Berkata Imam Al-Jauzi:
Maksudnya: “Di antara tipu daya Iblis ke atas orang awam adalah tertipu dengan keturunannya yang dikenali. Mereka berkata ‘Aku berketurunan Saidina Abu Bakar.’ Ada yang berkata, ‘Aku berketurunan Saidina Ali.’ Ada yang berkata, ‘Aku adalah orang yang dimuliakan kerana berketurunan Saidina Hasan ataupun Saidina Husain.’ Ada yang berkata, ‘Aku mempunyai talian persaudaraan dengan ulama’ itu dan orang zuhud ini’. Mereka menempatkan diri mereka dalam dua perkara. Yang pertama, mereka berkata, ‘Siapa yang mencintai seseorang tentu akan mencintai anak dan keturunannya’. Keduanya, mereka berasa memiliki syafaat dan yang paling memberi syafaat adalah ahli keluarga dan anak keturunannya. Dua perkara ini adalah salah. Kaitannya dengan masalah cinta, maka cinta Allah S.W.T. tidak sama dengan cinta anak Adam. Allah S.W.T. mencintai orang-orang yang taat kepada-Nya. Sesungguhnya Ahli Kitab, keturunan Nabi Ya’qub A.S., tidak dapat mengambil manfaat daripada bapa mereka. Kalaulah kecintaan kepada bapa adalah mudah (untuk dijadikan syafaat) maka sebahagian keturunan mereka akan berusaha mendapatkan syafaat itu. Ada pun tentang syafaat, maka Allah S.W.T. telah berfirman, ‘Dan mereka tidak memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredhai oleh Allah S.W.T.’”
“Ketika Nabi Nuh A.S. hendak membawa anaknya ke dalam kapal, maka Allah S.W.T. berfirman, bukan termasuk dalam ‘Sesungguhnya dia bukan kalangan keluargamu..’”
“Nabi Ibrahim A.S. juga tidak dapat memberi syafaat kepada ayahnya, begitu juga Nabi kita terhadap ibunya. Beliau juga bersabda kepada Fatimah, puteri baginda, ‘Aku tidak berkuasa memberi apa-apa manfaat kepada dirimu melebihi daripada kekuasaan Allah S.W.T.’ Sesiapa beranggapan bahawa dia dapat selamat kerana keselamatan ayahnya, sama dengan orang yang berasa kenyang sekalipun yang makan adalah ayahnya.”
Syarah dan Tahqiq
Tipu daya Iblis terhadap orang awam yang seterusnya adalah berasa bangga terhadap keturunannya. Sedangkan keimanan seseorang tidak dapat diwarisi melalui keturunan.
Ada yang mengaku berketurunan Saidina Abu Bakar As-Sidiq ataupun Saidina Ali karamallahuwajhah, dan berasa bangga dengannya. Maka dengan keturunan ini, mereka menganggap diri mereka lebih mulia daripada orang lain sehingga ada yang menggelarkan diri mereka dengan nama keturunan mereka. Sedangkan, sebenarnya apa yang mahu ditunjukkan adalah mereka manusia yang bertuah dan terpilih untuk hidup dalam keturunan yang baik, dan mereka harus berbangga dengannya.
Mereka juga menganggap, nenek moyang mereka yang soleh dapat memberikan syafaat kepada mereka di Akhirat kelak. Sedangkan tanggapan ini hanyalah tipu daya Iblis. Sesungguhnya, ketaatan kepada Allah S.W.T. itu datang daripada individu itu sendiri, bukanlah datang daripada keturunannya.
Jikalau ada yang menganggap bahawa keturunan itu menjamin keimanan seseorang, ketahuilah sesungguhnya bangsa Yahudi itu berasal daripada keturunan Nabi Yaakub A.S. Sedangkan anak Nabi Nuh A.S. juga tidak mewarisi keimanan bapanya. Dia tetap ingkar walaupun sedang ditimpa bala ke atasnya. Ini telah diceritakan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran:
قَالَ يَنُوحُ إِنَّهُ، لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ
Maksudnya: “Allah berkata, ‘Wahai Nuh, sesungguhnya dia (anak itu) bukan termasuk dalam kalangan keluargamu….”
(Surah Hud 11: 46)
Anak Nabi Nuh A.S. enggan menerima dakwah yang dibawa oleh bapanya. Sedangkan bapanya adalah utusan Allah S.W.T. dan dijanjikan syurga. Bapanya juga seorang yang beriman kepada Allah S.W.T., tetapi anaknya tidak mewarisi keimanan bapanya. Mereka juga tidak akan mendapat apa-apa syafaat daripada keturunan mereka. Sebagaimana firman Allah S.W.T.:
وَلَا يَشْفَعُونَ إِلَّا لِمَنِ ارْتَضَى
Maksudnya: “Dan mereka tidak memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredhai Allah S.W.T…”
(Surah Al-Anbiya’, 21:28)
Syarat untuk mendapat syafaat adalah dengan keredhaan Allah S.W.T., bukanlah dengan keturunan. Seseorang yang ingin mendapatkan syafaat haruslah mencari jalan bagi mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. Ciri-ciri orang yang diredhai oleh Allah S.W.T. adalah orang yang mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis, Syarah Terpilih Kitab Tablis Iblis Ibnu Al-Jauzi oleh Dr Zaharuddin Abdul Rahman
Leave a comment