Soalan
Suami sering meminta isteri untuk memulakan hubungan intim walaupun sudah kerap diberitahu bahawa isteri juga ingin digoda. Apakah hukumnya kes ini dan adakah cara penyelesaiannya?
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.
Hubungan Suami Isteri Yang Dianjurkan Dalam Islam
Perkahwinan merupakan Sunnah Rasulullah SAW yang dianjurkan berdasarkan nas al-Quran dan al-Hadis. Syarak juga meraikan fitrah manusia yang ingin meneruskan warisannya serta membina kehidupan dengan sempurna dan bahagia. Oleh itu, sebuah perkahwinan yang bahagia dapat dibina melalui hubungan suami isteri yang memahami hak masing-masing serta menunaikan tanggungjawab mereka.
Setiap pasangan perlu mengetahui hak-hak mereka agar kehidupan rumah tangga yang dibina lebih harmoni dan bahagia. Antara hak-hak yang perlu ditunaikan oleh seorang suami kepada isteri adalah:
- Memberikan mahar
- Memberikan nafkah zahir dan batin
- Berkomunikasi dengan cara yang baik
- Memberikan tunjuk ajar serta bimbingan daripada sudut pendidikan agama, pergaulan sesama saudara, cara berpakaian dan sebagainya.
Di samping itu, seorang isteri wajib mentaati suaminya melebihi orang lain, walaupun ibu bapanya sendiri. Isteri yang tidak taat kepada suaminya dikategorikan sebagai isteri yang derhaka dan berdosa melainkan jika ketaatan itu bertentangan dengan suruhan Allah SWT. Kewajipan dan ketaatan isteri kepada suami merupakan keutamaan dalam rukun rumah tangga sehinggakan Rasulullah SAW bersabda berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA berkata:
لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لأَحَدٍ لأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا
Maksudnya: “Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.”
(Sunan Tirmidhi 1159)
Tanggungjawab isteri ialah mentaati perintah suami pada perkara yang ma’ruf selagi dalam kerangka syarak. Bahkan, terdapat hak-hak suami yang perlu dilunaskan oleh seorang isteri. Dalam isu nafkah batin, seseorang isteri wajib melunaskan hak suaminya ketika diajak bersama. Suami berhak mengajak isterinya untuk bersetubuh pada bila-bila masa yang dia mahu melainkan pada alasan-alasan syarie seperti waktu ketika haid, nifas, keadaan zihar dan ketika ihram. Sekiranya isteri menolak, maka ingatlah amaran daripada Nabi SAW:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
Maksudnya: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk bersama, lalu isteri itu menolaknya. Maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.”
(Sahih al-Bukhari 5193)
Walaupun begitu, seorang suami tetap harus bersifat ihsan terhadap isterinya dalam semua perkara seperti komunikasi, perbelanjaan dan pergaulan antara satu sama lain. Hal ini sejajar dengan perintah Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.
(Surah al-Nisa’ 4:19)
Ibn Kathir menyatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada para suami agar bersikap baik dengan para isteri mereka dari segi komunikasi, perbuatan, hubungan intim serta sikap dan perangai sepertimana yang dikehendaki para suami daripada isteri mereka. [Rujuk Tafsir Ibn Kathir jil. 2 hlm. 242]
Kesimpulan
Berdasarkan daripada keterangan di atas, kami menasihati agar setiap pasangan yang berkahwin untuk bermuhasabah kembali tujuan asal perkahwinan disyariatkan serta merenung kembali tanggungjawab serta peranan yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu.
Selain itu, para suami mestilah bertanggungjawab melaksanakan hak-hak isteri mereka, bersikap ihsan serta memimpin keluarga mereka agar menjadi lebih baik dan bertakwa kepada Allah SWT. Berbincanglah dengan cara yang baik kerana tujuan mendirikan rumah tangga adalah juga untuk mendapat ketenangan, keseronokan serta pahala khususnya dalam isu perhubungan intim antara suami dan isteri.
Kami juga berpandangan jika buntu, pasangan yang mempunyai masalah rumah tangga agar berusaha mendapatkan khidmat nasihat serta kaunseling daripada pakar yang berautoriti secara bersemuka agar permasalahan tersebut dapat diselesaikan secara baik.
Wallahu’alam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment