Daripada Ibn Umar RA beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW memegang belakang beliau lalu bersabda:
Maksudnya: “Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara. “Lalu Ibn Umar berkata: “Jika engkau telah berada pada waktu petang, maka janganlah dinantikan waktu pagi. Jika engkau berada pada waktu pagi, maka janganlah dinantikan waktu petang. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum sakit dan waktu hidup sebelum mati.”
(Riwayat al-Bukhari no. 6416)
Huraian
Hadis ini mencakupi pelbagai jenis kebaikan dan nasihat. Kandungan hadis ini sebagai tapak untuk tidak terlena di dunia kerana setiap Muslim tidak sepatutnya menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal yang kekal abadi.
Jangan bersifat tamak dan berlebih-lebihan. Ambillah sekadar keperluan sahaja. Itu pun untuk menjadi bekalan dalam perjalanan menuju ke akhirat.
Imam Abul Hasan ‘Ali bin Khalaf dalam Syarah Bukhari berkata bahawa Abu Zinad berkata: “Hadis ini bermakna menganjurkan agar sedikit bergaul dan sedikit berkumpul dengan orang-orang awam serta bersikap zuhud kepada dunia.”
Abul Hasan berkata: “Maksud daripada hadis ini ialah orang asing biasanya sedikit berkumpul dengan orang lain sehingga dia terasing daripada mereka, kerana hampir-hampir dia hanya berkumpul dan bergaul dengan orang-orang ini saja. Dia menjadi orang yang berasa lemah dan takut.”
“Begitu juga seorang pengembara, dia hanya mahu melakukan perjalanan mengikut kekuatannya. Dia hanya membawa beban yang ringan agar dia tidak dibebani untuk menempuh perjalanannya. Dia hanya membawa bekal dan kenderaan yang diperlukan untuk mencapai tujuannya.
Hal ini menunjukkan bahawa sikap zuhud terhadap dunia dimaksudkan untuk dapat sampai kepada tujuan dan mencegah kegagalan, seperti halnya seorang pengembara yang hanya membawa bekal sekadarnya agar sampai ke tempat yang dituju.
Begitu pula halnya dengan seorang Mukmin dalam kehidupan di dunia ini hanyalah memerlukan sekadar bekal untuk mencapai tujuan hidupnya.”
Pengajaran
- Ada ketikanya Rasulullah SAW menyentuh anggota badan orang yang dinasihati ketika menyampaikan amanat atau ilmu. Kaedah ini harus digunakan oleh para pendidik. Ibn Mas’ud berkata, “Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadaku cara bertasyahud, sambil memegang tapak tanganku.”
- Dunia ini sementara dan akhirat itu kekal abadi. Firman Allah: كُلُّ نَفْسٍ ذَابِقَةُ الْمَوْتِ . Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati – (Surah Ali ‘Imran 3: 185) Namun tiada seorang pun yang akan mengetahui ajal mautnya.
- Dunia hanyalah jambatan yang akan menghubungkan kita ke akhirat. Allah berfirman: وَمَا الْحَيَوةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَعُ الْغُرُورِ . Maksudnya: Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu daya –(Surah Ali Imran 3:185)
- Gunakan kesempatan masa hidup untuk berbakti kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Manfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain: Masa muda sebelum masa tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.” (Riwayat an-Nasai’ no. 11 832)
- Hendaklah segera melakukan kebaikan, banyak melakukan ketaatan dan jangan menunda pekerjaan.
- Berzuhudlah terhadap dunia dalam erti kata bukan meninggalkan usaha tetapi berwaspada terhadap dunia agar tidak melupakan akhirat.
- Bersungguh-sungguh melakukan amal soleh dan sentiasa takut dengan azab daripada Allah SWT.
- Berwaspada terhadap orang yang berperilaku buruk.
- Perbuatan yang bersifat duniawi wajib dilakukan jika mahu memenuhi keperluan untuk mendapatkan akhirat.
- Kita hendaklah bersikap profesional antara dunia dengan akhirat.
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria
Leave a comment