Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Keutamaan Pencegahan Salah Guna Dadah

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ

Maksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.

(Surah Ali Imran 3:110)

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

(Surah Ali Imran 3:102)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. 

Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Keutamaan Pencegahan Salah Guna Dadah”

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Sebagai umat Islam, adalah menjadi tanggungjawab kepada kita semua untuk membanteras segala kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita. Salah satu kemungkaran itu ialah penyalahgunaan dadah yang semakin hari semakin berleluasa di negara ini. Ia merupakan perkara yang dilarang dalam agama mahupun undang-undang negara. 

Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-3 pada tahun 1981 telah memutuskan bahawa sebarang penyalahgunaan dadah hukumnya haram. Manakala muzakarah yang sama kali ke-76 tahun 2006 pula telah memutuskan bahawa penyalahgunaan dadah hukumnya haram. Pengharaman ini kerana penyalahgunaan dadah boleh mendatangkan kerosakan (mafsadah) yang lebih besar dan pelbagai kemudaratan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pengharaman ini juga adalah untuk menjaga akal (hifzul aqli) dan menutup jalan-jalan kemusnahan (saddu zara’i) yang boleh menyebabkan kerosakan diri, kehancuran keluarga dan kemusnahan negara. 

Oleh yang demikian, tanggungjawab membenteras penyalahgunaan dadah ini hendaklah dilakukan secara bersama di antara satu sama lain bagi seluruh anggota masyarakat.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-‘Imran ayat 110 yang dibacakan pada awal khutbah bermaksud:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”. 

(Surah Ali Imran 3:110)

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Realitinya pada hari ini, kes-kes penyalahgunaan dadah semakin berleluasa dan membimbangkan di dalam masyarakat kita. Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Dalam Negeri mencatatkan bilangan perilaku penyalahgunaan dan pengedaran dadah sehingga September 2023 adalah seramai 128,911 orang. Daripada jumlah tersebut 77.3 peratus atau 99,609 orang adalah berbangsa Melayu. Selain itu, didapati golongan yang berumur 19 hingga 39 tahun yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah adalah seramai 79,619 orang atau 61.8 peratus bagi tempoh yang sama. 

Lihatlah, dengan angka-angka yang besar ini, tidak terfikirkah kita dimana peranan kita sebagai ahli masyarakat dalam membendung gejala penyalahgunaan dadah ini dari terus berlaku? Jika kita memilih untuk bersikap pasif, seolah-olah sudah selesa mengamalkan cara hidup secara sendiri-sendiri dengan tanggapan “Biarlah, apa kita nak sibuk hal orang, bukan anak kita yang hisap dadah”. 

Alangkah malangnya jika tanggapan ini menjadi pegangan dalam kalangan masyarakat kita, ianya menggambarkan ajaran agama sudah mula luntur dalam diri kita. Sedangkan penyalahgunaan dadah semakin hari semakin meningkat dalam masyarakat, malah mereka sudah berani menggunakan teknologi secara terang-terangan dengan menjual dadah menerusi laman sesawang gelap serta platform aplikasi sembang sosial lain. Apa yang lebih membimbangkan ialah dadah sintetik dijual dengan harga serendah RM18 termasuk kos penghantaran. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah, 

Kesan kerosakan penyalahgunaan dadah sangatlah besar. Pelakunya hilang kawalan diri sehingga sanggup menipu, meragut, mencuri, mencederakan bahkan lebih dahsyat lagi sanggup membunuh dan melakukan apa sahaja jenayah asalkan mereka dapat memiliki dadah bagi memenuhi rasa ketagihan. Penyalahgunaan dadah juga boleh membawa kepada keganasan dan keruntuhan rumah tangga serta mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri-isteri dan anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT. Maka, terjadilah kepincangan dalam rumah tangga yang boleh memberikan kesan mendalam kepada emosi, fizikal dan mental anak-anak. 

Ingatlah penyalahgunaan dadah sebenarnya akan menjauhkan diri seseorang itu daripada Allah SWT seterusnya boleh menghancurkan nilai kehidupan kita dan keluarga tersayang serta menyebabkan kerugian sepanjang hayat di dunia dan akhirat. 

Hadirin Jumaat Yang Berbahagia, 

Bagi membendung gejala dadah ini dari terus merosakkan masyarakat, semua pihak perlu berganding bahu bagi mencegah kemungkaran. Daripada Abu Sa’id al Khudri Radhiallahuanhu, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu hendaklah dia mencegahnya dengan lidahnya, jika dia tidak mampu, hendaklah mencegah dengan hatinya. Namun yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”.

(Riwayat Muslim) 

Dalam menangani isu ini, beramal dan patuh dengan ajaran Islam cukup penting kerana ia berupaya membentuk dan menjadikan seseorang itu lebih berdisplin dan sentiasa akur kepada perintah Allah SWT. Tidaklah sukar bagi Allah SWT untuk menjadikan manusia itu orang yang baik jika dia melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya seperti penyalahgunaan dadah. Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim ayat 20:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَمَا ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ بِعَزِيزٍۢ(٢٠)

Maksudnya: “Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya”

(Surah Ibrahim 14:20)

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam merawat pulih penagih telah menggunakan kaedah program biopsikospiritual melalui pendekatan keagamaan dan kerohanian yang bersifat komprehensif dan holistik dalam memastikan mereka dapat mengekalkan kepulihan sepanjang hayat. Kesembuhan dan kepulihan daripada penagihan dadah ini datangnya daripada jiwa yang bersih iaitu jiwa yang diisi dengan kecintaan kepada Allah SWT. Inilah yang menjadi benteng bagi mengawal diri agar tidak terjebak dalam penagihan dadah. 

Dalam menangani penagih yang sudah pulih sepenuhnya, sebagai masyarakat yang prihatin dan budiman hendaklah menerima mereka kembali dan tidak menghukum atau membiarkan mereka tanpa bantuan. Jika ditanya kepada bekas penagih, tidak ada seorang pun dari mereka mengatakan bahawa mereka hidup tenang di bawah pengaruh dadah,  mereka menyesal dan mengakui hidup mereka telah hancur setelah terlibat dengan penyalahgunaan dadah. 

Oleh yang demikian, mereka perlu diberi peluang untuk memperbaiki kelemahan diri dan kembali menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat. Masyarakat tidak harus melunturkan semangat mereka untuk kembali bergaul ke dalam masyarakat apatah lagi menjauhi atau memulaukan mereka. Kita telah melihat bukti-bukti di mana golongan ini yang telah sembuh dan sihat dapat menjalani hidup yang normal. Bahkan ada yang telah berjaya dalam bidang kerjaya dan perniagaan.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-‘Imran ayat 135 :

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا۟ فَـٰحِشَةً أَوْ ظَلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا۟ ٱللَّهَ فَٱسْتَغْفَرُوا۟ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلُوا۟ وَهُمْ يَعْلَمُونَ (١٣٥)

Maksudnya: “Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiayai diri mereka sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka. Dan sememangnya tidak ada sesiapa yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu sedang mereka mengetahui akibatnya” (Surah Ali-‘Imran 3:135)

Ibu bapa hendaklah menekankan kepada anak-anak supaya sentiasa menjauhkan diri dari anasir-anasir yang tidak sihat khususnya dadah yang boleh menjerumuskan diri ke arah kebinasaan dan azab Allah SWT. Pantaulah anak-anak dengan siapa mereka berkawan serta libatkan diri mereka dengan kegiatan yang bermanfaat di luar rumah supaya mereka terselamat daripada penyalahgunaan dadah. 

Firman Allah SWT dalam surah Al-Tahrim ayat 6:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ (٦)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

(Surah Al-Tahrim 66:6)

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu: 

  1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa tugas menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran itu adalah perintah Allah SWT dan tanggungjawab kita bersama. 
  2. Umat Islam perlu sedar bahawa apa sahaja aktiviti penyalahgunaan dadah adalah diharamkan dalam Islam kerana membawa kepada kecelakaan di dunia dan azab di akhirat. 3. Setiap anggota masyarakat hendaklah saling bantu-membantu dalam proses pemulihan bekas penagih dadah dengan memberi sokongan dan dorongan serta tidak meminggirkan mereka untuk bersama dalam masyarakat. 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَأَنفِقُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوٓا۟ ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ (١٩٥)

Maksudnya: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

(Surah al-Baqarah 2:195)

Tarikh Dibaca: 14 Zulhijjah 1445H/21 Jun 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑