Teks Khutbah Aidiladha: Wasiat Arafah, Pedoman Ummah

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

فِيهِ ءَايَـٰتٌۢ بَيِّنَـٰتٌۭ مَّقَامُ إِبْرَٰهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُۥ كَانَ ءَامِنًۭا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًۭا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَـٰلَمِينَ (٩٧)

Tetamu-tetamu Allah yang diberkati,

Saban tahun umat Islam dari setiap pelusuk muka bumi mengunjungi kota suci Mekah untuk menyempurnakan rukun Islam ke-5. Sesungguhnya pensyariatan ibadah haji dan korban adalah bertujuan membangunkan ketakwaan. Justeru, marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Bersempena Aidiladha tahun ini, khatib mengajak sidang jemaah sekalian untuk menghayati khutbah yang bertajuk “Wasiat Arafah, Pedoman Ummah”.

Tetamu-tetamu Allah yang diberkati,

Ketibaan Aidiladha disambut buat kesekian kalinya oleh semua umat Islam di seluruh dunia dengan penuh kesyukuran bersama laungan tahmid dan takbir membesarkan Allah. Aidiladha juga disebut sebagai hari raya haji kerana sebahagian umat Islam yang berpeluang pergi menunaikan ibadah haji. Hal ini adalah demi menyahut firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 97:

Maksudnya: “Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya), Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (mengingkari kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

(Surah Ali ‘Imran 3:97)

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima yang difardukan ke atas setiap muslim yang berkemampuan sekali seumur hidup. Menelusuri sirah Rasulullah SAW, Baginda SAW melaksanakan ibadah haji pada tahun kesepuluh Hijrah, sembilan tahun selepas berhijrah ke Madinah. Haji ini dikenali sebagai Hajjatul Wada‘ bermaksud haji yang terakhir lantaran baginda SAW wafat pada tahun berikutnya.

Ketika melaksanakan ibadah haji ini, Rasulullah SAW bersama para sahabat Baginda SAW telah keluar menuju ke Mekah pada penghujung bulan Zulkaedah, sebelum bulan Zulhijjah. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 197:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

ٱلْحَجُّ أَشْهُرٌۭ مَّعْلُومَـٰتٌۭ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ يَعْلَمْهُ ٱللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ (١٩٧)

Maksud: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi. Sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memahaminya).”

(Surah al-Baqarah 2:197)

Baginda SAW sangat menekankan supaya umat Islam melaksanakan ibadah haji seperti yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdillah Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksud: “Hendaklah kamu mengambil (daripadaku cara pelaksanaan) ibadah haji kamu. Sesungguhnya aku tidak tahu, berkemungkinan aku tidak lagi menunaikan haji selepas hajiku kali ini.”

Saudara-saudaraku yang dirahmati,

Ketika berada di Arafah Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbah yang sarat dengan wasiat yang seharusnya menjadi pedoman bagi setiap umat Islam. Antara kandungan khutbah tersebut;

Pertama: Amanah Harta dan Perhitungan Amalan

Imam Muslim Rahimahullah telah meriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdillah Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW telah berkhutbah ketika berada di Arafah. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesungguhnya darah-darah dan harta-harta kamu adalah haram (ditumpahkan dan dirampas) sebagaimana haramnya (berperang) pada hari ini, pada bulan ini dan di negeri kamu ini. Ketahuilah, semua perkara Jahiliyah berada di bawah dua tapak kakiku (dipijak serta) ditinggalkan, (termasuk tebusan) darah (semasa) jahilijyah, ia (turut) ditinggalkan. Demikian juga riba jahiliyah, ia ditinggalkan; dan riba yang mula-mula aku hapuskan ialah riba yang ditetapkan Abbas bin Abdul Muthalib. Sesungguhnya riba itu aku hapuskan kesemuanya.”

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW tegas membuat ketetapan baharu tentang pemilikan. Isu harta hendaklah dilihat dengan berhati-hati supaya harta yang kita miliki benar-benar bersih dan menjadi harta kita yang sahih. Sebaliknya, jika harta itu milik orang lain, maka serahkanlah kepada pemunyanya dengan rasa tanggungjawab.

Meskipun harta umat Islam itu dipelihara haknya oleh agama, ini tidak bermaksud mereka perlu bersikap bakhil dan mementingkan diri sendiri. Umat Islam digalakkan berzakat, bersedekah, berinfak dan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan. Selaras dengan tuntutan ini, bersempena menjelangnya Hari Raya Aidiladha, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM16,150,000.00 (Enam Belas Juta Satu Ratus Lima Puluh Ribu) sebagai Bantuan Insentif Khas kepada asnaf MAIWP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Bantuan berjumlah RM500.00 kepada setiap asnaf ini diberikan kepada seramai 32,300 orang penerima bantuan zakat MAIWP yang terdiri daripada kategori asnaf Fakir, Miskin, Muallaf dan Ar-Riqab. Inilah sebahagian daripada wang zakat yang dibayar oleh para pembayar zakat melalui Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP). Semoga mereka semua akan mendapat ganjaran terbaik dan keberkatan daripada Allah SWT.

Kedua: Peliharalah Hak Suami Isteri

Rasulullah SAW turut mengingatkan tentang tanggungjawab terhadap isteri yang perlu disempurnakan yang merangkumpi keperluan nafkah, sara hidup dan didikan. Islam menuntut suami dan isteri menunaikan hak masing- masing. Tanggungjawab suami kepada isterinya ialah memberikan mas kahwin, nafkah dan bergaul dengan baik kepada isterinya. Manakala tanggungjawab isteri terhadap suaminya ialah; taat dalam perkara yang bukan maksiat, tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke rumahnya tanpa keizinan dan keredaan suaminya serta menjaga kemuliaan, maruah dan harta suami.

Ketiga: Kelebihan Takwa dan Balasan Akhirat

Baginda juga mengingatkan bahawa kelebihan manusia bukan dinilai pada warna kulit, bangsa, atau bahasa tetapi berdasarkan takwa. Terdapat banyak keistimewaan yang dijanjikan Allah SWT bagi insan bertakwa. Antaranya diberikan jalan keluar dari kesempitan hidup, dimasukkan dalam syurga, dimuliakan di dunia dan di akhirat, dimudahkan segala urusan, serta dimurahkan rezeki.

Tetamu-tetamu Allah yang diberkati,

Kesimpulan yang dapat diambil dari khutbah pada hari ini ialah;

Pertama: Ibadah haji adalah rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim yang berkemampuan.

Kedua: Umat Islam perlu menjaga amanah harta, sentiasa membuat perhitungan amalan dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Ketiga: Kita hendaklah menunaikan tanggungjawab suami isteri, bertakwa dan beriman dengan balasan akhirat.

Marilah kita hayati bersama firman Allah SWT dalam surah al-Hajj, ayat 27:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًۭا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍۢ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍۢ (٢٧)

Maksud: “Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

(Surah al-Hajj 22:27)

Tarikh Dibaca: 17 Jun 2024M/10 Zulhijjah 1445H
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid,

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑