Berkata Imam Al-Jauzi:
“Iblis memperdayakan orang-orang awam yang mempunyai harta dengan empat cara. Pertama, dari aspek mencari harta. Mereka tidak peduli bagaimana cara mereka mendapatkan harta. Mereka melupakan dosa riba dan riba tersebar dalam sebahagian besar perniagaan mereka sehingga seluruh terkeluar daripada hukum yang disepakati oleh ulama. Dilaporkan oleh Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW, kata baginda: Akan datang kepada manusia satu zaman, manusia tidak mengambil berat bagaimana cara mendapatkan harta, sama ada daripada sumber halal ataupun haram.”
“Yang kedua, dari aspek kebakhilan. Di antara mereka, ada yang sama sekali tidak mahu mengeluarkan zakat kerana beranggapan, mereka berasa ia satu bebanan dan tindakan mereka akan dimaafkan. Ada pula yang mahu mengeluarkan sebahagiannya, namun sifat bakhil tetap menguasai diri mereka dan mengelakkan diri daripada membayar zakat cukup untuk membebaskan diri daripada hukuman. Ada pula di antara mereka yang licik menggunakan akal supaya tidak terkena kewajipan mengeluarkan zakat seperti: menghibahkan harta itu sebelum genap setahun. Setelah genap setahun, dia memintanya kembali.
Antara mereka ada yang mencari helah dengan memberi pakaian yang berharga sepuluh dinar umpamanya kepada orang fakir, tetapi kadar 10 dinar itu hanya menyamai dua dinar sahaja. Di antara mereka ada yang membayar dengan barang yang buruk. Di antara mereka ada yang membayar zakatnya kepada pekerjanya sendiri, walhal sebenarnya itu adalah gaji pekerja tersebut.
Di antara mereka ada yang mahu membayar zakat dengan cara yang betul, tetapi Iblis membisikkan kepadanya, ‘Hartamu boleh habis nanti,’ maka kerana itu dia tidak jadi mahu mengeluarkan sedekah, kerana didorong kecintaan kepada harta maka dia tidak memperoleh ganjaran sedekah dan hartanya itu hanyalah menjadi hak milik orang lain.
Dengan sanad daripada Duhhak, berkatalah Ibnu Abbas RA, ‘Apabila dirham dicipta, lantas Iblis mengambil duit, maka Iblis mencium duit itu, dan dia meletakkannya di antara dua matanya dan pusatnya, sambil berikrar, ‘Kerana engkaulah aku akan melampaukan manusia kerana mahukanmu, dan disebabkan engkau jugalah aku akan menyebabkan ramai manusia kufur. Aku redha jikalau anak Adam cintakan duit lebih daripada mereka menjadi hamba kepadaku.” Daripada A’mash, daripada Syaqiq, daripada Abdillah berkata, ‘Sesungguhnya syaitan akan menghalang manusia sedaya upaya daripada melakukan kebaikan, dan apabila mereka berjaya dilemahkan, syaitan akan berbaring di atas hartanya, akan menegah daripadanya untuk mengeluarkannya.””
“Yang ketiganya, dari aspek jumlah harta. Orang kaya melihat dirinya lebih baik daripada orang miskin. Ini adalah kejahilan. Kerana nilai manusia itu bergantung kepada kebaikan yang ada pada dirinya dan bukannya mengumpul harta yang banyak yang seterusnya akan menjejaskan peribadinya. Sebagaimana yang disebut oleh seorang penyair,
“Orang berakal yang memiliki kekayaan jiwa,
Lebih baik daripada kekayaan harta benda,
Nilai jiwa itu terletak pada jati dirinya,
Bukan pada keadaan luarannya.”
“Dan yang keempat dari aspek perbelanjaan. Di antara mereka ada yang membelanjakan harta secara membazir dan berlebih-lebihan. Harta itu digunakan untuk perkara-perkara yang sebenarnya tidak diperlukan, seperti menambah bangunan yang tidak diperlukan, menghias tembok, mencantikkan rumah dan membeli pelbagai gambar. Kadang-kadang harta itu dibelanjakan untuk pakaian yang membuatnya takbur. Terkadang untuk membeli makanan secara berlebihan dan perbuatan ini tidak dapat menyelamatkan pelakunya daripada melakukan perbuatan yang haram atau makruh dan dia bertangggungjawab ke atas semua perbuatannya itu.”
Syarah dan Tahqiq:
Iblis memperdayakan orang yang berharta dari empat aspek:
1. Dari Aspek Mencari Harta
Hadith daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Akan datang kepada manusia satu zaman, manusia tidak mengambil berat bagaimana cara mendapatkan harta, sama ada daripada sumber yang halal ataupun haram.”
(Direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Musnad Mukatsirin Mina Sahabah, bab Abi Hurairaih radiallahuanhu, no. hadith 9260, daripada Abu Hurairah R.A., status hadith sahih.)
Hadith ini menjelaskan kepada kita, Iblis sentiasa menggoda manusia dengan membisikkan supaya tidak mengendahkan perkara halal dan haram. Iblis akan melalaikan orang yang berharta dengan mengatakan yang halal tidak mendatangkan keuntungan. Maka ambillah yang haram kerana itu lebih mendatangkan keuntungan. Sebab itu pada masa kini, ramai yang tidak mengambil kira perkara-perkara yang halal dan haram. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mengejar keuntungan semata-mata.
2. Dari Aspek Kebakhilan
Iblis sentiasa membisikkan kepada orang yang berharta supaya bersifat bakhil. Sehingga ada yang tidak mengeluarkan zakat kerana kebakhilan mereka. Ada juga sebahagian yang mempermainkan hukum Allah SWT, contohnya, mereka cepat-cepat menyedekahkan sedikit daripada harta mereka supaya harta mereka tidak cukup nisab dan had zakat. Dengan itu, mereka tidak perlu mengeluarkan zakat kerana tidak cukup nisab. Ada juga daripada kalangan mereka yang apabila mengeluarkan zakat, dia akan mengeluarkan harta yang paling buruk. Sedangkan mereka tidak menyedari, mereka telah mempersendakan hukum Allah SWT Mereka juga tidak menyedari bahawa mereka sedang ditipu oleh tipu daya Iblis. Iblis lebih redha jikalau manusia menjadi kufur disebabkan harta berbanding menjadi kufur disebabkan menjadi hambanya.
3. Dari Aspek Orang yang Banyak Harta
Orang berharta yang ditipu dari aspek ini akan merasakan dirinya lebih baik daripada orang miskin dan tidak mempunyai harta. Iblis terus-menerus memperdayakannya dan membisikkan kepadanya, dia adalah lebih mulia dan layak diberi penghormatan daripada orang lain. Ini menyebabkan diri mereka semakin lupa dan semakin lama semakin bersifat bongkak dan takbur. Sesungguhnya matlamat Iblis adalah sentiasa mahukan manusia supaya bersifat bongkak dan takbur.
4. Dari Aspek Membelanjakan Harta
Orang yang berharta akan ditipu oleh Iblis supaya membelanjakan harta secara berlebihan dan membazir. Israf bermaksud membelanjakan harta secara berlebih-lebihan pada perkara yang halal. Contohnya seperti membeli kasut yang terlampau mahal harganya. Manakala tabzir pula membelanjakan harta secara berlebih-lebihan pada perkara yang haram. Kedua-duanya haram dan mendatangkan kemudaratan. Tambahan lagi, jikalau dia membelanjakan hartanya secara berlebih-lebihan dengan tujuan untuk menunjuk- nunjuk dan bermegah-megahan, maka bergandalah dosa yang diperolehinya.
Keempat-empat aspek ini adalah pelan tindakan tipu daya Iblis dalam usahanya memperdayakan manusia. Iblis tidak akan berputus asa dalam menyesatkan anak Adam sehingga matlamat dan misinya tercapai.
Belitan Iblis terhadap kerjaya orang awam adalah syaitan sentiasa membisikkan kepada mereka bekerja untuk menjadi kaya semata-mata. Lalu ketika itu, apabila kaya menjadi fokus utama, dia akan meninggalkan perkara-perkara yang melibatkan halal dan haram. Apa sahaja yang boleh menambahkan duit poketnya dia akan lakukan walaupun ianya adalah haram. Ini adalah bercanggah dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Mereka juga lebih mengutamakan dunia daripada akhirat. Sedangkan Allah SWT telah berfirman:
وَٱلْـَٔاخِرَةُ خَيْرٌۭ وَأَبْقَىٰٓ (١٧)
“Walhal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. ”
(Surah Al-A’la 87:17)
Dan Allah SWT telah memberikan ancaman:
مَّن كَانَ يُرِيدُ ٱلْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُۥ فِيهَا مَا نَشَآءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُۥ جَهَنَّمَ يَصْلَىٰهَا مَذْمُومًۭا مَّدْحُورًۭا (١٨)
“Sesiapa yang mengkehendaki (kesenangan hidup) di dunia, kami akan segerakan kepadanya di dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki, kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah SWT. ”
(Surah Al-Isra’ 17:18)
Ayat di atas merujuk kepada orang yang hendakkan ganjaran di dunia, tetapi langsung tidak memikirkan halal dan haram. Allah SWT tetap memberikan apa yang mereka inginkan.
Sepertimana orang yang merompak, mencuri, dan menerima rasuah. Mereka ini tetap diberikan oleh Allah SWT kenikmatan dan kesenangan di dunia, tetapi kesenangan dan kenikmatan yang mereka kecapi di dunia ini sebenarnya adalah pendakwa mereka di akhirat kelak. Ia juga adalah istidraj.
Terdapat juga belitan Iblis terhadap kerjaya orang awam yang mempercayai kepercayaan khurafat dalam memilih kerjaya. Contohnya seperti jikalau hendak keluar mencari pekerjaan, mestilah keluar pada hari sekian dan tarikh sekian untuk mendapatkan keuntungan dan nasib yang baik.
Ada juga yang pergi berjumpa tukang tilik atau bomoh untuk menentukan pekerjaan yang boleh mendatangkan tuah kepadanya. Ada juga kepercayaan karut yang menganggap nombor-nombor yang mendatangkan sial kepadanya. Seperti jangan keluar pada tarikh sekian kerana dikhuatiri akan mendatangkan sial. Sedangkan semua itu adalah hanya tipu daya Iblis ke atas mereka. Mereka tidak menyedarinya kerana lemah dan kurang imannya.
Belitan Iblis terhadap kerjaya orang awam yang lainnya adalah merasakan perkara yang dilakukannya itu adalah benar walaupun sebenarnya tidak benar. Segala perilakunya di tempat kerja adalah selamat jikalau tidak diketahui majikan. Apabila majikan lalu di hadapannya, dia akan bekerja keras. Tetapi apabila majikan tidak memerhatikannya, dia mula curi tulang dan mula mengelat.
Apabila berlaku sedemikian, gaji atau upahnya boleh jatuh kepada syubhah. Dengan gajinya itu pula diberikan kepada keluarganya. Seterusnya keluarganya pula terjebak dengan sumber rezeki yang syubhah. Dan inilah yang amat disukai oleh Iblis.
Tetapi, dalam masalah curi tulang atau mengelat, jikalau kerjanya memerlukan kerahan minda dan otak ketika kerja, tidak salah untuk berehat seketika walaupun pada masa itu bukan waktu rehat. Dan itu bukanlah dipanggil sebagai curi tulang atau mengelat. Ini kerana jikalau dia tetap meneruskan kerjanya mungkin boleh mengganggu kualiti kerjayanya. Jadi lebih baik baginya berehat seketika sekadar perlu sahaja dan tidak berlebih-lebihan.
Walau bagaimanapun, jikalau kerjanya memerlukan komitmen dan boleh mendatangkan bahaya kepadanya jikalau dia berehat seperti menjaga mesin dan sebagainya, tidak boleh baginya untuk berehat melainkan ada orang lain yang boleh menjadi penggantinya seketika dan telah mendapat keizinan daripada majikannya untuk berehat.
Belitan Iblis yang lainnya adalah menganggap setiap rezeki itu adalah duit dan harta semata-mata. Sedangkan rezeki itu bukanlah hanya harta, wang, dan duit semata-mata. Segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT itu adalah rezeki. Sehingga ada yang mengamalkan suatu amalan dengan harapan mudah dikurniakan rezeki. Tetapi, apabila duit yang disangkakan rezeki itu tiada, dia mula menyalahkan amalan-amalan yang telah dilakukannya. Sehingga dia mula berputus asa dan mula meninggalkan amalannya.
Malah, lebih teruk lagi, dia mula meninggalkan amalan-amalan fardhunya kerana putus asa pada Allah SWT sedangkan, dia tidak menyedari, rezeki itu bukanlah hanya duit semata-mata. Rezeki seperti diberikan ketenangan, terhindar daripada malapetaka, adalah rezeki juga, tetapi dia tidak menyedarinya.
Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis, Syarah Terpilih Kitab Tablis Iblis Ibnu Al-Jauzi oleh Dr Zaharuddin Abdul Rahman
Leave a comment