Teks Khutbah Jumaat (WP): Ibrah Pengorbanan Keluarga Ibrahim A.S.

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

ثُمَّ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ أَنِ ٱتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًۭا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ (١٢٣)

Maksud: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau ikuti agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah dia dari kalangan orang-orang musyrik.” 

(Surah al-Naḥl 16:123)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita membangunkan ketakwaan kepada Allah SWT di dalam jiwa dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga dengan ketakwaan, kita meraih rahmat Allah bersama kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang melalaikan ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Semoga kita mendapat ganjaran solat Jumaat yang sempurna dari sisi Allah SWT.

Bersama keberadaan kita di ambang Aidiladha yang bakal kita sambut, marilah kita hayati khutbah pada hari ini yang bertajuk “Ibrah Pengorbanan Keluarga Ibrahim A.S.”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Nabi Ibrahim a.s adalah seorang rasul yang agung, digelar bapa para nabi dan tokoh besar yang menjadi rujukan dan teladan umat manusia dan umat Islam secara khususnya. Ini jelas sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nahl, pada ayat 123 yang dibacakan di awal khutbah tadi, bermaksud:

Maksud: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau ikuti agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah dia dari kalangan orang-orang musyrik.” 

(Surah al-Naḥl 16:123)

Apakah agaknya faktor yang mendorong Umat Islam diperintahkan untuk meneladani Nabi Ibrahim a.s? Sebenarnya, terlalu banyak yang boleh dijadikan sandaran untuk menjawab persoalan ini. Masakan tidak, seluruh perjalanan hidup baginda sarat dengan pengajaran dan suri teladan bagi setiap insan yang ingin berjaya menjadi hamba Allah. Kisah hidup baginda juga berulang kali dipaparkan, sehingga nama baginda disebut sebanyak 69 kali menerusi 25 surah di dalam al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT yang merumuskan siapa baginda di dalam Surah al-Naḥl, ayat 120-122:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ كَانَ أُمَّةًۭ قَانِتًۭا لِّلَّهِ حَنِيفًۭا وَلَمْ يَكُ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ (١٢٠) 

شَاكِرًۭا لِّأَنْعُمِهِ ۚ ٱجْتَبَىٰهُ وَهَدَىٰهُ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ (١٢١) 

وَءَاتَيْنَـٰهُ فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ ۖ وَإِنَّهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (١٢٢) 

Maksudnya: “Sesungguhnya Ibrahim adalah ummah dan seorang yang taat patuh semata-mata kepada Allah, berdiri teguh di jalan lurus dan tidak pernah menjadi dari kalangan orang musyrik. Dia sentiasa bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah; Allah telah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus. Dan Kami telah memberikan kepadanya kebaikan di dunia; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat adalah dari orang-orang yang soleh.”

(Surah al-Naḥl 16:120-122)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Lahir bersama nabi terulung ini ahli keluarga yang hebat untuk menjadi suri teladan. Marilah kita soroti kisah pengorbanan keluarga ini untuk mengambil pengajaran dan pelajaran dalam mendidik diri dan keluarga. Semoga ia menjadi sumber inspirasi dan motivasi bagi kita untuk membentuk keluarga yang sentiasa berada di dalam redha Allah SWT.

Setelah sekian lama berkahwin dengan Sarah, baginda tidak dikurniakan cahaya mata. Meniti usia yang semakin lanjut, di samping memahami keinginan suaminya untuk mendapat zuriat penyambung keturunan, Sarah bersetuju Nabi Ibrahim menikahi Hajar. Berkat ketabahan dan keindahan jiwa mereka semua, baginda dikurniakan seorang putera bernama Ismail hasil perkahwinan ini. Inilah yang dinyatakan menerusi firman Allah dalam surah as-Saffat ayat 101, “Maka Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) seorang anak yang amat sabar.”

Subhanallah, berkat pengorbanan dan kesanggupan berkongsi kasih dengan Hajar, walau dalam usia yang telah lanjut, Allah kurniakan pula kepada Sarah zuriat bernama Ishak. Kisah pengorbanan hebat keluarga ini terus menjadi paparan ibrah ketika Allah SWT memerintahkan Ibrahim meninggalkan Hajar dan Ismail di suatu lembah yang kering kontang tiada berpenghuni bernama Bakkah. Hajar pasrah dan Ibrahim akur. 

Biarpun begitu besar kasih pada anak kecil dan isterinya, namun itu tetap tidak mampu menggugat kepatuhan baginda kepada Yang Maha Esa. Setelah ditakdirkan kembali hidup bersama, mereka diuji lagi dengan suatu perintah yang tidak pernah tergambar di minda manusia. Perintah menyembelih anak kandung sendiri! Namun Subhanallah, kedua-dua bapa dan anak ini akur dan bersedia melaksanakannya tanpa banyak bicara. Kepatuhan mereka di tahap teragung kepada Allah SWT ini dibalas dengan perkhabaran gembira, sebagaimana firman Allah di dalam surah as-Saffat ayat 107

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَفَدَيْنَـٰهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍۢ (١٠٧)

Maksud: “Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.”

(Surah as-Saffat 37:107)

Begitulah sorotan ringkas kisah pengorbanan keluarga Ibrahim a.s. yang padat dengan ibrah yang wajar kita contohi. Sesungguhnya kisah pengorbanan mereka adalah manifestasi ketaatan dan kepatuhan hamba-hamba Allah dalam menjunjung titah perintah Maha Pencipta di tahap tertinggi. Terbukti keagungan pengorbanan mereka mendapat pengiktirafan di sisi Allah SWT sehingga diabadikan dan menjadi ritual tahunan umat Islam dalam ibadah haji. Bukahkah perlakuan Ibadah Haji seperti sa’i, melontar jamrah dan menyembelih haiwan korban adalah manifestasi kejadian yang pernah dilalui oleh keluarga hebat ini?

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Di dalam Islam, pengorbanan dituntut kerana ia adalah bukti keimanan dan kesungguhan seseorang untuk meraih kasih dan redha Allah SWT. Pengorbanan diperlukan untuk memurnikan dan meninggikan nilai kehidupan. Kesempurnaan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat berkait rapat dengan sejauh mana pengorbanan yang dipersembahkan.

Lihatlah agama Islam yang kita nikmati hari ini adalah hasil pengorbanan para sahabat yang sanggup menggadai nyawa, keluarga, harta, masa dan tenaga untuk memastikan Islam tersebar ke seluruh dunia. Begitu juga para ulama dahulu yang sanggup berkorban segala apa yang mereka miliki untuk mewariskan kepada kita khazanah ilmu yang tidak ternilai. 

Berkat pengorbanan mereka, kita dapat menikmati keindahan iman dan Islam. Pastinya, walau apa pun ujian yang sedang kita hadapi, ia tidak sebanding ujian yang pernah Nabi Ibrahim dan keluarganya lalui. Kita hanya dituntut untuk mengorbankan sebahagian harta untuk menjayakan ibadah korban, infak, sedekah dan membantu saudara seIslam yang ditimpa musibah.

Realiti hidup kita hari ini juga menuntut kita berkorban dengan bersama-sama memikul bebanan kenaikan kos sara hidup. Ini perlu demi memulihkan semula kemampanan ekonomi negara berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan selaras dengan hasrat kerajaan untuk membentuk Malaysia yang lebih maju dan makmur. Yakinlah, bersama semua kepayahan dan pengorbanan kita hari ini ada nilai yang besar di sisi Allah SWT. Untuk memupuk dan membangkitkan semangat berkorban, beberapa perkara perlu disemai di dalam jiwa kita:

Pertama: Tanamkan keyakinan bahawa hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa mutlak dalam menentukan kebaikan, keburukan, kurniaan dan kemudaratan. Hati yang sebegini pasti tidak akan sangsi untuk melakukan pengorbanan untuk tuhannya.

Kedua: Ingatlah, bersama pelbagai cabaran dan kepayahan, kita masih dibekalkan dengan pelbagai nikmat dan kemudahan. Buktikanlah kesyukuran dengan mengorbankan sebahagian pemilikan kita untuk dikongsikan kepada yang memerlukan. Sesungguhnya rahmat Allah dan keberkatan hidup telah terbukti bersama insan-insan yang selalu berkorban.

Ketiga: Pengorbanan kita pasti dibalas. Jika balasan pengorbanan ini tidak diperolehi di dunia, yakinlah terhadap ganjaran yang lebih besar menanti kita di akhirat. Dengan keyakinan ini, pasti tidak timbul rasa kecewa setelah kita melakukan pengorbanan. Inilah kesempurnaan iman sebagaimana hadis yang diriwayatkan Abu Daud daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan (pemberian) kerana Allah, maka sempurnalah imannya.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Berikut adalah kesimpulan khutbah hari ini:

Pertama: Kisah pengorbanan keluarga Nabi Allah Ibrahim a.s. adalah manifestasi ketaatan dan kepatuhan kepada Allah di tahap tertinggi.

Kedua: Pengorbanan dituntut untuk memurnikan dan meninggikan nilai kehidupan. Kesempurnaan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat berkait rapat dengan sejauh mana pengorbanan yang kita jayakan.

Ketiga: Sedarlah betapa kehidupan kita di dunia ini perlukan rahmat dan keberkatan. Sesungguhnya rahmat Allah dan keberkatan hidup telah terbukti sentiasa bersama insan-insan yang selalu berkorban.

Mengakhiri khutbah, hayati firman Allah SWT dalam al-Quran Surah an-Nisa’, ayat 125:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًۭا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌۭ وَٱتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًۭا ۗ وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبْرَٰهِيمَ خَلِيلًۭا (١٢٥)

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan dan mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya.”

(Surah an-Nisa’ 4:125)

Tarikh Dibaca: 7 Zulhijjah 1445H/14 Jun 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑