Kebaikan dan Kelemahan Perkahwinan Menurut Imam Al-Ghazali

Umum mengetahui dalam Fiqh perkahwinan bahawa hukum perkahwinan berbeza bagi setiap orang, berdasarkan keadaan, kecenderungan, dan kemampuan mereka untuk memenuhi hak pasangannya. Dalam Ihya Ulum al-Din, Imam al-Ghazali (RA) cuba menyempurnakan konsep ini dengan menyenaraikan kebaikan dan keburukan perkahwinan. Melalui proses ini, beliau memberi pembaca kaedah termaklum untuk membuat keputusan sama ada berkahwin adalah yang terbaik untuk mereka.

Al-Ghazali (RA) bermula dengan dalil bahawa perkahwinan secara asasnya adalah Mustahab (sangat dianjurkan) tetapi hukumnya akan berubah dari seorang ke seorang yang lain berdasarkan kemampuan mereka untuk memenuhi hak pasangan. Untuk membantu seseorang membuat keputusan, beliau menyenaraikan faedah dan kelemahan perkahwinan. Faedah dan kelemahan yang beliau senaraikan diringkaskan seperti berikut:

Kelebihan #1: Anak-Anak dan Legasi Keturunan

Faedah utama perkahwinan ialah menghasilkan zuriat, dan melalui mereka kita dapat memanjangkan legasi keturunan. Secara umumnya, manusia berkahwin untuk melahirkan anak yang merupakan salah satu kegembiraan terbesar di dunia ini. Anak-anak membawa bersama mereka banyak kebaikan, kebahagiaan, dan berkat ke dalam rumahtangga, dan mereka merupakan sumber pahala berterusan selepas seseorang itu meninggal dunia. Pendek kata, jika anda menginginkan zuriat, anda perlu berkahwin kerana itu sahaja cara yang halal untuk mendapatkan anak.

Kelebihan #2: Keintiman Halal

Faedah kedua perkahwinan ialah keintiman yang halal. Di dalam buku ini, Imam al-Ghazali (RA) juga memberi tumpuan kepada kepentingan hak seksual kedua-dua jantina, menekankan bahawa wanita mempunyai hak untuk orgasme dan menikmati kehidupan seks yang menyeronokkan. Dalam Islam, seks dilihat sebagai keperluan semula jadi yang mesti dipenuhi dengan cara yang dibenarkan. Untuk memudahkan akses kepada seks halal, Islam telah menjadikan jalan perkahwinan itu praktikal dan mudah.

Al-Ghazali (RA) menekankan bahawa jika seseorang memerlukan keintiman yang halal, mereka perlu berkahwin, kerana godaan dan cabaran kehidupan membujang mungkin terlalu berat bagi mereka. Beliau seterusnya menekankan bahawa lelaki yang mempunyai dorongan seks yang tinggi mungkin memerlukan lebih daripada satu isteri bergantung kepada kekerapan mereka memerlukan seks. Sebaliknya, kata beliau, mereka yang boleh hidup tanpa seks harus mempertimbangkan kehidupan membujang kerana ia memberikan mereka kurang gangguan daripada ibadah.

Kelebihan #3: Sokongan Rumahtangga

Faedah ketiga mempamerkan masalah dalam cara perkahwinan difahami pada zaman kita. Imam Al-Ghazali (RA) menerangkan bahawa lelaki bujang perlu melakukan kerja rumah yang mengganggu mereka daripada kerja dan ibadah mereka. Menurut beliau perkahwinan akan memberikan lelaki seorang isteri untuk menguruskan kerja rumah, lantas lelaki akan mendapat lebih masa untuk fokus kepada kerjanya. Ini menunjukkan kepada kita bahawa dari sudut sejarah umat Islam melihat peranan wanita dalam perkahwinan termasuklah menjaga rumah, manakala peranan utama lelaki ialah untuk menyediakan (nafkah dan keperluan) dan melindungi.

Malangnya, wanita moden yang terpengaruh dengan feminisme tidak akan memberikan kelebihan ini kepada lelaki. Sebaliknya, wanita moden menuntut lelaki melakukan separuh kerja rumah atau lebih dan cuba membalikkan aturan semula jadi perkahwinan dengan mengambil alih kuasa. Akibatnya, ramai lelaki hari ini tidak mempunyai masa untuk menghadiri kelas agama Islam atau beribadat kepada Allah kerana terlalu terbeban dengan kerja-kerja rumah selepas waktu bekerja.

Kelebihan #4: Menikmati Pergaulan dengan Jantina yang Berlainan

Lelaki dan wanita adalah bertentangan antara satu sama lain dalam cara mereka berfikir, peranan dalam keluarga, dan personaliti keseluruhan. Ini kerana ia bertujuan untuk melengkapi antara satu sama lain dan mengeluarkan yang terbaik dari satu sama lain. Al-Ghazali (RA) menjelaskan bahawa salah satu faedah perkahwinan ialah menikmati pergaulan dengan  jantina berlainan. Dengan berbuat demikian, kita dapat merasai kegembiraan yang halal dan berehat sebentar daripada cabaran-cabaran kehidupan.

Dalam kitab tersebut, al-Ghazali (RA) menjelaskan kepentingan bermesra dengan isteri dan menikmati masa-masa terluang secara halal bersamanya. Beliau memetik beberapa ulama terdahulu sebagai berkata, “Seorang lelaki harus seperti kanak-kanak di sekeliling keluarganya, tetapi di luar rumah dia harus menjadi lelaki.” Pada masa yang sama, beliau mengingatkan pembaca agar tidak keterlaluan dalam bermain dan berseloroh kerana ia boleh menghilangkan status lelaki di mata isterinya. Beliau mengesyorkan pendekatan yang seimbang; suka bergurau dan menyayangi isteri sambil menjaga maruah dan kehormatan sebagai seorang lelaki.

Kelebihan #5: Memperbaiki Diri Melalui Cabaran Kehidupan Berumahtangga

Kelebihan terakhir perkahwinan menurut Imam al-Ghazali (RA) ialah perkahwinan memaksa lelaki untuk matang dan terus memperbaiki dirinya. Cabaran untuk menyediakan keperluan keluarga, memimpin keluarga, dan menangani masalah dan konflik dalam keluarga semuanya membantu seorang lelaki matang dan berkembang menjadi versi terbaik dirinya. 

Ini adalah cabaran yang dijauhi ramai lelaki hari ini. Ramai yang takut tanggungjawab lantas memilih untuk kekal membujang supaya mereka boleh menjalani kehidupan yang tidak berdisiplin dan hanya tertumpu kepada diri mereka sendiri. 

Kejantanan sebenar terletak pada memikul tanggungjawab dan menangani cabaran hidup secara berterusan, ini termasuklah cabaran perkahwinan.

Selepas menjelaskan faedah perkahwinan, Imam al-Ghazali (RA) memberi amaran tentang tiga kemungkinan kelemahan perkahwinan. Ketiga-tiga ini adalah potensi keburukan yang kebanyakan orang tidak akan hadapi, tetapi penting untuk menyedarinya sekiranya berlaku.

Kelemahan #1: Godaan Untuk Menjana Pendapatan Haram

Seorang lelaki perlu mempunyai etika kerja yang kuat dan sumber pendapatan yang halal jika ingin cemerlang dalam perkahwinan. Kegagalan untuk memperoleh pendapatan yang baik mampu membawa kepada godaan. Tanggungjawab kewangan perkahwinan adalah banyak, dan pada zaman kita lebih banyak lagi, jadi mana-mana lelaki yang tidak tahu bagaimana untuk menjana pendapatan yang baik mungkin terdorong untuk beralih kepada sumber pendapatan haram dalam menyara keluarganya. Imam al-Ghazali (RA) menjelaskan dengan sangat jelas bahawa jika seorang lelaki takut akan ujian seperti itu, adalah lebih baik baginya untuk terus membujang daripada memikul tanggungjawab kewangan perkahwinan.

Kelemahan #2: Kegagalan Untuk Memenuhi Hak Pasangan

Kelemahan kedua perkahwinan ialah menanggung dosa kerana tidak menunaikan hak pasangan. Perkahwinan datang dengan tanggungjawab ke atas lelaki dan wanita. Lelaki mesti memimpin, menyediakan, melindungi, dan memenuhi keperluan seksual dan emosi isteri mereka. Wanita mesti menjaga rumah tangga, membesarkan anak-anak mereka dengan baik, menghormati kuasa suami mereka dan menjaga keperluan seksualnya juga. 

Kegagalan untuk memenuhi keperluan pasangan adalah dosa. Imam al-Ghazali (RA) memberi amaran bahawa jika seseorang takut bahawa mereka tidak dapat memenuhi hak-hak ini, adalah lebih baik untuk kekal membujang dan berusaha untuk memperbaiki diri.

Kelemahan #3: Perkahwinan Sebagai Gangguan

Potensi kelemahan ketiga ialah bertentangan dengan yang kedua. Sesetengah orang, terutamanya beberapa lelaki, boleh menjadi sangat terpesona dengan pasangan mereka sehingga perkahwinan itu sendiri menjadi gangguan daripada ibadat dan kerja. Jika seorang lelaki jatuh cinta terlalu mendalam dengan isterinya, dan menyebabkan si isteri boleh mengawalnya dan ini akan menjadi ujian untuk si suami. Suami mungkin mencapai tahap obses teruk sehingga tergamak melakukan apa sahaja yang diminta isteri, walaupun berdosa.

Imam al-Ghazali (RA) memberi amaran kepada lelaki supaya seimbang dalam pendekatan perkahwinan. Mereka harus bersikap penyayang dan baik kepada isteri mereka tetapi tetap mengawal kepentingan mereka dan mengutamakan pekerjaan dan ibadah mereka. Beliau memberi amaran terhadap perkahwinan yang menjadi gangguan daripada Allah, kerana kegembiraan yang halal pun boleh menjadi gangguan apabila keterlaluan.

Kesimpulan

Perkahwinan adalah satu komitmen dan rahmat. Sebelum berkahwin, penting untuk memastikan bahawa anda sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab perkahwinan. Lelaki harus memastikan bahawa mereka tahu bagaimana untuk bekerja keras dan mencari rezeki yang halal, mampu menangani cabaran memimpin rumah tangga, dan komited untuk menjaga hak isteri mereka. Wanita juga mesti tahu hak suami dan bersedia untuk mengutamakannya dalam memastikan perkahwinan berjalan dengan baik.

Jika seseorang takut bahawa perkahwinan akan membawa kepada fitnah, sama ada fitnah itu pendapatan haram, penindasan, atau gangguan, maka mungkin lebih baik untuk mengelakkan perkahwinan sehingga seseorang itu bersedia untuk mengendalikan tanggungjawabnya dengan matang.

Sumber: Izzah Academy

Kitab Ihya Ulum al-Din bahasa Melayu ada dijual di sini.

Terjemahan: mymuslimin.com 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑