أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
لِّيَشْهَدُوا۟ مَنَـٰفِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ فِىٓ أَيَّامٍۢ مَّعْلُومَـٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَـٰمِ ۖ فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ(٢٨)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita dibangkitkan dalam kalangan orang yang bertakwa di akhirat kelak. Ingatlah bahawa dunia adalah medan ujian kehidupan dan bersifat sementara. Perbanyakkanlah amalan kebaikan untuk bekalan akhirat kekal selamanya.
Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang lalai ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Semoga Allah SWT menerima amal ibadah dan kesungguhan kita mengimarahkan rumah Allah akan mendapat limpahan rahmat dan ganjaran pahala yang banyak.
Bersempena dengan ketibaan bulan Zulhijjah, marilah bersama kita hayati bicara khutbah pada hari ini yang bertajuk: “Keutamaan Zulhijjah”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Di antara keindahan yang terdapat dalam agama Islam ialah, Allah SWT menjadikan beberapa kelebihan dan kemuliaan pada bulan dan hari tertentu sebagai anugerah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Ia bertujuan memberi motivasi dan semangat kepada hamba-Nya untuk sentiasa meningkatkan ibadah dan amal soleh.
Bulan Zulhijjah merupakan bulan ke dua belas dalam kalendar Islam dan sangat sinonim dengan ibadah haji. Walaupun kita tidak menjadi tetamu Allah SWT di tanah Haram, namun kita masih boleh melakukan amal soleh di sepanjang 10 hari terawal Zulhijjah. Firman Allah SWT dalam surah al-Haj ayat 28 bermaksud:
“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yangmendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
(Surah al-Haj 22:28)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sepuluh hari awal bulan Zulhijjah merupakan hari yang terbaik dalam dunia kerana terhimpun padanya semua amalan utama di dalam Islam termasuk solat, puasa, takbir, ibadah korban dan haji. Himpunan serentak seluruh amal soleh sebegini hanya berlaku pada bulan Zulhijjah, tidak pada bulan yang lain. Di antara keutamaan bulan ini ialah:
Pertama: Kemuliaannya diiktiraf Al-Quran.
Kelebihan dan kemuliaan bulan Zulhijjah ini bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-2:
وَٱلْفَجْرِ (١) وَلَيَالٍ عَشْرٍۢ(٢)
Bermaksud: “Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);” (Surah al-Fajr 89:1-2)
Ibnu ‘Abbas radiallahuanhuma menyatakan bahawa maksud sepuluh malam di dalam ayat tersebut adalah merujuk kepada sepuluh hari awal dari bulan Zulhijjah.
Kedua: Waktu yang paling disukai Allah SWT untuk beramal soleh.
Baginda Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya agar memperbanyakkan amal soleh. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Ibnu Abbas radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada hari yang amal solehnya lebih dikasihi Allah selain daripada hari yang sepuluh ini (10 hari pertama Zulhijjah). Sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah SAW bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri dan hartanya serta tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”
Ketiga: Hari Arafah, hari kemuncak rukun Haji dan mustajab doa.
Hari Arafah iaitu hari kesembilan merupakan hari kemuncak rukun haji serta waktu sangat mustajabnya doa. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Abdullah bin ‘Amr radiallahuanhu berkata, bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”.
Pada hari Arafah juga digalakkan untuk kita berpuasa. Ini bersandarkan hadis diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Abu Qatadah radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa- dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya.”
Keempat: Hari Raya Adha, takbir dan ibadah korban.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 2:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ(٢)
“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)”.
(Surah al-Kauthar 108:2)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bulan Zulhijjah juga membuka ruang untuk kita memperolehi pahala dan ganjaran yang besar melalui ibadah korban. Galakan melakukan ibadah korban ini berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, daripada Saidatina ‘Aisyah Radiallahuanha, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Aidiladha) yang paling Allah SWT sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binatang korban), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya serta bulu-bulunya (sebagai saksi atas ibadah korban tuannya, dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan.”
Justeru, bagi mereka yang berkemampuan, sertailah ibadah korban yang dianjurkan oleh seluruh masjid dan surau atau melalui mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berautoriti. Selain melatih diri untuk mengikis sifat tamak dan bakhil dalam mengeluarkan harta, ia juga menzahirkan kemurahan hati dalam membelanjakan harta ke jalan Allah SWT demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti golongan fakir dan miskin. Bagi mereka yang belum berkemampuan, berazam dan berusahalah agar mampu melaksanakannya pada tahun hadapan. Mimbar juga mengingatkan, bagi mereka yang menyertai ibadah korban supaya tidak memotong kuku dan rambut bermula satu Zulhijjah sehingga disembelih binatang korbannya. Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ummu Salamah Radiallahuanha, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang memiliki haiwan korban untuk disembelih, apabila kelihatan anak bulan Zulhijah, maka janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.”
Dalam pada itu, masjid dan surau juga digalakkan untuk merancang dan melaksana pelbagai aktiviti sebagai langkah pengimarahan bulan Zulhijjah seperti qiamullail, ceramah, forum atau kuliah pengajian dan sebagainya agar kelebihan yang ada pada bulan ini dimanfaatkan sebaiknya demi kebaikan ummah.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib merumuskan tiga perkara utama sebagai panduan bersama;
Pertama: Bulan Zulhijjah memiliki beberapa keistimewaan dan keutamaan yang perlu kita manfaatkan dengan melaksanakan amal-amal soleh yang dianjurkan.
Kedua: Gunakan masa dan waktu sebaiknya bagi mengisi ruang pahala dan ganjaran terutama pada sepuluh awal dari bulan Zulhijjah.
Ketiga: Tawaran dan ganjaran pahala yang diberikan oleh Allah SWT buat hamba-hamba-Nya yang beramal soleh menunjukkan betapa kasih-Nya Allah SWT kepada kita dan supaya kita merebut peluang yang ada untuk mencapai redha-Nya.
Firman Allah SWT surah al-Nahl ayat 97:
مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ (٩٧)
Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(Surah al-Nahl 16:97)
Tarikh Dibaca: 7 Jun 2024M/29 Zulkaedah 1445H
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment