Syuja`Ul Aqra – Ular Yang Menyeksa Pemaksiat Dalam Kubur

Soalan

Saya ingin bertanya tentang ular yang bernama Syuja’ul Aqra yang menyeksa para pemaksiat di dalam kubur. Adakah kisah ini berdasarkan hadis yang sahih?

Penjelasan

Melalui penelitian yang ringkas, kami dapati terdapat dua hadis yang terdapat lafaz syuja’an aqra’, yang diertikan sebagai ular jantan aqra’. Iaitu ular yang diciptakan Allah SWT khusus untuk menyeksa golongan yang tidak membayar zakat. Sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA;

مَنْ آتاهُ اللهُ مالًا فلَمْ يؤَدِ زكاتَهُ مُثِّلَ له يومَ القيامَةِ شجاعًا أقرَعَ لَهُ زبيبتانِ يطوِّقُهُ يومَ القيامَةِ ثُمَّ يأخُذُ بلِهْزِمَتَيْهِ يعني بِشِدْقَيْهِ ثُمَّ يقولُ: أنا مالُكَ أنا كنزُكَ ثُمَّ تلا النبىُّ : ولَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتاهُمُ اللهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ القيامَةِ 

Maksudnya: “Barang siapa diberi harta oleh Allah, lalu dia tidak menunaikan (kewajipan) zakatnya, pada hari kiamat hartanya dijadikan untuknya menjadi seekor ular jantan aqra’ (yang kulit kepalanya botak kerana dikepalanya terkumpul banyak racun), yang berbisa dua bahagian mulutnya. Ular itu dikalungkan (di lehernya) pada hari kiamat. Ular itu memegang (atau menggigit tangan pemilik harta yang tidak berzakat tersebut) dengan kedua bahagian mulutnya, lalu ular itu berkata, ’Saya adalah hartamu, saya adalah simpananmu’. Kemudian baginda Nabi SAW membaca (firman Allah SWT: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.” Surah Ali-Imran: 180)

(Riwayat Bukhari II/508 no. 1338)

Di dalam riwayat lain, daripada Jabir bin Abdullah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلاَ صَاحِبِ كَنْزٍ لاَ يَفْعَلُ فِيهِ حَقَّهُ إِلاَّ جَاءَ كَنْزُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شُجَاعًا أَقْرَعَ يَتْبَعُهُ فَاتِحًا فَاهُ فَإِذَا أَتَاهُ فَرَّ مِنْهُ فَيُنَادِيهِ خُذْ كَنْزَكَ الَّذِى خَبَأْتَهُ فَأَنَا عَنْهُ غَنِىٌّ فَإِذَا رَأَى أَنْ لاَ بُدَّ مِنْهُ سَلَكَ يَدَهُ فِى فِيهِ فَيَقْضَمُهَا قَضْمَ الْفَحْلِ

Maksudnya: “Tidaklah pemilik harta simpanan yang tidak melakukan haknya padanya (maksudnya tidak mengeluarkan zakatnya, pent), kecuali harta simpanannya akan datang pada hari kiamat sebagai seekor ular jantan aqra’ yang akan mengikutinya dengan membuka mulutnya. Jika ular itu mendatanginya, pemilik harta simpanan itu lari darinya. Lalu ular itu memanggilnya, “Ambillah harta simpananmu yang telah engkau sembunyikan! Aku tidak memerlukannya.” Maka ketika pemilik harta itu melihat, bahawa dia tidak dapat menghindar darinya, dia memasukkan tangannya ke dalam mulut ular tersebut. Maka ular itu memakannya sebagaimana binatang jantan memakan makanannya.”

(Riwayat Muslim II/684 no. 988)

Kesimpulan

Kisah suja’an aqra’ adalah merupakan kisah benar berdasarkan dua hadis yang dibentangkan di atas. Ular yang dimaksudkan Nabi SAW itu dikhususkan untuk menyeksa ahli maksiat yang tidak menunaikan kewajipan berzakat.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑