أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
فِيهِ ءَايَـٰتٌۢ بَيِّنَـٰتٌۭ مَّقَامُ إِبْرَٰهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُۥ كَانَ ءَامِنًۭا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًۭا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَـٰلَمِينَ (٩٧)
Maksudnya: “Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”
(Surah Ali Imran 3:97)
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah Ali Imran 3:102)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk: Zulhijjah Bulan Menuju Reda Allah SWT
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita kini berada dalam bulan yang mulia. Bulan Zulhijjah yang disyariatkan padanya untuk umat Islam mengerjakan ibadah haji dan ibadah korban. Di samping itu, umat Islam juga dianjurkan untuk mengisinya dengan amalan-amalan sunat yang lain.
Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima. Allah SWT telah mewajibkan ibadah haji bagi mereka yang berkemampuan untuk mengerjakannya. Maksud firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 97 seperti mana yang dibacakan di awal khutbah ini adalah:
Maksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk”.
(Surah Ali Imran 3:97)
Umat Islam yang mengerjakan ibadah haji dapat menghapuskan dosa-dosa mereka sekaligus dapat membersihkan jiwa daripada kekotoran maksiat. Mereka diibaratkan seperti bayi yang baru dilahirkan suci daripada segala dosa dan maksiat.
Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksud: “Sesiapa yang menunaikan ibadah haji, (pada waktu itu) dia tidak bercakap kotor dan keji dan tidak melakukan perbuatan maksiat, maka dia akan kembali (bersih tanpa dosa) seperti mana keadaannya dilahirkan ibunya”.
(Riwayat al-Bukhari)
Umat Islam yang mengerjakan ibadah haji juga melahirkan rasa pengabdian melalui sikap merendah diri kepada Allah SWT dengan menolak segala bentuk perhiasan dan keselesaan sewaktu dalam ihramnya. Mereka juga melahirkan rasa syukur terhadap nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada mereka iaitu nikmat kesihatan dan nikmat harta. Harapan mereka tidak lain hanyalah dikurniakan haji yang mabrur kerana ganjarannya adalah syurga.
Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksud: “Satu umrah kepada satu umrah menjadi penghapus dosa di antara keduanya, dan haji yang mabrur tiada ganjaran melainkan syurga”
(Riwayat al-Bukhari)
Bagi umat Islam yang belum terpanggil untuk mengerjakan ibadah haji, marilah kita sama-sama berdoa dan menanamkan keazaman dalam diri untuk mengorbankan sedikit daripada harta kita agar dapat bersamasama dengan para dhuyufurrahman pada tahun-tahun yang akan datang. إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Dalam bulan ini juga, Allah SWT telah mensyariatkan ibadah korban. Sudah pasti setiap tahun kita akan teringat kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihissalam dan juga kisah Habil dan Qabil, dua orang anak Nabi Adam Alaihissalam yang diperintahkan untuk mempersembahkan korban masing-masing. Habil seorang pengembala kambing mempersembahkan korbannya kambing yang paling baik dan gemuk sementara Qabil seorang petani mempersembahkan hasil tanaman yang paling buruk. Korban Habil diterima oleh Allah SWT kerana keikhlasan hatinya. Manakala korban Qabil ditolak kerana dia mengorbankan hartanya yang paling buruk dan tanpa kerelaan hatinya.
Sejarah Nabi Ibrahim Alaihissalam apabila sedia menyembelih anak kesayangannya menunjukkan korban adalah sesuatu yang bukan sahaja melibatkan binatang yang disembelih tetapi juga melibatkan tingginya nilai sebuah pengorbanan hanya semata-mata ketaatan dan kesabaran melaksanakan perintah Allah SWT.
Pensyariatan ibadah korban telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran menerusi surah al-Hajj ayat 34:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَلِكُلِّ أُمَّةٍۢ جَعَلْنَا مَنسَكًۭا لِّيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَـٰمِ ۗ فَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌۭ وَٰحِدٌۭ فَلَهُۥٓ أَسْلِمُوا۟ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُخْبِتِينَ(٣٤)
Maksud: “Dan bagi tiap-tiap satu umat, Kami syariatkan ibadah menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka: binatang-binatang ternak yang disembelih itu”.
(Surah Al Hajj 22:34)
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah,
Ibadah korban adalah ibadah yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Oleh itu, bagi mendapatkan keredaan-Nya, kita haruslah melaksanakannya dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT, bukan sekadar hanya dengan menyembelih binatang ternakan dan membahagi-bahagikan dagingnya semata-mata.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُحْسِنِينَ (٣٧)
Maksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu”.
(Surah Al-Hajj 22:37)
Perintah korban itu sangat-sangat dituntut iaitu mengorbankan perkara yang sangat dikasihi bagi mereka yang mampu. Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Maksud: “Sesiapa yang ada kemampuan untuk berkorban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat solat kami” (Riwayat al-Tobrani dan Imam Ahmad)
Di sisi ulama al-Syafie, ibadah korban ini menjadi sunat muakkad ke atas orang yang mampu dan sunat kifayah bagi seisi keluarga. Penyembelihan bermula selepas solat sunat Eiduladha serta dua khutbah pada 10 Zulhijjah sehingga sebelum terbenamnya matahari 13 Zulhijjah. Daging korban disunatkan diambil sedikit dan selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin dan kepada saudara mara dan sahabat handai. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan ukhuwah Islamiyyah. Oleh itu, marilah kita mengambil peluang untuk melaksanakan ibadah korban yang merupakan amalan yang sangat dicintai oleh Allah SWT.
Hadis daripada Saidatina Aisyah Radhiallahuanha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksud: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Eiduladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya, dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada (reda) Allah sebelum ia jatuh ke bumi. Maka bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban)”.
(Riwayat al-Tirmizi)
Dalam bulan yang mulia ini, umat Islam juga disunatkan untuk berpuasa pada hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah bagi yang tidak mengerjakan ibadah haji dan lapan hari sebelumnya. Hari Arafah adalah hari yang terbaik kerana pada hari ini Allah SWT membebaskan hambahamba-Nya daripada api neraka lebih ramai daripada hari-hari selainnya.
Anjuran untuk berpuasa sunat seperti mana hadis daripada Abu Qatadah al-Ansari Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Arafah, Baginda bersabda:
Maksud: “(Puasa pada hari tersebut) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”
(Riwayat Muslim)
Di samping itu umat Islam juga dianjurkan untuk memperbanyakkan berzikir, bertakbir, bertahmid, bertahlil dan bertasbih pada hari Eiduladha dan hari-hari Tasyrik kerana semua yang dilakukan ini adalah semata-mata untuk memperoleh keredaan Allah SWT.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita menghayati dan mengambil pengajaran seperti berikut:
1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa ibadah korban ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam meningkatkan kesabaran dan melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT
2. Umat Islam hendaklah menghidupkan dan melaksanakan makna pengorbanan sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam dan Nabi Ismail Alaihissalam.
3. Umat Islam hendaklah ikhlas dalam melakukan pengorbanan kepada Allah SWT untuk memperoleh reda-Nya.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشْرِى نَفْسَهُ ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ رَءُوفٌۢ بِٱلْعِبَادِ (٢٠٧)
Maksud: “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata, dan Allah pula amat belas kasihan akan hamba-hamba-Nya”.
(Surah Al-Baqarah 2:207)
Tarikh Dibaca: 7 Zulhijjah 1445H/14 Jun 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment