya masih lagi dipersoalkan tentang keIslamannya, dengan perlu diulang syahadahnya?
Adakah anak-anak para sahabat Nabi, para tabi’in, para ulama salaf dan setiap lapisan generasi muslimin sepanjang 14 abad itu pernah melakukan proses syahadah ulangan, padahal mereka lahir sudah jadi muslim? Sudah tentu tidak pernah. Sebab mereka memang sudah muslim, sejak dilahirkan dan selama 24 jam setiap hari dalam kehidupan mereka.
Bahkan ketika mereka pergi ke masjid untuk menunaikan solat, itu adalah ‘syahadah’ mereka. Ketika Ramadan mereka berpuasa, maka itu juga adalah syahadah mereka. Ketika berzakat atau pergi haji ke Baitullah, itu juga adalah syahadah mereka.
Justeru untuk apa lagi mereka bersyahadah? Adakah pihak-pihak yang meragukan atau mencurigai bahawa orang yang melakukan itu bukan muslim? Bukankah pada setiap kali kita bersolat pasti ada di sana kewajipan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Bukan hanya sekali seumur hidup, tetapi setiap hari tujuh belas kali, adakah masih kurang? Selain itu pengucapan syahadah tidak perlu dilakukan hanya di hadapan ulama atau imam.
Sebuah kenyataan yang agak mengelirukan dan tidak munasabah bila mensyaratkan bersyahadah perlu di hadapan seseorang atau ulama tertentu, atau pimpinan tertentu dari sesuatu jemaah atau kumpulan. Pemikiran sebegini bukanlah dari ajaran Islam yang sebenar, tetapi merupakan hasil rekaan palsu kelompok tertentu. Mereka menyamakan antara syahadah dengan bai’ah. Seolah-olah orang yang tidak berbai’ah dengan kelompok mereka, masih belum muslim. Syahadahnya dianggap belum sah, kecuali setelah bersyahadah sekali gus berbai’ah dengan kelompok mereka.
Idea semua umat Islam perlu mengulangi syahadah biasanya datang dari kelompok-kelompok yang mempunyai kepentingan tertentu. Syahadah ulangan hanya perlu dilakukan oleh mereka yang murtad, iaitu mereka ingkar kepada salah satu rukun iman dan rukun Islam, atau melakukan perkara-perkara yang benar-benar telah membatalkan syahadahnya. Itu pun dengan adanya perintah rasmi dari pihak berkuasa agama dan bukannya dari orang perseorangan.
Kesimpulan
Tiada keperluan bagi orang yang telah lahir secara Islam untuk mengulangi syahadahnya, malah tidak dianggap sunat muakkad untuk mengulanginya semula. Adalah telah memadai dengan dia menjaga perkara-perkara yang dilarang oleh syarak untuk tidak dilakukan khususnya perkara yang boleh membatalkan syahadah. Syahadahnya akan kembali diperakui dan diterima oleh Allah SWT apabila dia bertaubat dan melaksanakan segala perkara yang dituntut ke atasnya dengan sebaik-baik dan seikhlas-ikhlas amalan. Demikian itulah sunnah Nabi SAW yang sebenar-benarnya.
Wallahualam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment