Mandi Wajib Tanpa Muawalat 

Soalan

Saya mandi wajib di bilik air asrama, saya malu nak cangkung untuk menyempurnakan mandi wajib kat situ, jadi saya pergi ke jamban untuk basuh bahagian itu sahaja. Adakah sah mandi wajib saya? 

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Islam telah mensyariatkan mandi sama ada untuk kebersihan atau mengangkat hadas, dan telah disabitkan pensyariatannya berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran, hadis dan ijmak.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah 2:222)

Jenis-Jenis Mandi

Mandi terbahagi kepada dua, iaitu:

  1. Mandi wajib: Tidak sah ibadah yang mensyaratkan bersuci baginya, dan inilah yang dimaksudkan secara umum.
  2. Mandi sunat: Mandi yang disunatkan dan digalakkan oleh syarak, namun ia bukanlah syarat dalam solat atau sebagainya.

Mandi Wajib

Allah SWT telah memerintahkan hambaNya untuk melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar atau sebab lain yang mewajibkan ke atasnya mandi wajib sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, beriktikaf di dalam masjid, tawaf, memegang dan membaca al-Quran dan seumpamanya.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَقۡرَبُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنتُمۡ سُكَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَعۡلَمُواْ مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغۡتَسِلُواْۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

(Surah al-Nisaa’ 4:43)

Syarat Fardu Mandi Wajib

Imam Abi Ishak al-Syirazi menyebutkan dalam kitabnya bahawa:

والواجب من ذلك ثلاثة أشياء: النية، وإزالة النجاسة إن كانت، وإضافة الماء على البشرة الظاهرة، وما عليها من الشعر، حتى يصل الماء إلى ما تحته، وما زاد على ذلك سنة

Maksudnya: Tiga perkara yang diwajibkan daripada mandi wajib ialah: niat, menghilangkan najis sekiranya ada, menambahkan air pada kulit yang jelas, dan ke atas rambut, sehingga sampai air kepada apa yang ada di bawahnya. Dan setiap yang ditambah selain itu ialah sunat. [Lihat al-Muhadzab fi al-Fiqh al-Imam al-Syafie, jld. 1, hlm. 121]

Justeru, para ulama telah menjelaskan bahawa syarat fardu bagi mandi wajib ada tiga perkara sahaja, iaitu:

  1. Niat;
  2. Menghilangkan najis terlebih dahulu sekiranya terdapat najis pada tubuh badan;
  3. Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan anggota badan.

Al-Muwalat dan Hukumnya dalam Mandi Wajib

Dalam bab taharah, terdapat pembahasan yang berkaitan dengan al-muwalat, iaitu membasuh secara berturut-turut sama ada ketika berwuduk atau mandi wajib.

Dr. Wahbah al-Zuhaili telah mendefinisikan al-muwalat dalam kitabnya, iaitu:

الموالاة أو الولاء هي متابعة أفعال الوضوء بحيث لا يقع بينها ما يعد فاصلا في العرف، أو هي المتابعة بغسل الأعضاء قبل جفاف السابق، مع الاعتدال مزاجاً وزماناً ومكاناً ومناخاً 

Maksudnya: Al-muwalat atau al-wila’ ialah berturut-turut dalam perbuatan wuduk sama ada tidak berlaku di antaranya sebarang benda yang dianggap sebagai pemisah mengikut uruf, atau ia ialah berturut-turut dalam membasuh anggota-anggota wuduk sebelum keringnya anggota yang telah dibasuh sebelumnya, dengan kesederhanaan suasana, masa, tempat dan cuaca.

[Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 1, hlm. 233]

Para ulama mempunyai khilaf pandangan dalam kewajipan al-muwalat dalam mandi wajib. Terdapat para ulama yang berpandangan bahawa al-muwalat itu termasuk dalam kewajipan mandi wajib, manakala ada pendapat ulama yang mengatakan ia merupakan termasuk dalam perkara-perkara sunat ketika mandi wajib.

Telah disebutkan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

اختلف الفقهاء في الموالاة هل هي من فرائض الغسل أو من سننه؟ فذهب الحنفية والشافعية والحنابلة إلى سنية الموالاة في غسل جميع أجزاء البدن لفعل النبي صلى الله عليه وسلم. ونص الحنابلة على أنه إذا فاتت الموالاة قبل إتمام الغسل، بأن جف ما غسله من بدنه بزمن معتدل وأراد أن يتم غسله، جدد لإتمامه نية وجوبا، لانقطاع النية بفوات الموالاة، فيقع غسل ما بقي بدون نية. وذهب المالكية إلى أن الموالاة من فرائض الغسل.

Maksudnya: Para fuqaha berbeza pandangan mengenai al-muwalat bahawa adakah ia merupakan kewajipan mandi atau daripada perkara-perkara sunat mandi? Ulama mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali berpandangan bahawa sunat muwalat dalam membasuh seluruh anggota badan berdasarkan perbuatan Nabi SAW. Ulama mazhab Hanbali menetapkan bahawa sekiranya tertinggal al-muwalat sebelum sempurnanya mandi wajib, dan telah kering anggota badan yang telah dibasuhnya dalam tempoh waktu yang berpatutan dan dia ingin menyempurnakan mandi wajib tersebut, maka wajib ke atasnya memperbaharui niatnya ketika menyempurnakan mandi wajibnya itu. Hal ini adalah kerana mereka berpendapat putusnya niat dengan terputusnya al-muwalat, maka basuhan yang masih berbaki dianggap terlaksana tanpa adanya niat. Manakala, menurut mazhab Maliki, al-muwalat merupakan satu kewajipan ketika mandi wajib.

[Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld.31, hlm. 210-211]

Ulama mazhab Syafie berpandangan bahawa hukum berturut-turut ketika mandi wajib adalah sama dengan hukum berturut-turut ketika dalam wuduk, iaitu sunat. 

Imam al-Nawawi telah menyebutkan mengenai hukum al-muwalat dalam kitabnya:

وأما موالاة الغسل فالمذهب أنها سنة؛ وقد تقدم بيانها في صفة الوضوء

Maksudnya: Manakala al-muwalat dalam mandi, maka menurut mazhab ia merupakan perkara sunat; telah dinyatakan keterangan mengenainya dalam bab sifat wuduk.

[Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab, jld. 2, hlm. 180]

Dan telah dijelaskan dalam bab sifat wuduk berkenaan berturut-turut dalam wuduk, begitu juga hukumnya ketika mandi.

فرع في مذاهب العلماء في تفريق الوضوء: قد ذكرنا أن التفريق اليسير لا يضر بالإجماع، وأما الكثير فالصحيح في مذهبنا أنه لا يضر وبه قال عمربن الخطاب وابنه وسعيد بن المسيب وعطاء وطاوس والحسن البصري والنخعي وسفيان الثوري وأحمد في رواية وداود وابن المنذر.

واحتج لمن لم يوجب الموالاة بأن الله تعالى أمر بغسل الأعضاء ولم يوجب موالاة، وبالأثر الصحيح الذي رواه مالك عن نافع ((أن ابن عمر توضأ في السوق فغسل وجهه ويديه ومسح برأسه ثم دعي إلى جنازة فدخل المسجد ثم مسح على خفيه بعد ما جف وضوؤه وصلى))

Maksudnya:  Cabang dalam mazhab para ulama berkaitan memisahkan wuduk: Bahawa kami telah menyebutkan bahawa pemisahan yang ringan tidak memudaratkan (tidak memberi kesan kepada wuduk) menurut ijmak ulama. Manakala, pemisahan yang banyak maka menurut pendapat yang sahih dalam mazhab kami (mazhab Syafie), ia tidak memudaratkan wuduk. Ini merupakan pendapat Umar al-Khattab dan anaknya, Sa’id bin Musayyib, ‘Ata’, Tawus, Hasan al-Basri, al-Nakha’i, Sufian al-Thauri, Imam Ahmad dalam satu riwayat, Daud, dan Ibn Munzir.

Dan ulama yang berpendapat tidak diwajibkan al-muwalat berhujah bahawa Allah E telah memerintahkan supaya membasuh anggota-anggota dan tidak mewajibkan al-muwalat berdasarkan satu athar sahih yang telah diriwayatkan oleh Imam Malik daripada Nafi’ ((Ibn Umar telah berwuduk di pasar, dia membasuh mukanya, kemudian tangannya, kemudian menyapu kepalanya. Setelah itu, dia dijemput untuk menunaikan solat jenazah, maka dia masuk ke masjid dan menyapu khufnya setelah kering anggota wuduk sebelumnya, kemudian dia bersolat)).

[Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab, jld. 1, hlm. 455]

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, merujuk kembali kepada hujah dan penerangan yang telah dinyatakan dapat disimpulkan bahawa sah mandi wajib yang dilakukan sekiranya mencukupi syarat-syaratnya iaitu niat, menyucikan najis daripada tubuh badan sekiranya ada dan meratakan air ke seluruh rambut dan anggota badan. Manakala, al-muwalat atau berturut-turut dalam perbuatan mandi wajib itu termasuk dalam perkara-perkara sunat menurut pendapat mazhab Syafie.

Justeru, perbuatan memisahkan basuhan sebahagian anggota badan ketika mandi untuk membasuhnya di tempat yang lain dihukumkan sebagai sah sekiranya ia memenuhi syarat-syarat fardu mandi wajib; meyakini bahawa air telah diratakan ke seluruh anggota badan dengan sempurna, walaupun sebahagian anggota badan lain yang telah dibasuh sebelum itu telah kering disebabkan berlakunya pemisahan basuhan anggota badan ketika mandi. 

Namun, sekiranya pemisahan basuhan anggota badan ketika mandi itu menyebabkan dia cenderung untuk ragu-ragu sama ada air telah diratakan ke seluruh anggota badan atau tidak, maka lebih afdal ke atasnya untuk menyempurnakan mandi wajib di tempat yang sama dengan mengambil sunat al-muwalat ketika mandi wajib tersebut.

Tambahan, sekiranya dia hanya membasuh satu bahagian daripada anggota badan sahaja dengan niat mandi wajib, maka mandi wajib itu dihukumkan tidak sah.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑