Diriwayatkan daripada Huzaifah RA, beliau berkata,
Ertinya: “Nabi SAW bersabda, ‘Para malaikat menemui roh seorang lelaki yang hidup sebelum kalian, mereka berkata, ‘Adakah engkau pernah melakukan suatu kebaikan?’ – dalam riwayat Muslim: Dia menjawab, “Tidak.” Mereka berkata, “Cuba ingat kembali.” Dia berkata, “Aku telah memberikan pinjaman kepada orang ramai.” – Dia berkata, Aku telah menyuruh budak-budak suruhanku untuk memberi tempoh dan ruang kepada orang yang senang (untuk membayar hutang kepadaku).” Baginda SAW bersabda, Allah SWT berfirman, ‘Hapuskanlah dosa-dosanya.”” Abu Abdullah berkata, “Abu Malik berkata daripada Rib’i, ‘(Lelaki tersebut berkata,) Aku telah memudahkan orang yang berkemampuan dan menghapuskan hutang daripada orang yang susah (untuk membayar hutang).” Riwayat ini disokong oleh Syu’bah daripada Abdul Malik, daripada Rib’i. Abu ‘Uwanah berkata daripada Abdul Malik, daripada Rib’i, “(Lelaki tersebut berkata,) Aku memberikan tempoh kepada orang yang senang dan memberikan kelepasan hutang kepada orang yang susah (untuk membayar hutang).” Nu’aim bin Abu Hind berkata daripada Rib’i, “(Lelaki tersebut berkata,) Aku menerima (bayaran) daripada orang yang senang dan memberi kelepasan ruang kepada orang yang susah.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim-lafaz al-Bukhari)
Diriwayatkan daripada Abu Mas’ud RA, beliau berkata,
Ertinya: “Rasulullah SAW bersabda, ‘Seorang lelaki sebelum kalian dihisab, maka didapati tidak ada baginya suatu kebaikan pun melainkan dia ialah orang yang sering bergaul dengan orang ramai dalam keadaan dirinya ialah seorang yang kaya. Maka dia menyuruh budak suruhannya supaya menghapuskan hutang daripada orang yang susah (untuk membayar hutang).’ Baginda bersabda, Allah berfirman, ‘Kami lebih berhak pada perkara tersebut daripadanya, maka hapuskanlah dosa-dosanya.””
(Riwayat Muslim, al-Tirmizi dan Ibnu Hibban-lafaz Muslim. Menurut al-Tirmizi, hadis ini hasan shahih. Tahkik Shahih Ibni Hibban: Sanadnya sahih melalui para perawi al-Bukhari dan Muslim.)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA,
Ertinya: Daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda, “Sesungguhnya seorang lelaki tidak pernah melakukan kebaikan pun, namun dia sering memberikan pinjaman kepada orang ramai. Lalu dia berkata kepada utusannya, Ambillah apa yang mudah (dibayar oleh penghutang yang mampu) dan tinggalkanlah apa yang sukar (dibayar oleh orang yang tidak mampu) serta hapus kira hutangnya. Mudah-mudahan Allah Ta’ala mengampunkan kita.’ Apabila dia meninggal dunia, Allah SWT berfirman kepadanya, ‘Adakah engkau pernah melakukan walau suatu kebaikan?’ Dia menjawab, ‘Tidak, melainkan aku mempunyai seorang budak suruhan dan aku sering memberi pinjaman kepada orang ramai. Apabila aku mengutuskannya untuk mengutip hutang, aku berkata kepadanya, ‘Ambillah apa yang mudah (dibayar oleh pemiutang yang mampu) dan tinggalkanlah apa yang sukar (dibayar oleh orang yang tidak mampu) serta hapus kira hutangnya. Mudah-mudahan Allah Ta’ala mengampunkan kita.” Allah Ta’ala berfirman, ‘Sesungguhnya Aku telah mengampunkan engkau.”
(Riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Hibban-lafaz al-Nasa’i. Tahkik Sunan Ibni Hibban: Sanadnya hasan.)
Pengajaran
- Allah SWT merahmati orang yang bertoleransi dengan orang lain dalam urusan hutang, bahkan dalam urusan-urusan lain selainnya.
- Mengikut panduan pengurusan dan tatacara ketika berhutang dalam Islam.
- Menjauhi riba dalam hutang kerana perbuatan itu termasuk dalam dosa besar dan mengundang kemurkaan Allah SWT.
Sumber: Hadis Qudsi: Menelusuri Hikmah di Sebalik Firman Allah SWT oleh Muhammad Yusuf A Kadir
Leave a comment