أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِنَّ هَـٰذِهِۦٓ أُمَّتُكُمْ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ وَأَنَا۠ رَبُّكُمْ فَٱعْبُدُونِ (٩٢)
Maksudnya: “Sesungguhnya ugama Islam inilah ugama kamu, ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.”
(Surah Al-Anbiya 21:92)
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran 3:102)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.
Pada hari yang mulia ini bersempena Program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Selangor, mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk: “Perpaduan Dalam Kepelbagaian”.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Perpaduan umat khususnya dalam kalangan umat Islam adalah kesatuan yang bersifat rabbani kerananya ianya bersumberkan panduan Ilahi. Asas, konsep dan panduan kepada perpaduan umat Islam dinyatakan di dalam banyak ayat al-Quran dan hadis antaranya firman Allah SWT yang dibacakan pada awal khutbah ini bermaksud:
“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu atas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah akan Daku.”
(Surah Al-Anbiya 21:92)
Ayat 92 daripada Surah al-Anbiya’ ini menggambarkan bahawa masyarakat Islam adalah umat yang satu berasaskan agama yang satu. Asas pokoknya iaitu keyakinan, ketundukan dan penyerahan kepada Allah SWT Yang Satu, ketaatan kepada Nabi Muhammad SAW Rasul yang satu dan kepatuhan kepada ajaran bersumberkan syariat yang satu. Inilah agama Islam iaitu agama yang sangat menitik beratkan kesatuan berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan Qudwah Hasanah.
Perpaduan dalam kalangan umat Islam bukan sekadar suatu keperluan yang bersifat luaran, tetapi ikatan persaudaraan atau ukhuwah Islamiyah yang dijalin dengan iman dan Islam. Ikatan ukhuwah ini dijalin merentas batasan dan sempadan negara ibarat peribahasa “cubit peha kanan, peha kiri akan terasa”.
Hadis daripada al-Nu‘man bin Bashir Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Engkau akan melihat (keadaan) orang-orang mukmin itu saling kasih mengasihi, cinta mencintai dan saling tolong menolong bagaikan satu jasad. Apabila ada satu anggota tubuh sakit nescaya seluruh anggota yang lain akan turut tidak dapat tidur (terjaga) dan merasa demam.”
(Riwayat al-Bukhari)
Keutuhan hubungan anggota masyarakat yang saling berkasih sayang serta tolong menolong dapat dilihat dalam kalangan para sahabat. Al-Baghawi telah menjelaskan maksud ayat 29 surah al-Fath bahawa orang-orang yang bersama Rasulullah SAW itu bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama mereka dengan mengatakan: “Mereka bersimpati dan saling menyayangi antara satu sama lain bagaikan seorang anak terhadap bapanya.”. Manakala perkataan (بَيْنَهُمْ) atau ‘di kalangan mereka’ dalam ayat tersebut menjelaskan bahawa sifat belas kasihan dalam kalangan umat Islam bagaikan identiti terhadap masyarakat ini.
Hadirin yang dikasihi Allah SWT sekalian,
Malaysia adalah sebuah negara yang sangat unik kerana walaupun dihuni penduduk pelbagai agama, bangsa dan etnik. Islam adalah agama bagi Persekutuan namun penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan kepercayaan bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Kebebasan ini membentuk perpaduan nasional yang kukuh antara kaum dan pembentukan identiti bangsa Malaysia.
Islam sebagai cara hidup yang syumul menyediakan pedoman lengkap berkaitan hukum-hakam, undang-undang, peradaban dan tatasusila kehidupan umat Islam bersama masyarakat bukan Islam. Dasar-dasar tetap digariskan merangkumi prinsip toleransi, keadilan, kebajikan dan belas ihsan sesama warga negara Islam dan bukan Islam.
Prinsip utama melayani semuanya secara sama rata melainkan atas beberapa aspek sahaja. Bahkan Nabi SAW menegaskan sebagaimana riwayat daripada Safwan bin Sulaim Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Ketahuilah sesiapa yang menganiaya seseorang bukan Islam (kafir) yang membuat perjanjian, mengurangkannya atau membebaninya di luar kemampuannya atau dia mengambil sesuatu daripadanya tanpa kerelaannya maka aku akan menjadi pembelanya kelak pada hari Kiamat.”
(Riwayat Abu Daud)
Muslimin yang Berbahagia,
Islam secara umumnya memandu manusia dalam kehidupan. Perpandukan kepada ajaran agama. Manusia dapat mengetahui yang mana benar dan mana yang salah. Dengan agama, manusia dapat hidup dalam keadaan harmoni, tenteram dan berdisiplin. Islam mengandungi prinsip-prinsip yang tetap lagi tegas seperti yang terdapat dalam surah alKafirun ayat 6:
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِىَ دِينِ (٦)
Maksudnya: “bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”
(Surah Al-Kafirun 109:6)
Di samping itu, terdapat prinsip-prinsip Islam yang bersifat sejagat seperti bertolongan dalam perkara kebajikan dan kebaktian, mengutamakan adab mulia, mengutamakan kemanusiaan, berlaku adil dan berbuat kebaikan. Sepertimana ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Nahl ayat 90:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَـٰنِ وَإِيتَآئِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ وَٱلْبَغْىِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (٩٠)
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya.”
(Surah al-Nahl 16:90)
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita menghayati dan mengambil pengajaran seperti berikut:
1. Umat Islam hendaklah mengetahui bahawa manusia itu dilahirkan dari pelbagai latar belakang untuk saling kenal mengenali serta saling lengkap melengkapi.
2. Umat Islam hendaklah bertanggungjawab memastikan perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara terus kukuh berdasarkan prinsip-prinsip Islam yang sebenar.
3. Umat Islam hendaklah berjemaah dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT agar dapat melahirkan perpaduan dan persepakatan berlandaskan Islam dan Iman yang satu.
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٰطِى مُسْتَقِيمًۭا فَٱتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٥٣)
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa”
(Surah Al-An’am: 153)
Tarikh Dibaca: 7 Jun 2024M/29 Zulkaedah 1445H
Disediakan oleh: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment