أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَوا۟ وَّنَصَرُوٓا۟ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ حَقًّۭا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌۭ وَرِزْقٌۭ كَرِيمٌۭ (٧٤)
“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.”
(Surah al-Anfaal 8:74)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan mematuhi segala suruhan-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya, serta saling ingat mengingatkan tentang mulianya kebenaran dan kesabaran. Moga-moga kita semua beroleh keberkatan hidup di dunia dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak.
Krisis kemanusiaan yang melanda dunia kini semakin hari semakin serius. Peperangan, rampasan kuasa, penindasan dan penghapusan etnik berlaku secara berterusan tanpa berkesudahan. Krisis di Palestin, Syria, Yaman, Sudan dan Myanmar telah mengakibatkan banyak jiwa terkorban. Manakala kelompok yang terselamat terpaksa lari mencari suaka atau perlindungan di negara lain.
Selaras itu, bersempena Hari Pelarian Sedunia pada 20 Jun setiap tahun, mimbar hari ini membicarakan khutbah bertajuk, “Krisis Kemanusian: Ujian buat umat Islam”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Menurut laporan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) sehingga pertengahan tahun 2023, terdapat 110 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat konflik, peperangan, dan penindasan. Sebanyak 62.5 juta tinggal di penempatan sementara meskipun dalam negara sendiri, sementara 36.4 juta lainnya terpaksa melarikan diri ke negara lain. Mereka ini dikenali sebagai Al-Muhajirin dan Al-Laji’in, atau pelarian dalam bahasa kita.
Di negara kita Malaysia, terdapat 188,210 orang pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar. Kebanyakan mereka dari etnik Rohingya, terdapat juga pelarian dari Syria, Yaman, Palestin, dan lain-lain. Krisis pelarian ini sebenarnya adalah medan ujian buat kita untuk bergelar mukmin sebenar.
Inilah yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah al-Anfaal, ayat 74 yang dibacakan di awal khutbah tadi, bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.”
(Surah al-Anfaal 8:74)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Pelarian bukanlah orang yang berhijrah untuk mencari kesenangan hidup tetapi mereka bertindak meninggalkan tanah air demi menyelamatkan nyawa daripada penindasan dan kezaliman yang melibatkan bangsa, agama, kewarganegaraan, keahlian kumpulan sosial atau sebagainya. Mereka sewajarnya mendapat hak layanan yang baik dan bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Menurut Islam, berhijrah adalah dituntut ketika penganiayaan dan penindasan berlaku di tanah air sendiri. Allah SWT menegaskan hakikat ini di dalam Surah Al-Nisa’, ayat 97:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ قَالُوا۟ فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا۟ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ قَالُوٓا۟ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةًۭ فَتُهَاجِرُوا۟ فِيهَا ۚ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا(٩٧)
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah lalu ditindas kaum kafir musyrik), mereka ditanya: “Apakah yang telah kamu lakukan untuk agamamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah padanya?” Maka orang-orang itu, tempat akhir mereka neraka jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”
(Surah Al-Nisa’ 4:97)
Golongan Al-mustad’afin dalam ayat ini diseru untuk berhijrah mencari perlindungan di mana-mana bumi Allah yang luas. Tindakan berhijrah bagi menjamin kelangsungan hidup dan mempertahankan iman ini adalah suatu tindakan yang terpuji. Saudara-saudara seagama yang menerima kehadiran mereka sewajarnya menjadi golongan Ansar yang bersedia menghulurkan bantuan di atas nama persaudaraan Islam. Allah menjanjikan ketinggian darjat mereka dan sesiapa yang membantu dan melindungi mereka dianggap sebagai mukmin sejati. Selaras tuntutan ini, mari kita amati beberapa tindakan yang perlu kita jayakan bagi membantu kelompok pelarian ini:
Pertama: Lahirkan rasa simpati terhadap mereka. Janganlah menghina dan menunjukkan kebencian kepada kelompok pelarian lantaran kehadiran mereka bak menumpang di negara kita. Ingatlah, kita semua bersaudara di atas ikatan iman dan Islam. Inilah pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir bin Abdullah r.a.;
Maksudnya:“Wahai manusia, sesungguhnya tuhan kamu satu dan bapa kamu juga satu. Kamu semua daripada Adam dan Adam dari tanah, yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa.”
Kedua: Membantu kelangsungan hidup mereka. Sempena Hari Pelarian Sedunia ini kita diseru untuk membantu meringankan beban pelarian. Marilah kita berusaha untuk mencapai kualiti Ansar yang membangunkan nilai persaudaraan dengan apa jua bentuk bantuan seperti tempat kediaman, bekalan makanan, sumbangan wang, keperluan pakaian, perubatan dan sebagainya kepada golongan pelarian yang memerlukan perlindungan. Bagi para pelarian yang di luar negara, seperti pelarian Syria dan Palestin, kita salurkanlah sumbangan kepada agensi-agensi rasmi yang menguruskan bantuan ke sana. Ingatlah bahawa Allah SWT sentiasa bersama insan-insan yang membantu saudaranya dan menjanjikan rahmat serta bantuan kepada mereka.
Ketiga: Kita perlu bersabar dan mengajar mereka menjadi pelarian di negara ini untuk memahami budaya cara hidup kita. Tidak dinafikan, tidak semua pelarian memahami budaya tempatan. Ambillah iktibar daripada kisah Arab Badwi yang kencing di Masjid Nabi. Lihatlah bagaimana sikap tenang dan lembut Rasulullah SAW dalam menyantuni orang jahil. Baginda menegur sikap kasar para sahabat terhadapnya dan meminta mereka membiarkan Badwi itu seketika sehingga selesai hajatnya.
Setelah itu, sebagaimana hadis riwayat Imam Muslim daripada Anas bin Malik r.a., baginda memanggil Arab Badwi itu lantas menjelaskan:
Maksudnya: “Sesungguhnya masjid-masjid ini tidak boleh dicemari dengan sesuatu seperti air kencing atau apa juga kotoran, masjid adalah tempat untuk zikrullah, solat dan membaca al-Quran.”
Baginda selanjutnya meminta seorang sahabat untuk mengambil sebaldi air lalu menyirami tempat air kencing itu. Begitulah sewajarnya kita menyantuni saudara-saudari seIslam kita yang sedang diuji dengan musibah. Di samping ini menjadi tanggungjawab kita untuk membantu pelarian yang bertandang di negara kita, Allah SWT sebenarnya sedang menguji sejauh mana iman kita kepada-Nya. Semoga kita dibantu untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin dalam batas kemampuan kita.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Berikut adalah kesimpulan khutbah hari ini:
Pertama: Pelarian ialah orang yang berhijrah meninggalkan tanah air demi menyelamatkan nyawa dan agama daripada penindasan dan kezaliman, bukan untuk mencari kesenangan hidup.
Kedua: Kita diseru untuk membantu meringankan beban pelarian dengan apa jua bentuk bantuan seperti tempat kediaman, bekalan makanan, sumbangan wang, keperluan pakaian, perubatan dan sebagainya.
Ketiga: Allah SWT sebenarnya sedang menguji tahap keimanan kita kepada-Nya dengan kedatangan pelarian dan ingin meninggikan darjat kita menjadi mukmin sejati.
Mengakhiri khutbah, hayati firman Allah SWT dalam al-Quran Surah Saba’, ayat 39:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥ ۚ وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍۢ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ (٣٩)
Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku melimpahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu infakkan maka Dia akan menggantikannya; dan Dia-lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.”
(Surah Saba’ 34:39)
Tarikh Dibaca: 14 Zulhijjah 1445H/21 Jun 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment