Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةٌ، فَعَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ ،
Maksudnya: “Siapa yang menghidupkan sunnah dalam Islam, dia mendapat pahalanya sekali gus pahala siapa sahaja yang mengamalkannya dengan tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun.
(HR. Muslim no. 1017)
Jangan Benarkan Anak-Anak Keluar Senja & Tutup Bekas (tempat air) Pada Waktu Malam
Daripada Jabir bin Abdillah, Rasulullah SAW bersabda:
Maksud: “Apabila kegelapan malam telah tiba, tahanlah anak-anak kecil kamu di dalam rumah, kerana pada masa itu syaitan bertebaran. Apabila permulaan malam sudah tiba, lepaskanlah mereka, tutuplah pintu-pintu (termasuk tingkap) kamu dengan terlebih dahulu menyebut nama Allah kerana syaitan tidak akan dapat membuka pintu yang terkunci dengan menyebut nama Allah. Kemudian, ikatlah kendi-kendi air kamu (qirab adalah tempat air yang diperbuat daripada kulit dan di hujungnya di ikat dengan tali untuk menghalang kekotoran masuk) sambil menyebut nama Allah. Tutuplah bekas-bekas kamu sambil menyebut nama Allah meskipun hanya di tutup dengan sesuatu ala kadarnya.”
Dalam suatu riwayat disebutkan:
Maksud: “Apabila salah seorang di antara kamu tidak mendapatkan sesuatu untuk menutup bekasnya, cukuplah dengan melintangkan sebatang kayu, lalu menyebut nama Allah.”
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 3280, Muslim no. 2012, Abu Daud no. 3733 dengan lafaz lain, Tirmizi no. 1812 dan Ibnu Majah no. 3410. Akan tetapi, tidak ada hadis penguat daripada hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibnu Majah.
Dalam Ma’alimus Sunan 4/256, Al-Khattabi menjelaskan, sabda beliau: kumpulkanlah anak-anak di dalam rumah. Segala sesuatu yang kamu himpun, maka maknanya sudah termaktub dalam lafaz kafattahu. Al-Baghawi 11/391 juga menyampaikan perkara yang sama.
Ibnul Qayyim berkata, Nabi SAW memerintahkan untuk menutup bekas walaupun sekadar melintangkan sebatang kayu. Hikmahnya antara lain supaya sekiranya ada binatang yang akan jatuh ke dalam bekas tersebut, ia dapat berjalan di batang kayu tersebut. Batang kayu itu akan menjadi jambatan yang akan menahannya daripada terjatuh ke dalam bekas. (Zaadul Ma’aad 4/233)
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim no. 2014, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tutuplah bekas-bekas kamu dan ikatlah kantong-kantong penyimpan air, kerana setiap tahun ada satu malam yang pada ketika itu diturunkan wabak penyakit. Wabak melalui bekas yang tidak tertutup atau kantong air yang tidak terikat, akan jatuh ke dalamnya.”
Menurut Ibnul Qayyim, hadis ini mengungkapkan ilmu yang belum di ungkap oleh ilmu kedoktoran dan di luar pengetahuan para doktor. Hanya doktor tertentu yang membuat penelitian sahaja yang tahu tentang perkara tersebut. (Zaadul Ma’aad 4/232)
Dalam riwayat Muslim no. 2013 disebutkan:
“Janganlah kamu melepaskan binatang gembalaan dan membiarkan anak-anak kamu (keluar rumah) semasa matahari terbenam sehingga permulaan gelapnya malam berlalu beberapa ketika (waktu Isyak). Ini kerana syaitan-syaitan berkeliaran semasa matahari terbenam sehingga berlalunya permulaan malam (waktu Isyak).”
Menurut an-Nawawi, melalui hadis ini terkandung pelbagai kebaikan dan adab untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Nabi SAW memerintahkan adab-adab tersebut supaya kita selamat daripada gangguan syaitan. Allah menjadikan sebab-sebab tersebut sebagai cara untuk mencapai keselamatan daripada gangguan syaitan. Syaitan tidak mampu membuka bekas, membuka ikatan kantong air, membuka pintu dan tidak dapat mengganggu anak- anak dan sebagainya.(Syarah Muslim 7/205)
Imam Ibnu Hubairah menjelaskan dalam Al-Ifsah 8/253, Jin saling berusaha dan bekerjasama untuk menggoda manusia. Ada yang bertugas menggoda mukmin yang kuat imannya, dan ada juga yang menggoda mukmin yang tidak kuat imannya, sehingga berjaya menjadi kafir.
Anak-anak juga tidak selamat daripada godaan jin, kerana anak-anak itu akalnya belum sempurna, mereka mudah di ganggu oleh jin. Selain itu, anak-
anak juga belum memahami nama-nama Allah yang dapat dijadikan sebagai perisai untuk melindungi diri daripada syaitan. Oleh itu, kedua orang tua diperintahkan supaya menahan anak-anak mereka masa-masa yang daripada keluar rumah pada disebutkan di atas.
Kesimpulan melalui paparan di atas, kita hendaklah :
- Melarang anak-anak daripada keluar rumah semasa matahari terbenam.
- Menutup pintu (termasuk tingkap) sambil membaca basmallah.
- Mengikat qirbah (kantong air) sambil membaca basmallah.
- Menutup bekas makanan sambil membaca basmallah. Sekiranya seseorang itu tidak menemui sesuatu, cukuplah dengan sekadar sebatang kayu untuk menutup bekas itu.
Jelas, hadis-hadis di atas menunjukkan amalan yang sepatutnya dilakukan apabila tiba waktu petang atau ketika Maghrib, sebagaimana sabda Nabi SAW.
Wallahu a’lam.
Sumber: 100 Sunnah Yang Hampir Dilupakan oleh Haifa Abdullah Al-Rasyid
Leave a comment