8 Kelebihan Hari Arafah

Hari Arafah bersamaan dengan 9 Zulhijjah mempunyai banyak kelebihannya. Di antaranya ialah:

1. Hari Penyempurnaan Agama & Nikmat

Dalam Sahih Bukhari dan Muslim, daripada Umar bin al-Khattab RA, terdapat seorang lelaki dalam kalangan Yahudi berkata kepadanya, ”Wahai pemimpin orang yang beriman! Terdapat ayat dalam kitab kamu yang jika diturunkan kepada kami orang Yahudi, sudah tentu kami akan jadikannya sebagai hari raya kami.” Umar SAW bertanya, “Ayat yang mana satu?” Dia menjawab yang bermaksud:

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan ) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa ( maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Umar berkata lagi, ”Sesungguhnya aku mengetahui hari dan tempat yang telah diturunkan tentangnya iaitu ketika Rasulullah SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat.” Diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Ibnu Abbas dan seumpamanya, beliau telah berkata ,”Ia telah diturunkan pada dua hari raya; hari Jumaat dan juga pada hari Arafah.”

2. Hari Raya Bagi Seluruh Umat Islam

Seperti mana yang telah dikatakan oleh Sayidina Umar bin al-Khattab dan Ibnu Abbas, telah diturunkan nikmat pada dua hari raya iaitu hari Jumaat dan hari Arafah. Diriwayatkan daripada Umar katanya, ”Kedua-duanya bagi kami adalah hari raya.” ( Direkodkan oleh al-Tabari dan tafsirnya.)

Ini dibuktikan dengan hadis daripada Uqbah bin Amir, tetapi ianya hari yang khusus untuk orang yang berwukuf di padang Arafah sahaja. Disyariatkan untuk berpuasa bagi penduduk negeri lain pada pandangan majoriti ulama, sekali pun ada sedikit perselisihan dalam kalangan salaf.

 3. Hari Arafah Merupakan Genap (as-Shafa’) Dalam Surah Al-Fajr

Dikatakan juga sebagaimana yang Allah nyatakan tentang sumpah-Nya dalam al-Quran bahawa Hari Arafah merupakan yang genap (as-Shafa’) dalam surah al-Fajr, manakala yang ganjl (al-Watr) pula adalah Hari Raya Korban. Ia diriwayatkan juga dengan disandarkan kepada Rasulullah SAW daripada Jabir RA. Turut diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa’i dalam tafsirnya. Dikatakan ,‘Inilah asy-Syahid yang Allah bersumpah dengannya sebagaimana firman Allah” yang bermaksud:

” Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu,serta segala keadaan yang disaksikan.”

(Surah al-Buruj: 3)

Dalam kitab al-Musnad daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan secara marfu’ dan mawquf yang bermakna:”Saksi adalah hari Arafah manakala hari yang dijanjikan itu ialah hari kiamat.” Riwayat Imam Ahmad (7972) di dalam Musnad,al-Hakim (3915) di dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi (5773) di dalam Sunan al-Kubra.

Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dengan periwayatan secara marfu’. Diriwayatkan juga oleh Ali dengan kata-katanya. Al-Tabarani meriwayatkan hadis daripada Abi Malik al-‘Asya’ri yang diriwayatkan secara marfu’, yang maknanya :”Saksinya ialah hari Jumaat manakala penyaksian ialah hari Arafah.

Oleh itu, apabila berlaku hari Arafah pada hari Jumaat,maka akan berkumpullah antara saksi dengan penyaksian.

4. Sebaik-baik Hari

Diriwayatkan juga bahawa ia adalah sebaik-baik hari. Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang maksudnya : ”Sebaik-baik hari ialah hari Arafah.” Rujuk Jami’ usul fi ahadis al-Rasul (6867)

Perkara ini disepakati oleh sebahagian para ulama. Ada juga dalam kalangan mereka yang berpandangan bahawa Hari Raya Korban adalah sebaik-baik hari bersumberkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Qurth, daripada Nabi SAW, bahawa Baginda telah bersabda, yang maknanya : ”Hari yang agung di sisi Allah ialah Hari Raya Korban,kemudian hari menetap di Mina iaitu pada hari kesebelas dalam bulan Zulhijjah.” Riwayat Ibnu Khuzaimah (2917) di dalam Sohihnya, al-Baihaqi (10538) di dalam Sunan al-Kubra.

Telah diriwayatkan juga oleh Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasa’i dan Ibnu Hibban dalam sahihnya dengan lafaznya, ”Sebaik-baik hari.”

5. Menyamai 10,000 Hari

Kelebihan hari Arafah menyamai 10,000 hari. Daripada Anas bin Malik, beliau telah berkata , ”Kelebihan hari Arafah menyamai 10,000.” 

6. Haji Yang Agung

Ia merupakan haji yang agung pada pandangan para salaf antaranya ialah Umar dan lain-lain, manakala yang lain tidak menyokong pandangan ini. Mereka berkata, ”Hari haji yang paling agung ialah pada Hari Raya Korban.” Ini diriwayatkan daripada Baginda Nabi Muhammad SAW.

7. Puasanya Akan Menghapuskan Dosa Untuk Dua Tahun

Selain itu, di antara amalan yang dianjurkan juga adalah berpuasa pada hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah bagi sesiapa yang tidak mengerjakan ibadah haji. Hari Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun ibadah haji. Terdapat hadith daripada riwayat Abu Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah SAW ditanya berkenaan puasa pada hari Arafah? Baginda bersabda yang maksudnya: ”Puasa pada hari Arafah, Aku berharap pada Allah agar dihapuskan dosa yang sebelum dan selepas tahun itu.” Riwayat Muslim (1162)

8. Hari Pengampunan Dosa, Pelepasan Azab Api Neraka & Kemegahan Bagi Orang Berwuquf di Arafah

Seperti mana terdapat dalam Sahih Muslim daripada Sayidatina Aisyah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : ”Tiada hari yang Allah banyak membebaskan daripada neraka melebihi hari Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka kepada para malaikat. Allah berfirman, ‘Apa yang diinginkan oleh mereka?” (Riwayat Muslim (3354), Ibnu Majah (3014))

Dalam kitab al-Musnad daripada Abdullah bin ‘Amru, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: ”Sesungguhnya Allah berbangga di hadapan malaikat bagi mereka yang bermalam di Arafah. Allah berkata, ‘ Lihatlah kamu semua kepada hamba-hamba-Ku, mereka datang berhimpun kepada-Ku dengan keadaan yang berdebu dan kusut .” (Riwayat Imam Ahmad (7089), al-Tabarani (1504) di dalam Mu’jam al-Kabir)

Begitulah sebahagian dari dari kelebihan Hari Arafah yang telah disebutkan oleh Baginda Nabi SAW. Semoga Jemaah Haji pada tahun ini mendapat haji yang mabrur, pulang dengan penuh keinsafan. Bagi yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji pada tahun ini, perbanyakanlah amalan pada hari tersebut. Semoga Allah merahmati dan mengampunkan kita semua.

Artikel Asal: Kelebihan Hari ‘Arafah dan Hari Raya AidilAdha

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑