Oleh: Misanonimos
Melihat obsesi orang muda mengumpul ‘harta’, ingin aku titipkan pesanan agar jangan melakukan perkara yang sia-sia. Tetapi aku juga sedar pesanan ini tidak akan lut sebab aku juga pernah muda dan orang yang lebih tua juga memberi pesanan yang sama. Ada aku mendengarinya? Tentu sekali, TIADA.
Obsesi membeli aku datang dalam pelbagai rupa. Kalau tudung yang aku suka, mana cukup tiga. Sekurang-kurangnya lima yang sama, berbeza hanya pada warna. Pakaian pula tak usah cerita, dapat gaji sahaja, jaket ini, blouse itu, seluar sana, skirt sini, semua pun beli sahaja kerana duitnya ada. Beg tangan, kasut, jam, aksesori, segala. Seronok berfesyen, merasa diri up-to-date, bergaya.
Setelah umur menginjak pertengahan 40-an, aku mula lemas dengan ‘barang-barang’ aku punya. Baju yang banyak ini untuk apa sebenarnya? Satu baju yang aku beli, ROInya bagaimana? Ada yang hanya aku peragakan sekali dua. Beg tangan penuh almari juga menjadi beban semasa. Nak dipakai lima dalam satu masa takut digelar mereng pula. Kasut bersusun akhirnya rosak sendiri apabila tidak diguna, dan belakang aku sudah tidak mahu bekerjasama dengan tumit tinggi 4 inci yang dahulunya aku suka. And, do I need a gazillion lipsticks for my lips? Mata pun ada dua sahaja untuk color palette berbagai rona berlainan jenama. Banyak juga helaian baju yang membuat aku bertanya kenapa aku membeli mereka. Melihat barang yang aku miliki, sesal dalam jiwa melebihi kepuasan.
Mengapa tidak dijual semula? Betul juga. Tetapi beg Louis Vuitton yang berharga ribuan hanya bernilai ratusan apabila dijual semula. Sakitnya tuh di sinih! Proses menjual semula pakaian akan membuatkan aku kelemasan kerana karenah pelanggan. Itu aku pasti kerana aku mengenali diri aku sendiri berbanding orang lain.
Hakikatnya, wanita itu tidak memerlukan 15 telekung, 10 sejadah, 5 sejadah mini, 7 beg masjid, 5 tasbih segala!! Akhirnya dua tiga favorite sahaja yang diguna. Bertasbih guna jari juga lagi dituntut kerana jari-jemari berpeluang ibadah bersama. Ibadah itu juga tidak perlu bagai-bagai, kemas, bersih, ringkas, dan bawa sahaja hati yang ikhlas. Zikir dan doa juga hanya perlu dihafal di kepala, tidak perlu beg khas untuk membawanya.
Mengimbas semula, semua ini terjadi kerana aku terpedaya dengan muslihat syaitan dan nafsu diri sendiri. Walaupun berduit, tidak seharusnya kita berbelanja mengikut hati kerana semua rezeki itu akan ditanya kelak di hari pembalasan. Semua barang yang kita miliki akan dipertanggungjawabkan di sana nanti. Itulah sebabnya kita disuruh mengaji Al-Quran dan sunah Nabi kerana di dalamnya begitu banyak peringatan untuk kebaikan diri kita sendiri. Manusia sering merasakan yang dia lebih tahu, walaupun hakikatnya dia perlukan bimbingan dalam menelusuri kehidupan di dunia yang sarat ujian ini.
Apa yang boleh aku sedekahkan sudah aku lakukan tetapi ada juga yang tidak sesuai untuk diberi orang. Sebenarnya, hidup ini lebih tenang apabila kita mengamalkan ala kadar. Memiliki sedikit itu sebenarnya lebih mencukupi dan ideal bagi manusia.
NOTA: Kolum Catatan Pencinta Kopi dibuka kepada sesiapa sahaja yang ingin berkarya di mymuslimin.com. Hantarkan kisah atau catatan anda ke email kami di mymuslimin2022@gmail.com dan kami akan menyiarkannya di kolum ini sekiranya terpilih.
Leave a comment