Diriwayatkan daripada Tsauban RA, beliau berkata:
Ertinya: “Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesungguhnya Allah SWT menghimpunkan bagi saya bumi ini, lalu saya dapat melihat timur dan baratnya dan sesungguhnya umat saya mempunyai kekuasaan yang mencapai seluas dunia yang dihimpunkan untuk saya serta saya turut diberikan dua simpanan berwarna merah dan putih (emas dan perak). Sesungguhnya saya telah memohon kepada Tuhan saya bagi umat saya supaya Dia tidak menghancurkan mereka dengan kemarau yang meluas (ke seluruh negara umat Islam), dan supaya tidak menjadikan pihak musuh selain diri-diri mereka berkuasa ke atas mereka lalu menghapuskan asas kekuatan mereka.
Sesungguhnya Tuhan saya berfirman, ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya apabila Aku telah menetapkan suatu ketetapan, maka sesungguhnya ia tidak akan ditolak. Sesungguhnya Aku telah berikan kepadamu pada umatmu bahawa Aku tidak akan memusnahkan mereka dengan kemarau yang meluas, dan Aku tidak akan membiarkan musuh selain diri mereka menguasai mereka lalu memusnahkan asas kekuatan mereka, walaupun sesiapa sahaja (dalam kalangan musuh) berkumpul di kawasan asas kekuatan mereka atau Baginda bersabda: … sesiapa sahaja (dalam kalangan musuh yang berkumpul) di sekeliling tempat tersebut – sehingga walaupun sebahagian mereka (umat Islam) menghancurkan sebahagian yang lain dan sebahagian mereka menawan sebahagian yang lain.””
Dalam riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, dan Ibnu Hibban terdapat penambahan, dan lafaz ini adalah riwayat Abu Daud: “Sesungguhnya saya takutkan para pemimpin yang sesat ke atas umat saya. Apabila pedang diletakkan pada umat saya (peperangan berlaku sesama mereka), maka ia tidak akan diangkat daripada mereka sehingga hari kiamat. Hari kiamat tidak akan berlaku sehingga adanya beberapa kumpulan dalam kalangan umat saya bersekongkol dengan kaum Musyrikin, dan sehingga terdapat kelompok-kelompok dalam kalangan umat saya yang menyembah berhala. Sesungguhnya dalam umat saya terdapat 30 orang pendusta, kesemua mereka mendakwa bahawa dia ialah nabi. Sedangkan sayalah penutup sekalian para nabi, tiada lagi nabi selepas saya. Suatu kumpulan dalam kalangan umat saya sentiasa berada atas kebenaran – Abu ‘Isa berkata, “.. dalam keadaan terzahir,” kemudian kedua-duanya bersepakat (pada lafaz hadis) -, sesiapa yang menyalahi mereka tidak dapat memudaratkan mereka sehingga datanglah perintah Allah.”
(Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban-lafaz Muslim. Menurut al-Tirmizi, hadis ini hasan shahih. Tahkik Sunan Abi Daud: Sanadnya sahih. Tahkik Sunan Ibni Majah: Hadis ini sahih walaupun sanadnya lemah. Tahkik Shahih Ibni Hibban: Sanadnya sahih melalui para perawi Muslim)
Pengajaran
- Salah satu mukjizat Rasulullah SAW ialah dapat mengetahui perkara yang bakal berlaku dalam umatnya. Kesemua ini diperoleh melalui wahyu Allah SWT kepada Baginda SAW.
- Kasih sayang Baginda SAW terhadap umatnya dapat dilihat melalui doa dan permohonan kebaikan yang sering dipanjatkan kepada Allah SWT.
- Syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah merupakan risalah terakhir yang menutup sekalian risalah para nabi terdahulu.
- Banyak perpecahan dan huru-hara yang akan berlaku di dunia sebelum terjadinya hari kiamat.
Sumber: Hadis Qudsi: Menelusuri Hikmah di Sebalik Firman Allah SWT oleh Muhammad Yusuf A Kadir
Leave a comment