Hadis Nawawi 40 – Hadis ke-41: Menundukkan Hawa Nafsu

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا (٩) وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا (١٠) 

Maksud: Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). 

(Surah Al-Shams 91: 9-10)

Daripada Abi Muhammad Abdillah bin ‘Amr bin al-‘Ash ber- kata, bahawa Rasulullah bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يَكُوْنَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ

Maksudnya: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga hawa nafsunya mengikuti apa yang telah aku bawa (sampaikan).”

(Hadis ini dinilai hasan sahih, dan Imam al-Nawawi meriwayatkan-nya daripada kitab Al-Hujjah. Lihat Jami al-Ulum wa al-Hikam. Jil. 2, hlm. 393)

Huraian 

Hadis ini selari dengan firman Allah:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ حَرَجًۭا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًۭا (٦٥)

Maksudnya: Demi Tuhanmu, mereka tidak dikatakan beriman sebelum mereka berhukum kepada kamu mengenai perselisihan sesama mereka, dan mereka tidak berasa berat hati atas keputusan kamu serta menerima dengan pasrah sepenuhnya.

(Surah al-Nisa’ 4: 65)

Antara sebab turunnya ayat ini adalah kerana telah terjadi sedikit perselisihan antara al-Zubair dengan seorang sahabat daripada golongan Ansar mengenai masalah air. Kedua-duanya telah mengadukannya kepada Rasulullah SAW untuk mendapatkan penyelesaian. Lalu Nabi SAW bersabda: “Wahai Zubair, alirkanlah dan tuangkanlah air kepada tetanggamu.”

Nabi SAW menganjurkan kepada al-Zubair untuk bersikap memudahkan dan toleransi. Akan tetapi, sahabat Ansar itu berkata: “Adakah kerana dia anak saudaramu?” Maka merahlah wajah Rasulullah SAW kemudian Baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai Zubair, tutuplah alirannya sampai airnya naik ke atas pagar kemudian biarkanlah hingga tumpah.”

Rasulullah SAW melakukan perkara itu untuk memberi isyarat kepada Zubair bahawa apa yang diputuskan Baginda mengandungi maslahat bagi golongan Ansar. Tatkala orang Ansar memahami sabda Nabi SAW itu, maka Zubair menyedari apa yang menjadi hak dan kewajipannya. Disebabkan kejadian itulah ayat ini diturunkan. (Riwayat al-Bukhari, no. 2359, 2360)

Pengajaran

  1. Allah SWT menjadikan seorang Muslim sebagai manusia yang sempurna.
  2. Hawa nafsu manusia lebih cenderung pada keburukan dan tidak mengendahkan syariat. Justeru, hawa nafsu merupakan jalan menuju kesesatan dan kesengsaraan. 
  3. Manusia dimuliakan dengan akal yang membezakannya daripada makhluk lain. Akal dapat membezakan antara kebaikan dengan keburukan.
  4. Seorang yang telah mengucap dua kalimah syahadah dan bertekad untuk komited terhadap syariat Allah SWT, maka dia telah beriman.
  5. Untuk meningkatkan iman ke tahap kesempurnaan, seseorang itu perlu mencintai apa yang dicintai Allah SWT dan membenci apa yang dibenci Allah SWT. Ia juga akan mengorbankan apa sahaja untuk kepentingan Allah SWT dan Rasul-Nya. 
  6. Kita hendaklah berhukum dengan hukum Allah SWT.
  7. Reda sepenuhnya dengan ketentuan Allah SWT dalam segala hal sama ada hukum itu sesuai dengan hawa nafsu ataupun tidak.
  8. Mencintai apa yang dibenci Allah dan membenci apa yang dicintai Allah adalah tanda-tanda kekufuran.
  9. Para sahabat Rasulullah SAW ialah contoh yang ideal dalam mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya.
  10. Setiap Muslim harus menyesuai- kan setiap perbuatannya dengan al-Quran dan al-Sunah.
  11. Sesiapa yang mengakui kebenaran syariat Allah SWT dengan hatinya, mengucapkan pengakuan tersebut dengan lisan, namun perbuatannya tidak sesuai dengan syariat yang diyakininya itu, maka dia ialah orang fasiq.
  12. Sesiapa yang perbuatannya sesuai dengan syariat, namun dalam keyakinan dan fikirannya ia mengingkari kebenaran syariat Allah, maka ia termasuk orang munafik.
  13. Sesiapa yang memperlakukan hukum Allah sewenang-wenangnya, maka dia ialah orang zindiq.
  14. Keimanan juga termasuk membela dan mempertahankan syariat Allah.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑