Syurga ialah penempatan abadi istimewa yang dijanjikan kepada mereka yang sering melakukan kebaikan serta taat melaksanakan ibadah kepada Allah SWT. Neraka pula merupakan balasan kepada golongan ingkar dan angkuh kepada suruhan Allah SWT.
Kewujudan syurga serta kenikmatannya yang istimewa telah dinyatakan banyak kali oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dan syurga dijanjikan kepada hamba-Nya yang taat mengikut perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Setiap syurga itu memiliki tingkat penghuninya, malah gambaran syurga itu sendiri pun telah banyak dijelaskan dalam beberapa ayat Al-Quran seperti firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat:13 bagaimana keadaan syurga pada akhirat:
تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ يُدْخِلْهُ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ (١٣)
Maksudnya: “Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, ia akan diamasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.”
(Surah An-Nisa 4:13)
Syurga ini mempunyai tingkat dan penghuninya yang berbeza mengikut amalan yang telah dilakukan semasa hidup di dunia. Terdapat 8 nama-nama syurga yang telah dijanjikan oleh Allah SWT akan ganjaran oleh-Nya yang mentaati dan bertaqwa kepada-Nya yang disebut di dalam Al-Quran antaranya adalah:
Syurga Firdaus
Syurga Firdaus ( الْفِرْدَوْسِ ), iaitu syurga yang tertinggi sekali darjatnya di antara banyak syurga. Dari syurga inilah mengalirnya sungai-sungai syurga. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 107 :
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).”
(Surah al-Kahfi 18:107)
Syurga ini dicipta Allah dari emas yang merah.
Ciri-ciri penghuni Syurga Firdaus adalah:
- Para syuhada’ yang mati syahid kerana berjuang ke jalan Allah, para nabi dan rasul
- Orang yang membayar zakat
- Orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya
- Orang yang memelihara solat
- Orang yang berpaling dari pekerjaan yang sia-sia
- Orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka
Syurga Adn/Adnin
Syurga Adn ( عَدْنٍ ) . Firman Allah SWT:
جَنَّاتِ عَدْنٍ مُفَتَّحَةً لَهُمُ الْأَبْوَابُ
Maksud: “Iaitu beberapa buah Syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka;”
(Surah Sad 38:50)
Syurga ini dicipta oleh Allah SWT daripada mutiara yang putih.
Ciri-ciri penghuni Syurga Adn adalah :
- Orang yang beriman dan beramal soleh
- Orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Allah berikan kepada mereka secara bersembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan
- Orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh
- Orang yang benar-benar bertakwa
- Orang yang membalas kejahatan dengan kebaikan
Syurga Naim
Syurga Naim ( النَّعِيمِ ). Syurga ini banyak sekali disebutkan secara tegas di dalam al-Quran. Di antaranya ialah firman Allah SWT:
إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتِ النَّعِيمِ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan bagi mereka taman-taman Syurga yang penuh nikmat, di sisi Tuhan mereka.”
(Surah al-Qalam 68:34)
Syurga ini dicipta oleh Allah dari perak yang putih.
Ciri-ciri penghuni Syurga Na’im adalah :
- Orang yang beriman dan beramal soleh
- Orang yang bertakwa
Syurga Ma’wa
Syurga Ma’wa (الْمَأْوَىٰ). Di antara firman Allah SWT tentang syurga al-Makwa ialah:
عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَىٰ
Maksudnya: “Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”
(Surah An-Najm 53:15)
Syurga ini dicipta oleh Allah dari zamrud yang hijau.
Ciri-ciri penghuni Syurga Ma’wa adalah :
- Orang yang bertakwa kepada Allah S.W.T.
- Orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh
- Orang yang takut kepada kebesaran Allah S.W.T. dan menahan diri dari menuruti hawa nafsu
Syurga Darus-Salam
Syurga Darus-Salam (دَارُ السَّلَامِ). Allah berfirman:
لَهُمْ دَارُ السَّلَامِ عِنْدَ رَبِّهِمْ ۖ وَهُوَ وَلِيُّهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Bagi merekalah Syurga Darus-Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dia lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.”
(Sura Al-An’am 6:127)
Syurga ini dicipta Allah dari yakut yang merah yakni sejenis permata yang mahal. Kata ‘Darus-Salam ( دَارُ السَّلَامِ ) bererti tempat yang penuh dengan kedamaian dan keselamatan, iaitu di rumah Allah dan juga merupakan salah satu dari nama-nama Allah 99 itu.
Ciri-ciri penghuni Syurga Dar al-Salam adalah :
- Orang yang kuat iman dan Islamnya
- Orang yang memerhatikan ayat-ayat al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian kerana Allah S.W.T.
Syurga Darul-Muqamah
Syurga Darul-Muqamah ( دار المقامة) . Firman Allah tentang syurga ini terdapat dalam Surah Fatir ayat 34 – 35:
وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنَّا الْحَزَنَ ۖ إِنَّ رَبَّنَا لَغَفُورٌ شَكُورٌ
الَّذِي أَحَلَّنَا دَارَ الْمُقَامَةِ مِنْ فَضْلِهِ لَا يَمَسُّنَا فِيهَا نَصَبٌ وَلَا يَمَسُّنَا فِيهَا لُغُوبٌ
Maksud: “Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: “Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat);” [Ayat 34]
“Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal (syurga), dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu”. [Ayat 35]
(Surah Fatir 35: 34-35)
Dinamakan Darul-Muqamah kerana orang-orang yang masuk di dalamnya akan tinggal selama-lamanya dan tidak mati.
Ciri-ciri penghuni Syurga Darul Muqamah adalah:
- Orang-orang yang sentiasa berpegang teguh kepada iman dan islam.
- Orang yang sentiasa banyak melakukan amal soleh.
Syurga al-Maqamul Amin
Syurga al-Maqamul Amin ( مقام الأمين) sebagaimana yang difirmankan Allah SWT :
إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي مَقَامٍ أَمِينٍ
Maksudnya:“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa (Syurga).
(Surah Ad-Dukhan 44:51)
Di Maqamul Amin penuh dengan kedamaian, jauh dari segala keburukan dan hal-hal yang dibenci.
Ciri-ciri penghuni Syurga Maqamul Amin adalah:
- Orang yang sentiasa beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T.
Di syurga kelak ada satu pintu khas hanya untuk orang-orang yang berpuasa sahaja dapat memasukinya iaitu dikenali sebagai Pintu ar-Rayyan.
Syurga Khuldi
Syurga Khuldi ( الْخُلْدِ ). Allah SWT berfirman mengenai syurga ini:
قُلْ أَذَٰلِكَ خَيْرٌ أَمْ جَنَّةُ الْخُلْدِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ ۚ كَانَتْ لَهُمْ جَزَاءً وَمَصِيرًا
Maksudnya: “Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih baik atau Syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa?” Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali.”
(Surah Al-Furqan 25:15)
Syurga ini dicipta Allah swt dari marjan merah dan kuning.
Ciri-ciri penghuni Syurga Khuldi adalah :
- Orang yang taat menjalankan perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya
Sumber: Sahabat Pencinta al-Quran via Bahagian Dakwah, JAKIM
Leave a comment