Hukum Menerima Zakat Tanpa Mengetahui Layak Atau Tidak 

Soalan

Saya sering menerima zakat secara langsung dari pemberi zakat dan bukannya melalui lembaga zakat negeri. Tapi, adakah saya layak menerima zakat tersebut sedangkan saya tidak tersenarai dalam golongan yang layak menerima zakat oleh lembaga zakat negeri? Sama ada saya layak atau tidak, saya tetap menerima zakat tersebut untuk menjaga hati pemberi zakat. Apakah yang perlu saya lakukan dengan duit zakat itu? Apakah boleh digunakan? Atau saya perlu memulangkan kembali kepada pemberi?

Penjelasan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Zakat adalah salah satu daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang memenuhi syarat-syarat tertentu. Ia merupakan bentuk ibadah yang melibatkan pemberian sebahagian harta kepada golongan yang berhak menerimanya. Kewujudan asnaf zakat yang merujuk kepada kategori penerima zakat, adalah penting dalam memastikan pengagihan yang adil dan efektif.

Secara istilah, zakat adalah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu dan diberikan kepada golongan tertentu apabila memenuhi syarat-syarat yang ditentukan.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah 9:60)

Berdasarkan ayat di atas terdapat lapan kategori asnaf yang berhak menerima zakat, iaitu:

  1. Fakir
  2. Miskin
  3. Amil
  4. Mualaf
  5. Riqab
  6. Gharimin
  7. Fi Sabilillah
  8. Ibn Sabil

Pengertian Golongan Fakir Miskin dalam Asnaf Zakat

Pendapat yang sering digunakan oleh kebanyakan pusat zakat di Malaysia ialah pendapat ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali yang mengatakan bahawa keadaan golongan fakir itu lebih susah daripada miskin. Oleh itu, definisi fakir dan miskin yang telah disepakati serta diguna pakai dalam penentuan asnaf adalah seperti berikut:

Pertama: Fakir

lmam Al-Syarbini menjelaskan definisi kefakiran dengan katanya:

(‌مَنْ  لَا  مَالَ  لَهُ  وَلَا  كَسْبَ يَقَعُ) جَمِيعُهَا أَوْ مَجْمُوعُهُمَا (مَوْقِعًا مِنْ حَاجَتِهِ) … وَالْمُرَادُ بِحَاجَتِهِ مَا يَكْفِيهِ مَطْعَمًا وَمَلْبَسًا وَمَسْكَنًا وَغَيْرِهِمَا مِمَّا لَا بُدَّ لَهُ مِنْهُ عَلَى مَا يَلِيقُ بِحَالِهِ وَحَالِ مَنْ فِي نَفَقَتِهِ مِنْ غَيْرِ إسْرَافٍ وَلَا تَقْتِيرٍ، وَاَلَّذِي لَا يَقَعُ مَوْقِعًا مِنْ حَاجَتِهِ أَنْ يَحْتَاجَ إلَى عَشَرَةٍ وَيَجِدُ مِنْهُمَا دِرْهَمَيْنِ.

Maksudnya: “Orang yang tidak mempunyai harta atau pendapatan yang mencukupi (untuk memenuhi keperluannya), iaitu semua atau keseluruhannya (tidak mencukupi untuk keperluannya). Maksud keperluannya itu adalah merangkumi makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain yang diperlukan menurut keadaannya dan keadaan orang yang di bawah tanggungannya tanpa berlebihan atau kekurangan. Orang yang tidak mencukupi keperluannya ialah orang yang memerlukan sepuluh tetapi hanya mendapatkan dua dirham.”

Dapat difahami di sini istilah fakir itu merujuk kepada seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan daripada sumber-sumber lain. Iaitu jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya serta tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungan.

Dalam erti kata lain, mereka ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan. Atau mempunyai pekerjaan (hasil usaha) atau harta tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan makanan, pakaian dan kediaman, yang mana pendapatan yang diperoleh itu kurang daripada setengah jumlah keperluan yang ditanggungnya. Sebagai contoh, setiap bulan dia memerlukan sebanyak 1000 ringgit bagi menampung keperluan asasinya tetapi jumlah pendapatan yang diperoleh kurang daripada 500 ringgit. (Rujuk Mughnil Muhtaj, jld.4 hlmn. 173).

Kedua: Miskin

Disebut oleh Imam Syarbini berkenaan takrifan miskin dengan katanya:

(‌وَالْمِسْكِينُ  مَنْ  قَدَرَ  عَلَى  مَالٍ،  أَوْ  كَسْبٍ) حَلَالٍ لَائِقٍ بِهِ (يَقَع مَوْقِعًا مِنْ كِفَايَتِهِ) وَكِفَايَةِ مُمَوَّنِهِ مِنْ مَطْعَمٍ وَغَيْرِهِ مِمَّا مَرَّ. (وَلَا يَكْفِيهِ) كَمَنْ يَحْتَاجُ عَشَرَةً فَيَجِدُ ثَمَانِيَةً، أَوْ سَبْعَةً، وَإِنْ مَلَكَ نِصَابًا، أَوْ نُصُبًا … وَلَا يَمْنَعُ الْمَسْكَنَةَ الْمَسْكَنُ، وَمَا مَعَهُ مِمَّا مَرَّ مَبْسُوطًا، وَالْمُعْتَمَدُ أَنَّ الْمُرَادَ بِالْكِفَايَةِ هُنَا، وَفِيمَا مَرَّ كِفَايَةُ الْعُمْرِ الْغَالِبِ لَا سَنَةً فَحَسْبُ نَظِيرَ مَا يَأْتِي فِي الْإِعْطَاءِ خِلَافًا لِمَنْ فَرَّقَ،

Maksudnya: “Orang miskin adalah seseorang yang mempunyai harta atau pendapatan yang halal dan sesuai dengannya tetapi tidak mencukupi keperluannya dan keperluan tanggungannya seperti makanan dan lain-lain keperluan yang disebutkan sebelum ini. (Pendapatan atau hartanya) tidak mencukupi seperti seseorang yang memerlukan sepuluh (dirham) tetapi hanya mendapat lapan atau tujuh, walaupun dia memiliki nisab (jumlah harta yang mencukupi untuk diwajibkan zakat) atau lebih … Adanya tempat tinggal atau harta tidak menafikan keadaan miskin, kerana yang dimaksudkan dengan kecukupan di sini dan sebelum ini adalah kecukupan sepanjang hayat yang biasa, bukan hanya setahun sahaja. Berbeza dengan pandangan yang membezakan kecukupan untuk setahun sahaja.

(Rujuk Mugnil Muhtaj, jld.4 hlmn. 173-176).

Penyataan beliau ini dapat difahami bahawa seorang miskin itu ialah seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya.

Dengan kata lain, jumlah pendapatan yang mereka peroleh hanyalah melebihi sedikit daripada setengah jumlah keperluan yang ditanggung. Sebagai contoh, setiap bulan dia memerlukan sebanyak 1000 ringgit bagi menampung keperluan asasinya tetapi jumlah pendapatan yang diperoleh hanyalah 600 ringgit.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 5/2021 yang telah bersidang pada 13 & 14 Oktober 2021 berkenaan dengan kadar had kifayah yang melayakkan asnaf menerima zakat telah memutuskan seperti berikut:

Bersetuju dengan cadangan pengiraan wang simpanan yang melayakkan asnaf menerima zakat adalah berpandukan kepada formula berikut:

  • Had Al-Kifayah isi rumah x setahun (12 bulan) = Jumlah A
  • Simpanan – Jumlah A = Layak menerima sekiranya negatif

Contoh 1: Ali mempunyai 4 orang tanggungan iaitu isteri tidak bekerja, seorang anak sekolah menengah, seorang sekolah rendah dan seorang berusia 4 tahun. Beliau bekerja sendiri dengan pendapatan RM1000.00 dan mempunyai simpanan sebanyak RM10,000.00.

Kadar Had Al-Kifayah adalah seperti berikut:

Bil. Kategori Kadar Had Al-Kifayah

1. Ketua Keluarga (Sewa) RM775.00

2. Isteri Tidak bekerja RM115.00

3. Anak Sekolah Menengah RM265.00

4. Anak Sekolah Rendah RM205.00

5. Anak bawah 7 tahun RM115.00

  Jumlah Keseluruhan RM1,475.00

Justeru itu, pengiraan bagi had kelayakan wang simpanan adalah seperti berikut: RM1,475.00 X 12 Bulan = RM17,700.00.

Simpanan RM10,000.00 – RM17,700.00 = -RM7,700.00 (layak terima)

Pengertian Al-Gharimin (Penghutang)

“Al-Gharimin” merujuk kepada orang yang berhutang, manakala “al-gharim” pula merujuk kepada pemiutang. Asal perkataan “al-Gharm” dalam bahasa bermaksud “al-Luzum,” iaitu sesuatu yang melazimkannya.

Ini sejajar dengan firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱصۡرِفۡ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا

Maksudnya: Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, jauhkan azab jahannam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal”.

(Surah Al-Furqan 25:65)

Dengan demikian, azab neraka pasti melibatkan kebinasaan yang kekal. Oleh itu, istilah “al-Gharim” digunakan untuk orang yang berhutang kerana hutang menjadi kelaziman bagi mereka. Manakala “al-Gharim” (pemiutang) akan selalu menuntut hutang daripada “al-Madin” (penghutang).

Antara hadis yang menjadi tunjang perbincangan para ulama apabila membahaskan tentang konteks asnaf Al-Gharimin adalah hadis daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali yang mana menyebutkan:

تَحَمَّلْتُ حَمَالَةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَسْأَلُهُ فِيهَا فَقَالَ ‏”‏أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَنَا الصَّدَقَةُ فَنَأْمُرَ لَكَ بِهَا‏”‏ ‏.‏ قَالَ ثُمَّ قَالَ ‏”يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا ‏”

Maksudnya: “Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda mafhumnya: ‘Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu’. Kata Qabisah: ‘Kemudian Baginda SAW bersabda: ‘Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan maka halallah baginya meminta sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya, lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya maka halal baginya meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Hai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya adalah haram.”

(Riwayat Muslim: 1044 & Abu Daud: 1640)

Terdapat tiga (3) pembahagian al-Gharimin yang masyhur di sisi mazhab al-Syafi’e, iaitu:

  • Pertama: Mereka yang berhutang demi kemaslahatan diri sendiri/keluarga.
  • Kedua: Mereka yang berhutang demi kemaslahatan orang yang lain.
  • Ketiga: Individu yang menjamin orang yang berhutang.

Jawatankuasa Syar’iyyah Pulau Pinang juga pada tahun 1995 telah memberikan takrif al-gharimin seperti berikut:

“Al-Gharimin” ialah peruntukan untuk mereka yang berhutang. Hutang ada tiga bahagian:

  1. Orang yang berhutang kerana mendamaikan antara dua orang yang berselisih.
  2. Orang yang berhutang untuk kepentingan dirinya sendiri pada keperluan yang mubah atau yang tidak mubah tetapi dia telah bertaubat.
  3. Orang yang berhutang kerana menjamin hutang orang lain sedang dia dan yang dijaminnya itu tidak dapat membayar hutang itu.

Antara perkara yang perlu diambil kira untuk memastikan seseorang yang berhutang itu boleh menerima zakat adalah seperti berikut:

1. Kemampuan untuk Melangsaikan Hutang

  • Orang yang berhutang harus tidak mampu membayar hutangnya. Jika dia memiliki kemampuan untuk melunaskan hutang, maka dia tidak layak menerima zakat.
  • Jika harta yang dimiliki hanya mencukupi untuk sebahagian daripada hutang, dia masih layak menerima bantuan zakat untuk menyelesaikan baki hutang.

2. Kemaslahatan Mendesak

  • Jika individu tersebut mampu membayar hutang setelah bekerja, dia tetap layak menerima zakat. Ini kerana keperluan sehari-hari perlu diutamakan, dan menyelesaikan hutang mendesak.

3. Kekayaan Tidak Membatalkan Kelayakan

  • Kekayaan seperti memiliki tanah, rumah, pakaian, perabot, atau pinggan mangkuk tidak membatalkan kelayakan menerima zakat. Aspek ini mempertimbangkan keperluan asas individu untuk meneruskan kehidupan harian.

4. Perkara yang Dihutang

  • Hutang harus berkaitan dengan perkara yang taat atau dibenarkan. Berhutang dalam perkara maksiat seperti arak dan zina tidak layak menerima zakat.

5. Tempoh Hutang

  • Hutang harus dalam keadaan semasa atau telah sampai tempoh untuk dilunaskan.
  • Jika hutang ditangguhkan (boleh dibayar dalam masa yang lama), terdapat tiga pendapat:
  1. Diberikan zakat meskipun hutang ditangguhkan.
  2. Tidak diberikan zakat jika tidak diperlukan pada waktu tersebut.
  3. Diberikan jika tangguhkan hutang masih berada pada tahun tersebut.

6. Penghutang untuk Kemaslahatan Orang Lain

  • Mereka yang berhutang demi kemaslahatan orang lain juga berhak menerima zakat. Contohnya, seseorang yang menjadi penengah dalam memperbaiki hubungan antara dua pihak yang bertelagah disebabkan harta atau darah, dan terpaksa berhutang untuk tujuan tersebut.

7. Individu yang Menjamin Orang Berhutang

  • Penjamin dan orang berhutang yang dijamin berada dalam keadaan tidak mampu melunaskan hutang.
  • Jika penjamin tidak mampu membayar hutang, tetapi orang berhutang yang dijamin mampu, penjamin masih layak menerima zakat jika dia menjamin tanpa izin orang yang berhutang.
  • Jika penjamin mampu membayar hutang, tetapi orang berhutang yang dijamin tidak mampu membayarnya, penjamin tidak berhak menerima zakat. (Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 6, hlmn. 205-208).

Kesimpulan

Kesimpulannya, berdasarkan penjelasan di atas, kami berpandangan golongan yang tidak termasuk dalam had fakir atau miskin serta tidak memenuhi syarat-syarat penghutang yang layak menerima zakat adalah wajib memulangkan wang pembayar zakat jika telah menerimanya. Jika syarat-syarat yang melayakkan penerimaan wang zakat ada pada diri penanya, kami menasihati penanya untuk memohon kepada Pejabat Zakat Pulau Pinang bantuan zakat yang sepatutnya diterima agar hak asnaf dapat dipenuhi sebaiknya.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Waallahu’alam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑