Ibadah Qurban: Syarat Sah, Sunat dan Makruh

Ibadah qurban merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Tujuannya adalah sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Dalil pensyariatannya sabit dengan alQuran dalam surah al-Kauthar ayat 2 dan surah al-Hajj ayat 36. 

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ (٢)

Maksud: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)

(Surah Al-Khauthar 108:2)

وَٱلْبُدْنَ جَعَلْنَـٰهَا لَكُم مِّن شَعَـٰٓئِرِ ٱللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌۭ ۖ فَٱذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَيْهَا صَوَآفَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْقَانِعَ وَٱلْمُعْتَرَّ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَـٰهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (٣٦)

Maksud: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

(Surah Al-Hajj 22:36)

Hukum melakukan qurban adalah sunat yang sangat dituntut (sunat muakkadah). Ibadah ini dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia setiap tahun apabila tibanya ‘Idul Adha, atau Hari Raya Qurban pada 10 Zulhijjah dan Hari-hari Tasyrik, iaitu pada 11,12 dan 13 Zulhijjah. 

Hikmah Ibadah Qurban

Ibadah qurban disyariatkan sebagai tanda bersyukur terhadap Allah SWT atas segala nikmat-Nya yang berbagai-bagai dan juga atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun. Ia juga bertujuan menjadi kifarat bagi pelakunya sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan, ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan, di samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga mereka yang lain.

Hukum Berqurban 

Dalil pensyariatan ibadah qurban adalah berasaskan kepada al-Quran merujuk kepada surah al-Kauthar ayat 2, surah al-Hajj ayat 36 dan surah al-Saffat ayat 107. 

وَفَدَيْنَـٰهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍۢ (١٠٧)

Maksud: Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar

(Surah Al-Saffat 37:107)

Manakala dalil pensyariatan berasaskan Sunnah ialah daripada hadith Aisyah yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan Ibn Majah dan hadith Anas yang diriwayatkan oleh Muslim. Menurut pandangan jumhur ulama, hukum melaksanakan ibadah qurban adalah sunat muakkadah bagi individu yang berkemampuan. Pandangan ulama mazhab Shafi‘i adalah sunat ‘ain bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup. Menurut pandangan yang masyhur di kalangan ulama mazhab Maliki adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. Manakala bagi mereka yang berniat untuk melakukan qurban nazar maka hukum melaksanakannya adalah wajib. 

Jenis Qurban 

Qurban terbahagi kepada dua jenis, iaitu qurban nazar (wajib) dan qurban sunat.

Status Hukum Daging Qurban 

Hukum berkaitan daging qurban terbahagi kepada beberapa status seperti yang berikut:

 (a) Haram memakan daging bagi orang yang melakukan qurban nazar (wajib) dan juga ahli keluarga di bawah tanggungannya walaupun sedikit sebagaimana juga haram memberikan daging qurban tersebut kepada orang bukan Islam. 

(b) Hukum pemberian daging qurban sunat kepada orang bukan Islam adalah haram menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i. 

(c) Kulit, lemak, daging, susu, kaki, kepala dan bulubulunya haram dijual oleh orang melakukan ibadah qurban sama ada qurban wajib atau qurban sunat. 

(d) Bahagian atau anggota sembelihan qurban tidak harus dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah melakukan sembelihan, kecuali bahagian atau anggota tersebut diberikan oleh individu yang melakukan qurban. 

(e) Sunat bagi individu yang melakukan qurban sunat (tatawu’) memakan daging qurbannya.

Pembahagian Daging Qurban 

Pembahagian daging qurban terbahagi kepada dua jenis, iaitu sembelihan qurban wajib (nazar) dan sembelihan sunat seperti yang berikut: 

(a) Pembahagian daging qurban wajib atau nazar: Wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, dan haram bagi pihak orang yang berqurban memakan daging qurbannya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya. 

(b) Pembahagian daging qurban sunat: Menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i: 

  1. 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang berqurban dan ahli keluarganya; 
  2. 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin; 
  3. 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran. 

Yang paling afdal menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i ialah bersedekah semuanya kecuali pada beberapa ketul atau suapan yang agak berpatutan dimakan oleh orang yang berqurban untuk mengambil berkat, seperti sebahagian hati kerana ianya sunat dimakan. Amalan ini pernah dilakukan oleh Nabi SAW ketika Baginda melakukan qurban.

Individu Yang Dituntut Melakukan Ibadah Qurban

Syarat-syarat bagi individu yang dituntut melakukan ibadah qurban adalah seperti yang berikut: 

  • Seorang Islam yang masih hidup. Tidak boleh melakukan untuk si mati jika dia tidak meninggalkan wasiat. 
  • Seorang yang merdeka. Tidak dituntut ke atas hamba. 
  • Mencapai umur baligh dan berakal. 
  • Bermukim, iaitu menetap di sesuatu kawasan. 
  • Mampu melaksanakan, iaitu mereka yang mempunyai wang untuk berbelanja mendapatkan ternakan qurban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya untuk Hari Raya dan Hari-hari Tasyrik kerana tempoh itulah masa bagi melakukan qurban.

Syarat Sah Berqurban 

Syarat sah berqurban hendaklah melakukan dua perkara: 

  • Niat untuk taqarrub (mendekatkan diri) diri kepada Allah SWT. Waktu niat qurban adalah semasa menyembelih atau semasa membeli ternakan qurban. 
  • Memilih ternakan qurban yang boleh dikongsi bahagian seperti unta, lembu dan kerbau jika ingin berkongsi tujuh orang. Manakala kambing atau biri-biri dikhususkan untuk seorang yang mewakili satu bahagian.

Syarat Sah Haiwan Ternakan Untuk Qurban 

Untuk memenuhi syarat-syarat sah sesuatu ibadah qurban, perkara-perkara berikut disyaratkan ke atas haiwan ternakan berkenaan, iaitu: 

  • Ibadah qurban tidak sah kecuali dengan haiwan ternakan sahaja, iaitu unta, lembu, kambing, biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina, yang menjadi baka ataupun dikasi. Dengan itu, tidak sah berqurban selain dengan haiwan ternakan seperti kerbau liar, kijang, rusa, pelanduk dan seumpamanya. 
  • Haiwan ternakan itu hendaklah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.
  • Haiwan ternakan itu tidak mempunyai kecacatan, sama ada tempang, buta, telinga koyak, patah sebelah tanduk, cedera pada tubuh badan, kurus sehingga tidak mempunyai lemak, atau kecacatan yang lain sepertinya. 
  • Haiwan ternakan itu telah mencapai satu tahap minimum umur, iaitu:
  • unta : berumur lima tahun masuk tahun keenam; 
  • lembu/kerbau : berumur dua tahun masuk tahun ketiga; 
  • kambing : berumur dua tahun masuk tahun ketiga; 
  • biri-biri : berumur satu tahun masuk tahun kedua, ataupun telah bersalin gigi hadapan.

Perkara Sunat Ketika Berqurban 

Antara perkara sunat ketika berqurban adalah seperti yang berikut:

  • Menambat ternakan qurban menjelang Hari Nahar (10 Zulhijjah). 
  • Memberi makanan kepada haiwan qurban sebelum disembelih. 
  • Memastikan haiwan tersebut tidak makan makanan yang syubhah seperti makan rumput di kawasan yang bukan milik tuan haiwan qurban. 
  • Meletakkan tanda serta menutup tubuh haiwan qurban supaya dapat merasakan kepentingan qurban. 
  • Melakukan penyembelihan qurban dengan sendiri. 
  • Membaca Bismillah (بِسْمِ اللَّهِ). 
  • Berselawat ke atas Nabi SAW. 
  • Penyembelih dan haiwan mengadap ke arah qiblat. 
  • Memilih haiwan ternakan yang paling baik. 
  • Menunggu haiwan yang disembelih itu sehingga sejuk dan semua anggotanya tidak bergerak lagi atau benar-benar mati dan baharulah dilapah. 
  • Orang yang melakukan qurban disunatkan tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga dia telah selesai berqurban. 

Perkara Makruh Ketika Berqurban 

Antara perkara yang makruh ketika berqurban adalah seperti yang berikut: 

  • Melakukan qurban ke atas haiwan yang carik telinganya atau terpotong sedikit di belakang telinganya. 
  • Memotong bulu haiwan yang hendak diqurbankan bagi tujuan kegunaan sendiri jika boleh memudaratkannya. 
  • Melakukan qurban ke atas haiwan yang pecah atau patah tanduknya, atau tiada bertanduk. 
  • Memerah susu haiwan yang hendak dijadikan qurban dan meminumnya kecuali disedekahkan susu tersebut. 
  • Memotong kuku dan bercukur bagi orang yang berniat qurban. 
  • Melakukan sembelihan qurban pada waktu malam.

Agihan Daging Qurban 

Sebelum melaksanakan pengagihan daging qurban, tindakan pertama yang wajib dilakukan ialah mengasingkan antara daging bahagian qurban wajib daripada daging bahagian qurban sunat sebelum diagihkan kepada penerima. 

Hal ini jika perkongsian tujuh bahagian itu berlaku antara mereka yang berniat qurban wajib dengan mereka yang berniat qurban sunat, atau ada bahagian yang diniatkan untuk aqiqah. 

Ini langkah pertama yang amat penting kerana daging qurban wajib, wajib diagihkan kepada yang berhak kesemuanya, begitu juga dengan bahagian aqiqah yang ada cara pengagihannya yang sedikit berbeza dengan pengagihan qurban sunat. 

Beberapa urusan lain yang berkaitan dengannya hendaklah diputuskan melalui jawatankuasa yang dibentuk untuk memudahkan pengagihan kepada pihak-pihak yang telah dikenal pasti seperti yang berikut: 

  • Memastikan daging qurban cukup untuk diagihkan kepada pihak-pihak yang telah disenaraikan; 
  • Menyediakan senarai penerima daging qurban mengikut keutamaan; 
  • Mengutamakan golongan fakir dan miskin yang telah dikenal pasti status mereka; 
  • Mengagihkan daging qurban kepada mereka yang tinggal di kawasan terpencil; 
  • Menyediakan kontena sejuk (jika perlu) untuk menempatkan daging qurban sebelum ia diagih ke kawasan pedalaman; dan 
  • Mengagihkan daging qurban kepada golongan yang berada sekiranya terdapat lebihan daging qurban tersebut.

Semoga amalan penyembelihan ibadah qurban yang dilakukan memberi kesan yang mendalam serta galakan kepada orang lain untuk berusaha melaksanakan qurban sebagai salah satu tuntutan dalam Islam.

Sumber: Garis Panduan Perlaksanaan Ibadah Qurban, JAKIM

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑