Soalan
Adakah wanita boleh memakai niqab ketika melakukan tawaf sunat?
Penjelasan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ
Maksudnya: “dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”
(Surah al-Hajj 22:29)
Tawaf merupakan ibadah yang mempunyai syarat-syarat yang wajib dipenuhi. Sekiranya ia tidak dipenuhi, maka ibadah tawaf menjadi tidak sah. Dalam menjawab persoalan yang diajukan, maka amat penting untuk difahamkan terlebih dahulu syarat-syarat sahnya sesuatu tawaf.
Syarat-Syarat Sah Tawaf
Berdasarkan ulasan Syeikh Zain bin Ibrahim Sumait dalam al-Taqrirat al-Sadidah berkenaan dengan syarat-syarat tawaf maka dapat disimpulkan seperti berikut:
- Menutup aurat.
- Suci daripada hadas dan najis pada pakaian dan tempat tawaf.
- Kedudukan kaabah mestilah di sebelah kiri.
- Permulaan ibadah tawaf bermula dari hajarul aswad. Mestilah merangkumi keseluruhan badan ketika permulaan tawaf di hajarul aswad, jika sebaliknya maka tidak sah tawafnya.
- Mestilah mencukupi tujuh pusingan. Sekiranya syak pada bilangannya maka ambillah bilangan yang sedikit seperti solat.
- Melakukan tawaf di dalam masjid. Sekiranya di luar kawasan masjid maka batal tawafnya. Sah sekiranya pada tingkat kedua dan sutuh (bumbung) masjid. Ini merupakan ijmak ulama.
- Mestilah diluar kawasan kaabah, Syazarwan dan Hijr Ismail. Disyaratkan melakukan tawaf di luar kawasan kaabah dengan keseluruhan anggota badannya.
Jika dilihat pada rumusan syarat tawaf di atas, disebutkan bahawa seseorang yang ingin melakukan tawaf mestilah menutup aurat.
Menurut Syeikh Muhammad al-Zuhaili disyaratkan menutup aurat ketika tawaf ini sama sepertimana syarat sah bagi menunaikan solat. Dalam hal ini, dapat difahami bahawa menutup aurat yang dimaksudkan ialah meliputi seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua telapak tangan.
Oleh itu, memakai niqab tanpa keperluan ketika melakukan tawaf sunat dalam keadaan bukan berihram hukumnya adalah makruh. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj di bawah tajuk sunat-sunat tawaf bahawa makruh wanita memakai niqab ketika melakukan tawaf. Namun jika ada keperluan seperti mengelakkan daripada dipandang lelaki ajnabi maka hukumnya adalah harus.
Kesimpulan
Hukum wanita memakai niqab ketika melakukan tawaf sunat boleh disimpulkan dalam dua keadaan.
- Jika dia memakainya tanpa keperluan maka hukumnya adalah makruh.
- Jika dia memakainya kerana sesuatu keperluan seperti menjaga wajahnya daripada dilihat lelaki ajnabi atau sebagainya maka hukumnya adalah harus.
Wallahuaʻlam.
Sumber: PMWP
Leave a comment