Soalan
Saya mendengar di dalam ceramah yang mengatakan mukjizat tidak dikhususkan kepada para Nabi sahaja, tetapi juga turun kepada manusia selain nabi. Adakah maksudnya mukjizat boleh diturunkan oleh Allah SWT kepada para sahabat, alim ulama dan orang awam?
Penjelasan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari pembalasan.
Pada bahasa, perkataan mukjizat berasal daripada perkataan arab “عجز” bererti lemah dan dari sudut bahasa membawa maksud “yang melemahkan”. Iaitu bagi golongan yang lemah dan tidak mampu untuk menyahut cabaran.
Perkataan lain yang digunakan oleh al-Quran bagi menunjukkan mukjizat ialah ayat (tanda), bayyinat (keterangan) dan juga barahin (bukti). Sebagaimana dalam firman Allah SWT;
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَكُم بُرۡهَٰنٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكُمۡ نُورٗا مُّبِينٗا
Maksudnya: “Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak)”.
(Surah Al-Nisa 4:174)
Dari segi istilah ialah sesuatu perkara yang bertentangan dengan kebiasaan adat serta disertai dengan cabaran dan terpelihara daripada sebarang tentangan. Perkara mukjizat yang terjadi hanya khusus kepada para Nabi dan Rasul dalam rangka untuk membuktikan bahawa dirinya adalah nabi dan rasul.
Mukjizat merupakan kejadian luar biasa yang tidak sukar diterima oleh akal manusia dan tidak dimiliki oleh sesiapa pun kerana Allah SWT hanya memberikannya sebagai kelebihan kepada para utusan-Nya untuk membuktikan kebenaran atas kenabian dan kerasulannya, seperti bertukarnya tongkat kepada ular dan bersinarnya tangan seperti matahari bagi Nabi Musa a.s. Juga seperti dapat menyembuhkan orang yang buta dan penyakit sopak, dan dapat menghidupkan orang yang mati dengan izin Allah bagi Nabi Isa a.s. dan seperti menjadi banyaknya makanan, terpancarnya air dari jari Nabi Muhammad s.a.w dan terbelahnya bulan menjadi dua.
Ar-Razi memberikan definisi mukjizat secara urf (istilah musyarakah),
بأنّها أمر خارق للعادة، مقرون بالتحدي، سالم عن المعارضة
Makdusnya: Kejadian luar biasa, yang diiringi dengan cabaran, tanpa ada satu pun perlawanan.
(Rujuk Lawami’ al-Anwar al-Bahiyah, jld 2, hlm 289)
Mukjizat boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:
1. Hissi (حسي)
Mukjizat Hissi bermaksud mukjizat yang dapat dilihat dengan jelas menerusi pancaindera. Yang mana ia tidak memerlukan kepada kajian yang mendalam. Sebagai contohnya ialah batu memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW serta Baginda terpelihara daripada dibunuh. (Ab. Latif Muda & Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin, Perbahasan Akidah Islam, hlm 475)
2. Maknawi (معنوي)
Mukjizat Maknawi bermaksud mukjizat yang sukar difahami dan tidak dapat dilihat dengan jelas, kecuali menerusi penelitian, kajian dan pemikiran yang mendalam. Sebagai contohnya al-Quran. (Ab. Latif Muda & Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin, Perbahasan Akidah Islam, hlm 474)
Selain mukjizat terdapat juga perkara yang luar biasa boleh berlaku kepada manusia biasa di kalangan para solihin yang hampir sama sebagaimana mukjizat disebut atau dikenali sebagai karamah.
Karamah
Karamah juga banyak diceritakan di dalam al-Quran, seperti datangnya rezeki kepada Saidatina Maryam daripada syurga, keajaiban Khidir a.s di dalam Surah al Kahfi, kisah Zulqarnain, kisah Ashabul Kahfi, kisah Asif Burkhia yang dapat memindahkan istana Balqis dalam sekelip mata dan banyak lagi.
Di antara cerita-cerita karamah yang disebutkan di dalam hadis pula ialah seperti, bercakapnya budak kecil kepada Juraij, terbukanya batu di dalam gua dengan doa, menjadi banyaknya makanan Abu Bakar as Siddiq bersama tetamunya sehingga menjadi lebih banyak selepas makan dengan tiga kali ganda. Begitu juga kisah Saidina Umar r.a yang sedang berkhutbah pada hari Jumaat di Madinah tiba-tiba berkata “Wahai Sariah (tentera Islam) arah bukit! menyebabkan kaum Muslimin menjadi hairan” dan banyak lagi kisah-kisah karamah diceritakan di dalam hadis.
Tiga Perbezaan Utama
Walaupun pada keadaan tertentu karamah boleh menyamai Mukjizat tetapi pada umumnya ada perbezaan antara keduanya. Perbezaan yang umum ialah:
- Mukjizat hendaklah disertai dengan pengakuan menjadi Nabi, tetapi karamah bagi para aulia itu tidak harus ada dakwaan seperti itu.
- Mukjizat itu adalah sebagai bukti kenabian, manakala karamah adalah suatu bentuk kemuliaan yang diberikan Allah SWT kepada insan pilihanNya. Ini kerana karamah adalah perkara ‘Zann’ yang tidak diketahui secara pasti oleh orang yang memperolehinya. (Bagaimanapun, Imam Al-Qusyairi dan Imam Abu Ali Ad-Daqaq berkata sebahagian Wali tahu karamah yang dikurniakan Allah kepada mereka.)
- Mukjizat itu disuruh untuk diperlihatkan kepada orang lain, manakala karamah hendaklah (harus) dirahsiakan kerana dibimbangi akan menjadi fitnah. Namun, andai ada sebahagian aulia (orang soleh) memperlihatkan karamahnya kepada orang ramai semua itu dengan izin Allah atas tujuan tertentu. Seorang aulia itu perlu memperlihatkan karamahnya dengan tujuan memberi peringatan atau tarbiah kepada murid-muridnya atau orang yang menghendakinya.
Kesimpulan
Kesimpulannya istilah mukjizat hanya dikhususkan kepada para Nabi dan Rasul sahaja sebagai bukti kenabian dan kerasulan mereka. Manakala perkara yang luar biasa berlaku kepada selain daripada Nabi dan rasul di kalangan golongan solihin disebut sebagai karamah dan perkara ini harus berlaku dengan izin Allah SWT jua.
Wallahu’aklam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment