Kelebihan Hari Arafah
Hari Arafah adalah hari di mana Allah Taala sendiri mendekati hamba-hambanya.
Perkara ini disebutkan dalam hadis yang sahih. Sabda Rasulullah SAW:
ما من يوم أكثر من أن يعتق الله فيه عبدا من النار من يوم عرفة، وإنه ليدنو ثم يباهي بهم الملائكة فيقول: ما أراد هؤلاء؟
Maksud: “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya dari neraka seperti Hari Arafah. Pada hari tersebut Allah mendekati mereka dan berbangga dengan mereka (hamba-hambanya) di sisi malaikat dan berkata: Apa yang mereka mahukan?”
(Sahih Muslim)
Kelebihan Puasa Sunat Arafah
Antara kelebihan puasa Arafah adalah:
- Puasa Arafah adalah satu jalan/ruang yang diberikan oleh Allah SWT supaya umat Islam memperoleh pengampunan yang besar.
- Peluang bagi mereka yang tidak berkesempatan melakukan ibadat haji supaya mereka merebut fadilat yang dijanjikan pada hari Arafah.
- Hari 9 Zulhijjah termasuk dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Sepanjang tempoh ini, segala amalan kebaikan yang dikerjakan akan diberi ganjaran yang lebih besar berbanding apabila dilakukan pada bulan-bulan yang lain.
- Digalakkan juga perbanyakkan doa menurut riwayat Imam Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”.
Daripada Abu Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
Bermaksud: Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun selepasnya.
(Riwayat Muslim 1162)
Niat Puasa Sunat Hari ‘Arafah
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى
“Saya berniat puasa sunat ‘Arafah kerana Allah Taala.”
Waktu Berdoa
Apabila sebut tentang puasa arafah atau waktu wukuf 2024, tentu setiap tahun timbul persoalan, perlu ke untuk kita samakan waktu kita berdoa dengan waktu wukuf di padang Arafah itu?
Nabi S.A.W bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah.”
Jika diteliti hadis Nabi SAW ini, Nabi SAW tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa pada HARI Arafah.
Hari Arafah mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia adalah hari mustajab doa, menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas, selain hari keampunan serta pelepasan dari api neraka.
Sumber: JAKIM
Leave a comment